4G pun terkial-kial? - Utusan Malaysia

4G pun terkial-kial?

NASIEYRA Amyliana Muhd. Nasir menunjukkan bagaimana dia terpaksa ke tengah sawah untuk mendapatkan capaian internet bagi mengikuti sesi PdPR semasa membuat persediaan untuk peperiksaan STPM di Seberang Perak di Pasir Salak, Julai lalu - MINGGUAN/ MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Tak dengarlah. Hang duduk dalam gua mana tu? Team hang dah menang tak kan masuk gua kot,” gurau seorang kawan yang menelefon saya beberapa hari lalu.
Dekat rumahlah, dalam gua mana pula, jawab saya.
Saya tinggal di pusat bandar raya. Ibu negeri Selangor. Tapi itulah, talian telefon agak teruk. Selalu begitu. Kalau hendak berborak panjang, lebih baik bersemukalah. Talian asyik terputus. Buat sakit hati saja.
Bayangkan, nak langgan line syarikat telco mana pun di bandar raya ini, kena tahu liputan mana yang paling baik, mudah capaiannya dan laju dalam kawasan itu. Bukankah sepatutnya di kawasan bandar semua produk telco mudah diakses?
Kawan saya itu pun turut mengadu. Katanya, internet di kawasannya juga teruk. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini. Lembab. Tak payahlah hendak bandingkan dengan kura-kura. Apatah lagi siput. Biarlah dua mahkluk ciptaan Tuhan itu saja yang pergerakannya perlahan.
“Hairan juga, duduk di Kuala Lumpur. Tak banyak pokok tinggi. Muka bumi pun taklah berbukit bukau tetapi line teruk. Ada masa tunjuk signal E terus dan signal H pula jangan cakaplah. Itu lagi kerap,” katanya.
Tak ada banyak pokok tinggi tapi ada banyak bangunan tinggi, jawab saya pula. Yang faham, fahamlah. Yang tak faham, sudah.
Pada Ogos tahun lalu, kerajaan mengumumkan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi meningkatkan kualiti jalur lebar rakyat Malaysia.
Pengumuman tersebut turut membabitkan penamatan rangkaian tanpa wayar generasi ketiga (3G) secara berperingkat sehingga akhir tahun ini. Langkah ini untuk memantapkan lagi rangkaian 4G dan memperkukuhkan asas rangkaian 5G di negara ini.
Ekoran itu, syarikat telekomunikasi meminta pelanggan mereka menukar simkad 3G kepada 4G, kerana mahu memfokuskan penaiktarafan rangkaian 4G buat masa ini. Tetapi apabila ditukar, ia tetap sama. Signal E dan H itu dah biasa. Tunjuk signal 4G pun tak sampai full bar dan kalau penuh pun line masih perlahan.
“Agaknya kena tukar telefon. Tetapi beli telefon mahal-mahal liputan teruk, membazir pula,” tambah kawan saya itu.
Iyalah, saya di Shah Alam dan kawan saya itu di Kuala Lumpur. Dua kawasan bandar raya. Itu pun selalu mengalami gangguan talian dan lembab. Inikan pula yang duduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Jadi tak hairanlah, ada yang sampai panjat pokok dan bukit untuk dapat liputan.
Sudah tentulah kita tidak mahu memperlekehkan usaha dan perancangan kerajaan dalam menyediakan pula rangkaian 5G. Segala penambahbaikan kita sokong dan menunggu hasilnya.
Iyalah, kita semua mahukan capaian internet yang lebih baik dan berbaloi dengan wang yang dikeluarkan untuk mendapatkan perkhidmatan ini. Jangan harga saja premium tetapi akses ke laut.
Sementelahan pula perkhidmatan ini sudah menjadi kemudahan asas yang sepatutnya dapat dinikmati oleh semua orang tak kira berpendapatan rendah atau tinggal di ceruk mana pun.
Pun begitu ia memberi satu soalan besar. Rangkaian 4G pun masih di tahap terkial-kial di luar bandar dan di beberapa kawasan dalam bandar, mahu cerita pasal 5G?
Rangkaian 5G buat permulaan akan dinikmati di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya yang dijangka hujung bulan depan.
Kenapa tidak mantapkan dulu capaian 4G di luar bandar? Orang kampung ramai yang belum merasa 4G. Mereka juga pengguna.
Lihatlah kepayahan anak-anak dan guru bila PdPR terpaksa dilakukan semasa PKP dan betapa sukarnya juga kerja-kerja usahawan online di sana yang bergantung sepenuhnya pada internet untuk menjalankan perniagaan mereka.
Ini tentu menjadi satu cabaran besar kepada kerajaan khususnya Digital Malaysia Berhad yang membangunkan teknologi 5G itu dan syarikat pengendali telco dalam membuktikan kepada rakyat bahawa perkhidmatan internet yang baik dan efisien, akan berada di negara ini tidak lama lagi.
Sampai bila mahu terus mendengar rakyat membuat perbandingan antara kura-kura atau siput manakala syarikat telco terus mengaut keuntungan atas kepayahan pengguna?
Lajulah wahai internet untuk negara, jangan laju berpolitik saja.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya