Perlukah kita iktiraf Taliban 2.0? - Utusan Malaysia

Perlukah kita iktiraf Taliban 2.0?

SEJARAH sekali lagi tercatat apabila Taliban berjaya menguasai semula Afghanistan selepas Amerika Syarikat mengundurkan kesemua tenteranya dari negara itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu lalu, dunia kecoh dengan keputusan drastik kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang memutuskan mengundurkan tenteranya dari bumi Afghanistan setelah hampir dua dekad di negara itu. Tindakan tersebut bukan sahaja meresahkan kerajaan Afghanistan yang selama itu berpaut dan dilindungi oleh negara Uncle Sam yang sekali gus menyekat kemaraan kumpulan Taliban, bahkan ia turut terkesan kepada negara-negara serantau seperti Pakistan, Rusia dan China.

Sekilas tentang Afghanistan, negara yang mempunyai 99 peratus umat Islam ini bertemu dengan Islam sewaktu era Khalifah Uthman ra. Setelah itu, Afghanistan sentiasa menyaksikan pelbagai jenis kerajaan yang bersilih ganti diselang dengan penaklukan penjajah-penjajah asing seperti British, Kesatuan Soviet hinggalah AS.

Namun, apa yang menariknya, jangka hayat negara-negara menguasai Afghanistan begitu singkat sekali memandangkan mereka tidak mampu berhadapan dengan para pejuang Afghanistan yang menggunakan taktik serangan gerila selain kedudukan geografi negara itu yang bergunung ganang. Lebih malang lagi apabila para pejuang Afghanistan yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik bukanlah jenis mengalah, selagi mana nyawa dikandung badan, selagi itulah mereka berjuang. Tiada titik noktah dalam karangan hidup mereka!

Oleh itu, Afghanistan mendapat julukan ‘kubur empayar-empayar.’

Antara peristiwa yang masih lekat di minda rakyat Malaysia ialah pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan yang berlangsung selama 10 tahun dari 1979 hingga 1989, meragut lebih 250,000 nyawa sehingga memaksa kewujudan kumpulan Mujahidin yang berjuang untuk mempertahankan Afghanistan.

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai Soviet ke atas warga Afghanistan di perkampungan Laghman sangat tidak berperikemanusian.

Seiring dengan kejatuhan Soviet pada 1991, kerajaan Afghanistan yang waktu itu diperintah rejim Najib dari parti Demokratik Rakyat Afghanistan secara automatik hilang kredibiliti sebagai kerajaan yang sah. Setelah itu, kerajaan sementara Negara Islam Afghanistan ditubuhkan menerusi Perjanjian Peshawar 1992 bagi membendung pertelingkahan antara kumpulan Mujahidin dengan pelantikan Gulbuddin Hekmatyar sebagai Perdana Menteri.

KECOH

Namun, perjanjian tersebut tidak dipersetujui oleh sebahagian kumpulan Mujahidin dan konflik berterusan sehingga akhirnya Perang Kabul (1992-1996) tercetus, memberi ruang kepada kumpulan Taliban untuk berkuasa.

Pada september 1996, sebaik sahaja Taliban berjaya menguasai ibu kota Kabul, mereka menghukum mati bekas Presiden, Najibullah di bawah tuduhan pengkhianatan terhadap Afghanistan. Sejak itu juga Taliban yang menguasai Afghanistan membentuk negara itu mengikut acuan hukum syariah.

Ternyata penerapan hukum Islam itu sangat tidak disenangi oleh pelbagai pihak dan Afghanistan terus menerus mendapat tekanan dari segenap penjuru oleh Barat. AS dan sekutu Eropah menyerang dan menakluki Afghanistan selama hampir 20 tahun dengan alasan kononnya ingin menangkap pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden yang dituduh sebagai dalang serangan 11 September 2001.

Sejak itu juga, AS dan rakan-rakan terpalit dengan pelbagai jenayah perang. Pada 15 Ogos 2021, sejarah sekali lagi tercatat apabila kumpulan Taliban berjaya menguasai Afghanistan buat kesekian kalinya setelah AS mengundurkan kesemua tentera penjajahnya. Dunia kembali kecoh dengan pelbagai jenis pandangan dan perspektif berbeza.

Persoalan paling utama, adakah kerajaan baharu Afghanistan yang dikuasai oleh Taliban ini perlu diiktiraf oleh semua negara termasuk Malaysia?

TERPINGA-PINGA

Saya menemu bual Datuk Ahmad Azam Ab. Rahman yang baru-baru ini dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Luar berhubung Hal Ehwal Afghanistan.
“Sebenarnya pelantikan pada 26 September 2021 tersebut adalah satu kejutan kepada saya kerana tiada rundingan dibuat mengenainya,” katanya.

Namun demikian, menurutnya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mungkin berpandangan isu Afghanistan harus ditangani dengan misi kemanusiaan terlebih dahulu sebelum sebarang inisiatif ke arah pengiktirafan dapat dibuat.

“Saya rasakan ini merupakan antara faktor pelantikan saya memandangkan Global Peace Mission (GPM) ditubuhkan 20 tahun dahulu iaitu pada 26 September 2001 ketika AS dan sekutunya menyerang dan menjajah Afghanistan. GPM ditubuhkan seiring Perang Afghanistan tercetus,” katanya yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Jelas beliau, tiada siapa menjangkakan AS dan sekutunya meninggalkan Afghanistan begitu sahaja. Satu dunia terkejut dengan tindakan drastik tersebut.

“Kejatuhan Kabul pada 15 Ogos lalu tanpa sebarang pertumpahan darah rasanya tidak dijangka juga oleh kumpulan Taliban,” katanya.

Ahmad Azam berpandangan, dunia masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Dunia masih belum mengenali Taliban versi baharu atau Taliban 2.0.

Pengalaman 20 tahun berperang dan akhirnya mengecapi kemenangan sudah tentu membuatkan mereka menimba banyak pengalaman yang sangat berharga. Namun, dalam memerintah sesebuah negara, mereka memerlukan kemahiran yang berbeza sama sekali.

“Justeru, bagi saya, beri peluang kepada kerajaan baharu Afghanistan untuk menentukan hala tuju negara mereka.

“Dunia belum berani mengiktiraf Emiriah Islam Afghanistan kerana mereka masih belum mengenali pemerintah Taliban,” jelasnya.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×