MUKADIMAH
DATUK M. MOHANA yang pernah memenangi jawatan Ketua Wanita MIC dalam pemilihan parti 17 November 2013, memilih jalan untuk kembali bertanding merebut jawatan itu, 30 Oktober ini.
Mohana, 45, yang tidak bersaing dalam pemilihan jawatan sama pada 2018 kerana ‘memerlukan satu ruang untuk menambah baik dirinya dalam bidang perniagaan’ akan mencabar penyandang jawatan, J. Usha Nandhini, 49.
Dengan hari penamaan calon Ketua Wanita yang berlangsung hari ini 22 Oktober, Mohana, yang masih mampu meraih 26,412 undi semasa bertanding di kerusi Parlimen Kapar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) walaupun tewas, tetap yakin MIC masih mendapat kepercayaan daripada masyarakat India.
Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menemubual Mohana dalam satu pertemuan kelmarin berhubung sebab mengapa beliau mahu kembali serta keyakinannya terhadap survival MIC dalam politik Malaysia.
UTUSAN: Sebab apa anda mahu kembali?
MOHANA: Saya mahu kembalikan kekuatan MIC di akar umbi sebab Presiden kami (Tan Sri S.A. Vigneswaran) seorang berfikiran jauh yang meyakini peranan wanita amat penting dalam perjalanan ini (politik Malaysia). Dengan pengalaman bekerja di bawah tiga Presiden MIC (Tun S.Samy Vellu, Datuk Seri G. Palanivel dan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam) dan jika menang, dengan yang keempat (Vigneswaran) pula, saya akan cuba untuk mengembalikan kekuatan Wanita MIC di semua bahagian akar umbi. Ini demi pastikan MIC akan menang di kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada parti ini dalam PRU-15 nanti.
Jika fokus kepada wanita daripada masyarakat India, apa pencapaian mereka setakat ini?
Banyak peringkat menyaksikan pelbagai pencapaian. Ada yang telah menjadi pengarah dalam jabatan kerajaan dan swasta. Kebolehan dan potensi mereka turut diiktiraf kerajaan, antaranya kalau boleh saya namakan Kasturi Bai yang merupakan Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Baru-baru ini beliau juga dilantik sebagai Pengurus Bersekutu di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Bercakap pasal survival MIC, banyak pihak mempersoalkan masih relevankah parti ini dalam kalangan kaum India? Ini mengambil iktibar cuma dua kerusi Parlimen dimenangi pada 2018.
MIC mempunyai akar umbi yang kuat dengan lebih 4,000 cawangan. Saya melihat perkara ini semasa turun padang dalam banyak siri pertemuan. Ia termasuklah yang terbaharu dalam empat minggu ini bila turun berjumpa dengan ketua cawangan dan bahagian. Mereka meletakkan harapan cukup besar kepada Presiden MIC untuk mencorak dan mengukuhkan kembali parti ini kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat India.
Tapi difahamkan parti-parti berteraskan kaum India lain juga tidak kurang handalnya mereka?
Di mana kekuatan mereka? Beritahu saya. Mungkin satu kawasan, bukan Parlimen pun…hanya satu taman. Sedangkan MIC di seluruh negara. Semua taman (perumahan) ada (kelibat) MIC. Jika perbandingannya begitu, MIC memang kukuh. Tapi adalah pihak di luar sana mempersoalkan kekuatan MIC? Namun, yang pasti kedudukan kita memang dekat dengan akar umbi. Macam mana kita hendak posisikannya dengan akar umbi, itu strategi parti.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan adakah akan menjadi tanda aras politik Malaysia?
PRN Melaka akan memberi bukan sahaja kita (MIC), bahkan semua parti politik yang ada di Malaysia sedikit sebanyak pandangan apa yang ada di fikiran rakyat. Ini satu petanda yang baik untuk semua pemimpin sebab bila sudah dapat isyarat daripada rakyat (pengundi Melaka), adalah masa untuk rancang seterusnya. Ya, kita boleh rancang apa yang kita boleh buat tetapi hasilnya kita pun tak tahu. Maka, PRN Melaka inilah gelanggangnya. Kiranya PRN Melaka ini satu platform bancianlah. Ia akan menentukan bagaimana sentimen sokongan rakyat ini. Apakah yang ada dalam fikiran mereka.
Pendek kata, mana-mana parti yang akan menang akan menjadi cerminanlah kepada kemenangan di Pusat dalam PRU-15?
Ya, itu pasti. Jika ramai menyatakan Melaka ini negeri tradisi untuk Barisan Nasional (BN), maka kita semua nak tahulah sama ada rakyat sekarang ikut tradisi atau kita sendiri nanti ‘pecah kepala’ hendak fikirkan pula perancangan seterusnya setelah ada keputusannya nanti. Tunggu dan lihat sahaja.











