ISU kesedaran sivik dalam kalangan anggota masyarakat terus menjadi polemik berpanjangan. Mengikut tafsiran, sivik bermaksud ilmu tatarakyat dan hak serta perasaan tanggungjawab seseorang terhadap masyarakat. Ia menghuraikan bagaimana seseorang hidup dalam masyarakatnya.
Ironinya, kesedaran sivik merupakan suatu aspek yang penting dalam kehidupan, namun ia dilihat semakin luntur dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Justeru, isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia berkaitan dengan amalan, budaya, jati diri dan identiti sesebuah masyarakat yang terangkum dalam konteks moral, etika dan akhlak.
Jujurnya, kita bukan sahaja ingin menjadi negara maju secara fizikal dengan bangunan pencakar langit semata-mata, sebaliknya pembangunan ini perlu seiring dengan kehebatan etika dan moral yang dimiliki oleh rakyat.
Antara gejala defisit sivik yang cukup popular dan sinonim dengan sikap dan tingkah laku masyarakat kita ialah buang sampah dan meludah merata tempat, meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas serta merosakkan pelbagai kemudahan awam atau lebih dikenali sebagai vandalisme.
Baru-baru ini, tular satu video dalam media sosial memaparkan seorang wanita memulangkan kembali sampah yang dibuang pemandu sebuah kenderaan mewah.
Menurut wanita berkenaan, pemandu kereta jenama BMW itu membuang sampah keluar dari kenderaan sebanyak dua kali. Tindakan berani wanita ini mendapat pujian para netizen. Apa yang dikesali ialah defisit sivik pemandu kenderaan tersebut yang tanpa rasa bersalah membuang sampah keluar dari kenderaan.
Sebelum ini tular juga video dan gambar memaparkan sikap anggota masyarakat yang buang dan tinggalkan sampah di beberapa lokasi kawasan tumpuan pelancong setelah kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN). Misalnya, seorang pengguna media sosial memuat naik satu rakaman video pencemaran sampah sarap termasuk plastik yang berlaku di sekitar perairan Pulau Langkawi.
Sikap defisit sivik seperti ini dengan jelas menggambarkan betapa anggota masyarakat kita masih jauh ketinggalan dari segi keupayaan untuk menjiwai dan membudayakan mentaliti kelas pertama. Itulah sebabnya kita sering dengar ungkapan, pembangunan kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga!
Jadi, seiring dengan perubahan zaman serta impian kita untuk menjadi negara maju, sudah tiba masanya anggota masyarakat mengubah sikap dan tingkah laku dengan memberi penekanan yang lebih kepada aspek kesedaran sivik dalam diri masing-masing.
WARNA KULIT
Persoalannya, mewujudkan kesedaran sivik ini tanggungjawab siapa? Hakikatnya ia membabitkan kerjasama dan tanggungjawab semua pihak merangkumi diri sendiri, ibu bapa, guru dan kerajaan. Ironinya, defisit sivik membabitkan sikap dan tingkah laku individu, ia tiada kaitan dengan warna kulit, agama mahupun bangsa. Justeru, setiap seorang daripada kita perlu mengubah corak pemikiran yang boleh mencetuskan amalan dan budaya yang bersivik tinggi dalam kehidupan seharian kita.
Hal ini sangat penting kerana sikap dan tingkah laku seseorang tidak boleh diubah oleh orang lain atau berubah dalam sekelip mata kerana ia sudah sebati dalam diri kita.
Maka secara prinsipnya, ia membabitkan iltizam dan kesungguhan individu itu sendiri untuk mengubah diri melalui tahap kesedaran yang tinggi.
Dalam konteks ini, ibu bapa juga wajar memainkan peranan yang penting kerana memupuk kesedaran sivik dalam diri anak-anak sejak mereka kecil boleh diumpamakan sebagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mendidik dan menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam membudayakan gaya hidup yang menyuburkan nilai-nilai murni supaya kesedaran sivik itu berputik dalam diri mereka sejak kecil.
Ibu bapa perlu sedar, setiap tingkah laku kita akan menjadi ikutan anak-anak yang akhirnya membentuk karakter mereka sehingga dewasa kelak. Justeru, pastikan kita memperlihatkan sikap dan tingkah laku yang baik sepanjang masa khususnya di hadapan anak-anak. Tuntasnya, pendidikan sivik yang terbaik seharusnya bermula dari rumah.
Di samping itu, guru-guru di sekolah juga boleh memainkan peranan sewajarnya. Subjek Pendidikan Sivik diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2019 bermula dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah. Pelaksanaan pengajaran subjek ini merupakan salah satu inisiatif penting kerajaan dalam usaha untuk membentuk generasi Malaysia yang mempunyai semangat patriotisme, mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai warganegara serta memiliki akhlak mulia dan keperibadian tinggi dalam pelbagai konteks termasuk diri, keluarga, sekolah, masyarakat dan negara. Justeru, guru perlu menggunakan peluang ini untuk mendidik murid sebaik mungkin bagi memahami dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terpuji.
Pada masa sama, usaha mewujudkan kesedaran sivik juga boleh dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Ini penting kerana masyarakat kelihatan semakin alpa dan ambil mudah tentang keperluan untuk mematuhi peraturan dan mengamalkan sikap serta tingkah laku sewajarnya. Justeru, masyarakat perlu diingatkan secara berterusan betapa kesedaran sivik merupakan satu hal yang penting serta serius dan bukannya isu remeh.
Usaha memupuk kesedaran sivik sewajarnya menjadi tanggungjawab kita bersama dan amalan serta nilai yang baik perlu dijadikan tabiat dalam kehidupan seharian sehingga ke akhir hayat kita.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










