Kenapa kakinya panjang? - Utusan Malaysia

Kenapa kakinya panjang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYAITAN itu memang wujud dan berada di mana-mana. Jika tidak bernasib baik, dia akan menjelma dan mengganggu kita dalam pelbagai bentuk dan rupa. Itu semua adalah ketentuan Allah SWT yang menjadikan sekalian makhluk dan alam semesta. Pastinya setiap kejadian yang berlaku itu ada hikmah dan pengajaran di sebaliknya.
Begitulah juga dengan pengalaman yang pernah aku lalui sebelum ini. Satu kisah seram yang ingin aku kongsikan kepada pembaca sekalian. Kisah yang berlaku pada 2019 ketika pulang bercuti berhari raya di kampung nenek yang terletak di Bidor, Perak. Begini ceritanya…
Sudah seminggu hari raya Aidilfitri berlalu, namun aku masih berada di kampung nenek. Kebetulan waktu itu masih cuti sekolah, jadi alang-alang berada di kampung aku ambil keputusan untuk habiskan baki cuti di sini.
Petang itu beberapa ahli keluarga sepakat untuk berkunjung ke rumah salah seorang saudara kami di Teluk Intan. Memandangkan ramai yang ingin pergi, maka aku pun ikut serta. Kami bertolak menaiki sebuah MPV dan sebuah motosikal yang ditunggang oleh abangku. Maklumlah ada sembilan orang, manalah muat kalau nak sumbat satu kereta, lagi pun jarak dari Bidor ke Teluk Intan bukanlah jauh sangat lebih kurang 40 kilometer sahaja.
Hampir tengah malam juga kami bertolak pulang, maklumlah bila dah lama tidak berjumpa banyaklah dibualkan. Ketika hendak pulang itulah bapa saudaraku menyarankan agar kami pulang ke Bidor melalui jalan lama yang menghubungkan Teluk Intan ke Tapah Road. Sepupuku, Danial yang pada awalnya datang menaiki motosikal bersama abangku, Zaril tiba-tiba bertukar fikiran. Alasannya dia mengantuk dan ingin tidur. Jadi terpaksalah aku beralah dan menggantikan tempatnya.
Disebabkan tidak mahir dengan laluan tersebut, maka aku dan abang mengekori dari belakang. Suasana di jalan raya cukup sunyi dan gelap sebaik sahaja kami keluar dari pekan Teluk Intan. Mungkin kerana sudah seminggu hari raya, ramai yang telah pulang ke kota. Lagipun dari apa yang aku dengar sebelum ini laluan tersebut memang jarang dilalui pada waktu lewat malam. Apa sebabnya aku kurang pasti.
Deruman enjin kapcai abangku memecah kesunyian. Kenderaan yang dipandu bapa saudaraku pula sudah memecut pergi. Dalam hati rasa geram juga, mentang-mentanglah mereka mahir laluan di situ, langsung tak fikir kami yang di belakang ketika itu.
Untuk menghilangkan rasa bosan aku menyanyi sendirian. Sesekali abangku turut menyampuk menyanyi sama. Habis satu lagu, aku sambung pula lagu lain. Sehinggalah abangku menegur.
“Eh, Intan tadi nyanyi suara sedap, ini kenapa bertukar garau pula?”
Aku terdiam. Dalam hati terfikir kenapa pula abangku berkata begitu, sedangkan rasanya nyanyianku sama sahaja seperti tadi. Namun aku cuba fikir positif, mungkin agaknya dia tidak dengar dengan jelas tambahan pula bila bercampur aduk dengan deruman enjin motosikalnya.
“Eh, jangan main-mainlah Zaril. Suka nak menakutkan orang pula,” kataku geram. Dia tidak membalas kata-kataku. Tumpuannya masih pada jalan raya yang gelap di hadapan. Kenderaan yang dipandu oleh bapa saudaraku pula sudah hilang daripada penglihatan. Mungkin berada di sebalik selekoh di hadapan agaknya, fikirku dalam hati.
Tiba-tiba di laluan bertentangan hadapan kami kelihatan cahaya lampu berkelip-kelip malap. Serta merta abangku menperlahankan motosikalnya.
“Eh, ada motor rosak agaknya. Jom kita tolong,” kata Zaril kepadaku. Aku hanya diam.
Memang tidak syak lagi, dalam samar malam kelihatan sosok seorang lelaki sedang duduk di motosikalnya, sambil kakinya dikayuh perlahan di permukaan jalan raya.
Abangku memperlahankan motosikalnya. Aku pasti niatnya ingin membantu lelaki tersebut. Memang kebanyakan penunggang motosikal bersikap begitu. Pantang ada kesulitan yang menimpa penunggang lain, pasti mereka ambil berat dan membantu. Namun sebaik sahaja abangku ingin memberhentikan motosikalnya, tiba-tiba aku tergamam. Dalam suasana gelap malam itu aku dapat melihat dengan jelas raut wajah lelaki tersebut. Cukup menyeramkan. Wajahnya langsung tidak menggambarkan masalah yang dihadapinya ketika itu malah dia pula merenungku dengan pandangan cukup tajam. Bola matanya cukup menakutkan. Dia memandangku tanpa berkelip. Aku yang berada di atas motosikal berasa tidak keruan.
“Zaril.., Zaril.., jangan berhenti. Cuba kau tengok orang itu, lain macam sangat rupanya,” kataku sambil menepuk pahanya. Zaril serta-merta membatalkan niat untuk berhenti. Dan ketika motosikal yang kami naiki betul-betul melewatinya, jantungku terus berdegup kencang.
Dalam suram cahaya bulan jelas kelihatan lelaki tersebut sedang duduk membongkok di bahagian belakang motosikalnya. Kakinya dikayuh laju berulang kali di permukaan jalan raya seperti menolak motosikal yang sudah kehabisan minyak. Tetapi itu bukanlah sesuatu yang aneh dan menghairankan, tetapi apa yang menyeramkan apabila melihatkan kaki lelaki tersebut.
Kakinya cukup panjang seakan dua kali ganda berbanding kaki manusia biasa. Memang kelihatan tidak masuk akal. Hati aku kuat mengatakan lelaki itu bukanlah manusia!
“Kenapa kakinya panjang sangat? Mana ada manusia normal kaki macam itu?” kataku kepada Zaril.
Sebaik melihat sosok tersebut, tanpa berlengah Zaril terus memecut motosikalnya. Dia sudah tidak lagi menghiraukan keadaan jalan raya ketika itu. Habis segala lubang diredahnya.
Sebaik sampai di rumah kami lantas menceritakan tentang apa yang berlaku. Masing-masing hairan. Kata mereka sepanjang melalui kawasan itu, mereka langsung tidak berselisih dengan sesiapa.
“Tempat yang kamu lalu itu memanglah ‘keras’. Itukan kawasan Changkat Petai. Macam-macam kejadian pelik yang orang dah jumpa di situ. Lagipun di tepi jalan itu ada tanah perkuburan,” kata salah seorang ibu saudaraku.
Aku dan Zaril tergamam dengar penjelasan tersebut. Kalaulah dari awal lagi kami tahu tentang kisah di sebalik laluan itu pastinya kami tak lalu di situ.
Bagaimanapun aku pasti apa yang disaksikan tadi bukanlah khayalan kerana abangku saksi utama kejadian tersebut. Akibat kejadian itu aku dan abangku demam seminggu. Aku juga nekad tidak akan menempah maut untuk melalui jalan tersebut di waktu alam, lebih-lebih lagi kalau menunggang motosikal. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya