Kita bukan asing pada Tajikistan - Utusan Malaysia

Kita bukan asing pada Tajikistan

RAKYAT Tajikistan tergolong dalam kategori bangsa Parsi, bukan Turkic seperti warga negara-negara stan lain. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA Tajikistan mula meniti di bibir masyarakat Malaysia sewaktu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul gelaran juara Piala AFC 2015 menumpaskan pasukan dari negara tersebut, FC Istiklol di perlawanan akhir bertempat di Stadium Pamir, Dushanbe dengan jaringan tunggal Leandro Velazquez 0-1. Setelah itu, kelab-kelab dan pasukan kebangsaan Tajikistan dilihat sebagai antara seteru utama Malaysia.

Namun, sejauh mana pengetahuan kita tentang negara Asia Tengah ini? Tajikistan atau Jumhurii Tojikiston (Republik Tajikistan) merupakan sebuah negara yang bersempadan dengan Kyrgystan di sebelah utara, China di timur, Uzbekistan di sebelah barat dan Afghanistan di selatan.

Negara yang dibentuk dengan 90 peratus pergunungan ini pernah menyaksikan beberapa siri pemerintahan empayar-empayar besar dunia seperti Samanid (819-999) dan Mongol (1218-1370).

Pada 9 September 1991, Tajikistan mendapat kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet (USSR) dengan populasi lebih sembilan juta orang. Sebanyak 98 peratus daripada penduduknya beragama Islam.

Tidak seperti negara-negara stan lainnya yang tergolong dalam kumpulan bangsa Turkic dengan berkongsi bahasa, agama dan sejarah yang sama, sebaliknya Tajikistan berada dalam kategori bangsa Parsi.

Untuk pengetahuan pembaca juga, bahasa Tajiki adalah bahasa Parsi yang dipertuturkan di Iran dan Afghanistan. Tetapi apa yang membezakan bahasa Tajiki ini ialah ia tidak ditulis mengikut sistem alfabet Pahlavi, sebaliknya dalam Cyrilic Rusia.

Keindahan bumi Tajikistan sangat memukau sehinggakan media antarabangsa, BBC pernah menamakannya sebagai antara 10 negara yang disaran untuk pelancong pada 2012 dan dimasukkan dalam senarai destinasi terbaik untuk dilawati pada 2014 menurut Global Sports.

Dari segi kedatangan pelancong sebelum pandemik Covid-19, Tajikistan menerima sekitar 100 pelawat dari Malaysia sementara kita pula menerima ribuan pelancong dari Tajikistan. Bagaimanapun, saya tidak berminat untuk menumpukan perhatian kepada pelancongan tetapi lebih kepada fakta-fakta menarik Tajikistan yang seharusnya diketahui oleh pembaca sebagai maklumat baharu.

Antaranya terdapat lebih 900 sungai yang mengalir di Tajikistan dan kebanyakan sungainya mempunyai panjang lebih 10 kilometer. Sungai Syr Darya dan Amu Darya merupakan sungai terbesar di Tajikistan.

Nama ibu kota Dushanbe diambil sempena sebuah pasar besar yang dibuka pada hari Isnin disebut sebagai Dushanbe Bazar. Dalam bahasa Parsi, Dushanbe secara literalnya bermaksud hari Isnin.

ASEAN

Hubungan Malaysia dan Tajikistan terjalin sejak 11 Mac 1992 dan semenjak itu, kedua-dua negara menikmati hubungan akrab. Dasar luar Tajikistan melihat kerjasama dengan Malaysia adalah salah satu keutamaan dan negara kita yang sedang berkembang pesat dianggap sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai di rantau Asia Tenggara.

Fakta menarik, Kedutaan Besar Tajikistan di Malaysia yang dibuka beberapa tahun lalu merupakan satu-satunya pejabat kedutaan negara itu yang terletak di rantau ASEAN. Bukankah ini satu penghormatan terhadap negara kita?

Presiden Tajikistan, Emomali Rahmon pernah mengunjungi Malaysia pada 2003 ketika menyertai persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang ke-10, begitu juga kunjungan hormat pada 2014 yang menyaksikan pertemuan antara Presiden Tajikistan dengan Yang di-Pertuan Agong waktu itu, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara kerjasama dengan Malaysia yang difokuskan Tajikistan termasuklah dalam sektor-sektor pembangunan ekonomi, saintifik, teknikal, kebudayaan dan kemanusiaan.

Beberapa siri memorandum persefahaman (MoU) turut ditandatangani kedua-dua pihak.

Malaysia merupakan antara destinasi pelancongan dan pendidikan utama bagi warga Tajikistan. Menurut Kedutaan Tajikistan di Kuala Lumpur, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, terdapat kira-kira 300 pelajar Tajikistan di Malaysia. Namun, kini tinggal sekitar 100 pelajar sahaja.

Kebanyakan pelajar Tajikistan menuntut di institusi pengajian tinggi swasta seperti di Universiti Lim Kok Wing, Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI) dan Universiti Multimedia (MMU). Namun, terdapat juga beberapa pelajar menuntut di Universiti Malaya.

Sistem pendidikan kita yang disifatkan berkualiti tinggi menarik minat Tajikistan untuk menjemput mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia baik swasta atau awam untuk membuka cawangan universiti di sana. Segala bentuk kerjasama yang memberi kesan baik dalam industri pendidikan juga sangat dialu-alukan.

Saya melihat ekonomi di negara-negara Asia Tengah sedang rancak bergerak dengan pelbagai jenis projek sedang dan bakal dijalankan. Inilah saatnya untuk Malaysia mengambil peluang menerokai bumi Asia Tengah yang kaya dan mampu memberi pulangan yang baik demi kebaikan negara.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×