SEMAK dan imbang adalah salah satu daripada ciri-ciri dalam pengamalan doktrin pengasingan kuasa diperkenalkan oleh Barat yang membenarkan pertindanan bidang kuasa antara tiga badan utama dalam pemerintahan sesebuah kerajaan iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Matlamat utama semak dan imbang bagi memastikan setiap badan tersebut diberikan haknya dan badan lain tidak boleh untuk mencampurinya tanpa sebab dan alasan yang kukuh.
Di Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (ICAC) Hong Kong, mekanisme semak dan imbang dilaksanakan oleh empat jawatankuasa penasihat yang berperanan dalam membuat pemantauan dan penilaian semula aduan-aduan terhadap pegawai-pegawainya yang bukan berunsurkan jenayah.
Dalam konteks semak dan imbang di bawah strategi pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Panel Pencegahan dan Perundingan Rasuah (PPPR) dibentuk secara pentadbiran.
Ahli PPPR yang terdiri daripada bekas pegawai kanan kerajaan, ahli politik (kerajaan dan pembangkang), golongan profesional dalam kalangan ahli perniagaan dan sektor korporat, ahli akademik, peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mempunyai reputasi baik dan disegani ini dilantik oleh Perdana Menteri.
PPPR yang merupakan pemantau bebas mewakili pelbagai kumpulan masyarakat seperti ahli akademik, dewan perniagaan, pakar media, aktivis sosial dan pertubuhan.
Mereka diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan negara bebas rasuah serta masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.
BENTENG SPRM
PPPR juga berperanan sebagai benteng SPRM apabila berdepan isu-isu negatif yang sengaja dibangkitkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan.
PPPR juga mengambil langkah proaktif dalam mencadangkan secara terbuka supaya SPRM diletakkan di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengukuhkan lagi kebebasan dan ketelusan suruhanjaya ini.
SEBAGAI PENASIHAT
Seperti sedia maklum, SPRM bukan hanya mencegah rasuah melalui operasi siasatan dan perisikan, malah mempunyai sayap pencegahan melalui kawalan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja serta pendidikan rasuah.
Ini merupakan fungsi utama SPRM sepertimana digariskan di Seksyen 7(c), (d), (e) dan (f) Akta SPRM 2009.
Selain itu juga, SPRM berperanan untuk mengarahkan, menasihati serta membantu mana-mana orang atas permintaannya tentang cara-cara bagaimana rasuah dapat dihapuskan serta mendidik orang ramai untuk menentang rasuah dan mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah.
Sebagai panel yang dibentuk pada 2009, ia berfungsi menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.
Ia turut berperanan bagi menambah keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah, meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan rasuah melalui mekanisme pengukuhan integriti dalam sektor awam dan sektor swasta, serta menasihati SPRM tentang amalan-amalan baik dalam bidang-bidang yang berkaitan dalam pelaksanaan aktiviti perundingan dan pencegahan rasuah.
Selain itu, PPPR juga berperanan sebagai komunikator utama dalam meraih sokongan masyarakat, media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh SPRM.
PPPR juga mengemukakan ulasannya tentang perjalanan oleh SPRM akan fungsi perundingan dan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
Di Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) pula, PPPR memainkan peranan sangat penting dalam memastikan pemeriksaan dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh supaya ruang dan peluang perlakuan rasuah, kelompangan isu-isu tadbir urus seperti kelemahan ke atas kawalan dalaman, sistem dan prosedur agensi dikenal pasti dan dirawat melalui cadangan penambahbaikan.
PPPR bersidang melalui Mesyuarat Panel Penilaian Pencegahan Rasuah yang diadakan mengikut keperluan semasa. Melalui mesyuarat ini, pelbagai isu semasa berkaitan rasuah dibincangkan.
Ahli-ahli panel juga berpeluang melontarkan idea dan saranan berdasarkan pengetahuan, pemerhatian dan pengalaman mereka berhubung pencegahan rasuah dalam sesuatu isu yang berlegar.
Melalui mesyuarat ini, BPMP dapat membentangkan hasil pemeriksaan yang telah dilaksanakan bagi membolehkan ia dibincangkan.
Ahli-ahli PPPR yang mahir dan berpengalaman dalam bidang-bidang mereka akan meneliti serta memberikan pendapat, pandangan dan cadangan kepada BPMP untuk menambah baik sesuatu kelemahan yang dikenal pasti.
Sesi ini penting bagi memastikan ruang dan peluang rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa serta isu-isu tadbir urus tidak terlepas pandang oleh BPMP.
Selain itu, platform ini juga perlu bagi memastikan ahli-ahli panel menerima dan memahami isu yang berlaku dalam pemeriksaan dan perundingan supaya mereka boleh menjelaskan kepada orang awam apabila perlu memandangkan mereka juga secara tidak langsung adalah jurucakap SPRM.
Cadangan penambahbaikan ini pula akan diberikan kepada ketua badan-badan awam agensi melalui suatu sesi khidmat nasihat sepertimana fungsi SPRM di bawah Seksyen 7(e) Akta SPRM 2009.
Cadangan-cadangan yang akan dikemukakan dapat membantu badan-badan awam dan agensi mengatasi masalah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa serta isu-isu tadbir urus.
LIBAT URUS PENCEGAHAN RASUAH
Selain mesyuarat, ahli PPPR juga mengadakan kunjungan hormat ke agensi-agensi awam serta badan berkanun sebagai sesi perkongsian maklumat mengenai inisiatif untuk meningkatkan tadbir urus serta usaha-usaha pencegahan rasuah dan salah guna kuasa, pengalaman dan percambahan idea selain menjalinkan kerjasama erat antara agensi.
SPRM sentiasa melaksanakan fungsinya secara bebas, telus dan profesional, mengikut lunas undang-undang. Meskipun begitu, masih terdapat masyarakat yang mempertikaikan kebebasan dan ketelusan SPRM.
Pembentukan dan penglibatan badan-badan bebas yang memantau SPRM amnya, PPPR khususnya terhadap BPMP banyak membantu meningkatkan kecekapan, keberkesanan, ketelusan serta akauntabiliti BPMP dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
PENULIS ialah Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).











