Pemandu Grab tak jadi `bangau' lagi - Utusan Malaysia

Pemandu Grab tak jadi `bangau’ lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI kawan pemandu E-hailing dah mula gembira dengan jumlah penumpang yang semakin ramai menggunakan khidmat E-hailing.
Seorang teman pemandu berjaya mengumpul RM2,000 dalam masa seminggu. Selain GrabMart, segala jenis perkhidmatan Grab dia buat dari pagi hingga ke malam.
“Aku malas buat GrabMart sebab leceh. Job lain semua aku ‘sebat’, yang penting ada,” kata J bercerita.
Namun salah seorang rakan saya sakit hati dengan perkhidmatan GrabExpress 4 Jam sebab baginya tak berbaloi.
Bercerita kepada saya dalam pertemuan di kedai kopi baru-baru ini, teman yang saya panggil Mar ini dengan wajah serius memberitahu yang dia serik menerima pesanan GrabExpress tersebut.
“Rugi kalau aku buat. Lepas tolak minyak kereta dan masa yang diperuntukkan, memang tak berbaloi langsung.
“Kau bayangkan, dalam tempoh empat jam, kita bukan pergi satu tempat tapi enam atau tujuh tempat.
“Bukan dekat-dekat, tapi jauh-jauh juga dan tambang dapatlah dalam RM40 ke RM50. Tapi belum tolak duit minyak lagi.
“Aku pernah buat dua kali. Lepas congak untung rugi, aku ambil keputusan off saja perkhidmatan ni dalam aplikasi aku,” cerita Mar sambil meneguk kopi ais.
Tambahan pula kata Mar, dia menggunakan kereta dengan kapasiti enam tempat duduk, maka lagi tidak berbaloi.
“Dalam aplikasi aku ni, bukan itu saja aku off tapi Grabfood dan GrabMart pun sama. Semua itu ambil masa dan leceh kerjanya.
“Kita ada pilihan, jadi pilihlah mana berkenan dan kena dengan kesukaan kita. Tapi kalau Grab naikkan tambang untuk GrabExpress 4 Jam itu, aku ‘sauk’ juga,” kata Mar.
Tambahnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia langsung tak memandu Grab kerana bimbang kes Covid-19 yang meningkat.
“Sekarang aku bawa sebelah pagi sampai Zuhur dan kemudian balik rumah rehat kejap. Lepas Asar aku keluar semula.
“Dapat juga RM100 lebih sehari. Itu dah cukup buat aku, sebab belanja aku tak banyak,” kata Mar yang masih bujang ini.
Cuma kata Mar, sejak kembali memandu ini, dia rasa seronok sebab pesanan Grab tak putus-putus.
“Boleh kata pesanan tu back to back, tak perlu jadi ‘bangau’ lagi dah. Sekarang ini agaknya dah boleh kata jadi ‘rimau’ pula, mengganas di jalan raya,” kata Mar sambil ketawa.
Justeru, harapan semua pemandu E-hailing agar keadaan ini semakin pulih dan memberi manfaat kepada semua orang.  –  Akak Grab, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.