Biar mati anak? - Utusan Malaysia

Biar mati anak?

ANTARA adat Melayu yang masih teguh terpelihara di tanah air kita ialah adat Perpatih yang berasal dari alam Minangkabau. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIAR mati anak, jangan mati adat. Peribahasa ini membawa maksud tersirat, iaitu pantang melanggar adat atau undang-undang. Jika dilanggar juga, maka pesalahnya patut dihukum walaupun anak sendiri. Sungguh indah bahasa Melayu di mana masyarakatnya bertutur menggunakan bahasa yang halus dan berlapik.

Adat yang dimaksudkan adalah perkara yang menjadi aturan hidup kita termasuk undang-undang. Begitulah falsafah masyarakat Melayu dalam menafsirkan betapa pentingnya menjaga adat resam yang dijadikan pedoman hidup sejak zaman berzaman.

Dianjak layu, dicabut mati. Malang sekali, kini semakin ramai yang tidak lagi mempedulikan soal mematuhi adat resam sendiri. Walhal adat resam menggambarkan jati diri anak bangsa.

Menjaga adat merupakan perkara asas dalam kehidupan orang Melayu kerana aturan hidup yang kita warisi ini adalah bersendikan hukum Islam. Adat bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah. Begitulah tingginya adat resam dan budaya kita.

Sebenarnya adat resam kita bukanlah statik tetapi telah berubah bersesuaian dengan tuntutan agama. Syarak mengata, adat mengikut. Ini bermakna adat-adat yang bertentangan dengan hukum Islam tidak lagi diamalkan. Contohnya upacara mandi Safar dan pesta puja pantai.

Antara adat Melayu yang masih teguh terpelihara di tanah air kita ialah adat Perpatih. Berasal dari alam Minangkabau, Adat Perpatih dibawa ke Negeri Sembilan pada sekitar abad ke-12. Ia juga diamalkan dalam kalangan warga Naning di Melaka.

Adat Perpatih adalah unik dan berbeza berbanding adat Melayu lain. Ini kerana adat Perpatih menjuraikan keturunan berdasarkan sistem nisab ibu atau matrilineal dan cara pembahagian harta pusaka pula lebih memihak kepada kaum wanita.

KEMISKINAN

Adat Perpatih merangkumi satu aturan hidup bermasyarakat yang lengkap. Ia bukan sahaja meliputi aspek kehidupan harian, malah turut merangkumi hal-hal sosial dan ekonomi masyarakatnya. Hal yang amat signifikan tentang sistem ekonomi ini ialah tatacara aturan adat dirangka bagi memastikan tiada ahli masyarakat yang menghadapi masalah kemiskinan.

Namun bagi saya, perkara paling menarik mengenai adat Perpatih ialah institusi kepimpinannya serta cara masyarakat memilih pemimpin mereka.

Struktur masyarakat adat Perpatih terbahagi kepada beberapa kelompok, di mana setiap satu memilih pemimpin sendiri. Secara amnya, masyarakat adat Perpatih diterajui oleh pemegang pusaka seperti Uwndang, Penghulu, Datuk Lembaga, Buapak, Besar Waris dan Ibu Soko.

Ramai yang menyamakan sistem pelantikan pemimpin adat dengan amalan demokrasi moden. Bagi saya, sistem pemilihan dalam adat Perpatih adalah lebih berkesan berbanding sistem demokrasi Barat dalam memilih pemimpin.

Berjanjang naik, bertangga turun. Hakikatnya inilah sistem yang diamalkan dalam hampir semua sistem pemerintahan beraja di tanah air kita dahulu. Bendahara yang dilantik mestilah datang daripada susur galur tertentu yang sejak kecil dilatih untuk memahami kepentingan adat serta selok-belok pemerintahan.

Kita mesti teguh mempertahankan adat dan budaya bangsa. Kita harus kembali menyelami sejarah tamadun warisan agar tidak dihanyutkan oleh budaya luar.

Adat dan syarak sandar menyandar. Berpeganglah kepada adat dan bersandarlah kepada agama.

Semoga adat resam kita kembali diangkat dan tidak hilang ditelan zaman.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×