TANGGAL Oktober 23 2021 merupakan tarikh bersejarah apabila #KeluargaMalaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuching.
Sarawak, seperti Sabah, lebih terkenal sebagai negeri muhibah berbanding Semenanjung. Kedua-duanya agak majmuk dalam pergaulan masyarakatnya merentas kaum, budaya serta agama. Mereka bertutur bahasa Melayu dengan lebih fasih dan lancar. Ini amat menyatukan walaupun kedua-dua negeri tersebut menyertai Malaysia anggaran enam tahun lebih lewat berbanding tahun kemerdekaan.
MUHIBBAH
Semenanjung pernah mengalami pergaulan yang sama pada suatu ketika dahulu. Namun, kini hampir lupus keseluruhannya. Mahu tidak mahu, Sabah dan Sarawak wajar diteladani semula jika #KeluargaMalaysia ingin disempurnakan dengan jayanya.
Pendidikan dalam hal ini perlu dipugar semula merentas 3M – membaca, menulis dan mengira. Pandemik Covid-19 mengingatkan kita bahawa melayari hidup juga adalah penting, malah lebih penting daripada 3M apabila berlaku peristiwa tidak menentu.
Tanpanya, 3M tidak bererti kerana pelbagai gejala terkesan dari segi emosi dan rundung perasaan yang kini menghantui semua lapisan masyarakat, khususnya anak-anak muda. Malah di bawah perintah berkurung lebih hebat pula kesannya sehingga ada yang mendorong kepada tragedi membunuh diri.
Di sinilah urusan kekeluargaan menjadi penting sebagai penawar atau pelindung diri daripada segala bentuk penyiksaan jiwa. Maka peri mustahak kita mendalami apa itu ‘keluarga’ serta peranan yang boleh dimainkan. Setiap satu agak berbeza kedudukannya daripada budaya ke budaya, daripada yang moden kepada yang berasaskan nilai tradisi masing-masing.
Bertolak daripada nilai budaya tradisi Melayu, bahkan Timur dan Nusantara, ia membawa maksud ikatan silaturahim melangkaui beberapa generasi. Berlainan pengertian sekarang, cucu serta cicit boleh hidup sebumbung dengan datuk moyangnya secara rukun dan damai.
Amalan ini menggambarkan konsep kekeluargaan berupaya mencakupi kepelbagaian struktur keluarga, masyarakat, negara mahupun kesejagatan. Hal ini bukanlah baharu walaupun semakin jarang diamalkan tatkala saiz keluarga kini mula menguncup dan mengecil kepada beberapa anggota sahaja.
Ini berkait dengan unsur dan pengaruh Barat melalui penjajahan budaya tempatan sedang mengagungkan budaya asing untuk diarusperdanakan. Justeru, kefahaman keluarga terus disempitkan dari semasa ke semasa sehingga pandangan alam turut berubah dengan banyak sekali.
KEMELUT
Ekoran itu, pelbagai kemelut kekeluargaan yang tidak membantu sama sekali. Hal-hal ini wajar diatasi terdahulu agar program #KeluargaMalaysia tidak terbantut.
Pertamanya, menyedari bahawa fahaman keluarga merangkumi ruang generasi yang luas berpandukan kepada nilai asas tradisi watan termasuk adab, budi serta sejahtera.
Setiap satu nilai ini tumbuh dari pepohon budaya setempat setelah berakar umbi begitu lama seolah-olah diresapi sebagai satu cara hidup yang direstui. Ini sebaliknya memperkukuhkan lagi saling hubungan para keluarga peringkat tinggi seperti mana yang lumrah sesama kaum serumpun.
Maknanya ia tidak mengenali batasan kaum, keturunan serta agama asalkan seorang insan itu luhur dan jujur dalam menzahirkan kesedaran amanah yang dipikul bersama. Apatah lagi kini ternyata wujud cabaran amat besar terhadap rumah tangga yang daif kedudukannya.
Angkara jelas adalah keruntuhan dahsyat tahun ke tahun dalam jangka usia lebih muda. Begitu juga dari segi keganasan rumah tangga melibatkan perkosaan seksual atau gangguan jantina terhadap kanak-kanak di bawah umur. Kes-kes seumpama ini juga kian meningkat apabila rebakan Covid-19 berleluasa sejak hampir dua tahun lalu.
Serentak kebimbangan berkaitannya sudah mula menyelubungi seantero tanpa sebarang jalan keluar. Dengan kata lain, satu pembudayaan menyeluruh amat wajar sekali jika kesucian keluarga ingin dijayakan dengan rapi. Namun, kesucian bukan setakat membersih tapak tangan sahaja seperti anjuran prosedur operasi standard (SOP).
Turut terlibat adalah kesucian jiwa serta fikiran yang sekali gus akan memantapkan kesihatan mental serta emosi seseorang. Jika tidak, satu lagi bentuk pandemik emosi akan menjadi hambatan keluar dari kemelut yang boleh melibatkan lebih banyak kesengsaraan hidup kalau tidak pun kehilangan nyawa tidak berdosa.
DRAMA
Cerminan semua ini dapat diperhatikan melalui drama-drama TV yang berkisar sekitar tema kekeluargaan. Adegan ganas lagi kasar begitu lumrah, apa lagi cara-cara tidak sopan antara ahli keluarga atau melibatkan anggota masyarakat umumnya.
Apa yang nyata adalah kemusnahan sebuah keluarga yang tidak lagi bermaruah serta gagal menjadi keluarga mithali seperti idaman #KeluargaMalaysia. Nilai moral serta ketatasusilaan terus ketandusan dan tidak langsung dapat diteladani.
Natijahnnya, drama-drama tersebut lebih membawa kesan-kesan negatif kepada para penonton tanpa segan silu lagi sekali gus menghidang satu cara hidup yang muflis, buruk lagi hodoh. Lambat laun pembudayaan negatif akan muncul sebagai amalan arus perdana, jika tidak pun diterima dengan tidak disegani lagi.
Contoh terbaik adalah perilaku rasuah yang sudah berleluasa sebagai bahan berita yang tidak lagi menjijikkan. Drama, oleh itu perlu memikirkan peranannya pasca Covid-19 dalam membentuk serta memupuk sebuah #KeluargaMalaysia yang tulen serta berkekalan untuk dijadikan tanda aras norma baharu untuk kehidupan seimbang lagi sejahtera.
Tidak mahu tidak, inilah tuntutan semasa yang sudah lama tertangguh apabila drama keluarga dibiarkan sewenang-wenang sahaja sehingga tidak langsung dapat disantuni. Oleh itu, #KeluargaMalaysia perlu bergerak dan mara ke hadapan sebagai suatu pembelaan arah membina kesejahteraan merangkumi pelbagai ciri dan nilai termasuk aman, bahagia, ceria, gembira, makmur, sentosa, seronok, tenteram dan sebagainya tanpa had.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










