MUKADIMAH
RAMAI pemimpin politik mula gusar, tidak senang duduk, mungkin juga tidak dapat tidur lena selepas secara tiba-tiba ADAM ADLI ABDUL HALIM menyertai PKR.
Penglibatannya dalam parti politik masih baharu tetapi auranya sebagai aktivis yang lantang bersuara tentang sesuatu isu membuka mata golongan muda untuk menyokong perjuangannya.
Figura muda berusia 32 tahun ini jika diberi peluang boleh menjadi lawan sengit dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan menundukkan pemimpin sedia ada.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN serta jurufoto SHIDDIEQIIN ZON di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, penglibatannya dalam PKR sebagai platform untuk menjernihkan politik negara daripada anasir yang mempunyai kepentingan peribadi melalui tenaga muda walaupun terpaksa melepaskan kerjaya sebagai seorang guru.
UTUSAN: Perkembangan terbaharu?
ADAM ADLI: Tiada apa sangat memandangkan saya hanya ahli biasa dan masih bergerak atas kapasiti sendiri. Jika tidak bergerak dengan Liga Rakyat Demoraktik (LDR), saya buat beberapa program bersama rakan-rakan yang berkisahkan forum, temu bual dan mungkin pada pertengahan bulan ini akan ada banyak program di luar. Saya akan turun padang ke kawasan tertentu untuk program yang lebih terbuka.
Di luar politik pula, saya banyak menghabiskan masa di rumah dengan melakukan kerja-kerja suntingan dan terjemahan secara freelance. Pada masa ini saya berkhidmat di Shah Alam kerana kerja-kerja politik dilakukan secara mobil selain masih terikat dengan Penggerak Komuniti Muda (Peka) di Pulau Pinang.
Perancangan selepas masuk PKR?
Pelan mahu masuk PKR tidak lama tetapi terlibat dengan politik dirancang dalam tempoh setahun lebih terutama selepas penubuhan LRD. Banyak perbincangan politik yang menunjukkan ada keperluan. Selepas menilai serta merasakan dengan menyertai parti politik akan lebih membuka banyak peluang untuk melakukan sesuatu berbanding berada dalam ruang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terhad. Bila terlibat dalam politik, kita boleh lebih dekat dalam pembuatan dasar, memperjuangkan sesuatu isu berkaitan politik. Sebelum ini ada fikir-fikirkan (sertai) parti lain juga tetapi saya tahu, dengan PKR saya lebih selesa sebab banyak bekerjasama dari zaman siswa lagi. Begitu juga hubungan yang terbentuk antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH). Agak sukar membuat pilihan tetapi bagi saya PKR lebih sesuai dengan diri kerana rencah parti itu lebih senang diikuti.
Bukan sebab Datuk Seri Anwar Ibrahim?
PKR ada sejarah panjang selain Anwar, ada juga perjuangan reformasi, penglibatan parti rakyat dan sebagainya. Sejarah itu menjadi satu wadah politik yang agak unik dan bertahan agak lama dalam sejarah serta menjadi salah satu parti politik yang membawa perubahan agak ketara. Kalau kita bandingkan terutama sebelum 1998 dan 2001, ketika pasca reformasi iaitu kewujudan PKR sebagai batu loncatan untuk pembangkang bergerak lebih jauh ke hadapan. Akhirnya kita ada sebuah parti arus perdana yang prinsipnya progresif, membariskan orang-orang daripada pelbagai aliran fikiran dan tidak berpaksikan kepada satu-satu ideologi kaum atau agama.
PKR membuka peluang baharu untuk politik dan itu antara perkara yang menjadikan parti ini sangat signifikan serta berpotensi besar malah tidak keterlaluan dikatakan PKR sudah menjadi institusi di Malaysia.
Tidak dinafikan Anwar merupakan pemimpin berkarisma kerana membuka banyak peluang baharu dalam politik. Siapa sangka kita boleh lihat parti pelbagai kaum bergerak secara arus perdana ketika menjadi kerajaan?
STRATEGI PRU-15
Penglibatan anda dalam PKR sebagai strategi untuk PRU-15?
Saya tak pasti sebab kebanyakan yang masuk hari itu terdiri daripada kepimpinan pelajar dan beberapa tokoh dalam gerakan anak muda yang sebenarnya agak ke hadapan. Mereka ini selalunya kecil, small but very loud. Dalam gerakan kami, mereka ini dikenali dan mempunyai pengaruh yang agak baik. Jadi, apabila masuk politik, maka boleh menyumbang cara lain. Ia satu signal untuk membentuk sikap mereka yang mahu terlibat agar lebih serius, sekurang-kurangnya membuka jalan untuk kawan-kawan lain terlibat dalam politik.
Jadi, jika untuk strategi berhadapan PRU, saya rasa kalau dikatakan memberi pengaruh untuk golongan muda mahupun kawan-kawan aktivitis, ia merupakan petanda baik. Kita akan nampak penglibatan ramai gerakan anak muda menjelang PRU nanti tetapi dari segi umum, saya rasa biasa saja. Kalau ikutkan kami hanya sebahagian daripada 20,000 pendaftaran ahli baharu.
Untuk PRU lebih baik kita tengok daripada capaian yang lebih luas, bukan hanya sekadar dalam kalangan aktivis seperti perlu ada lebih ramai orang di lapangan untuk bagi input, sudut pandangan tentang bagaimana politik negara ini menjelang PRU boleh dibentuk untuk kebaikan.
Nama Adam Adli sudah besar, itu sebab anda diterima PKR?
Wallahuaklam. Saya anggap itu satu penghargaan. Kalau ikutkan, mereka teruja kerana orang-orang PKR ini kebanyakannya termasuk presiden adalah mereka yang terlibat dengan aktivisme sama ada reformasi sehingga gerakan pelajar pada 1970-an. Inilah orang-orang yang mewarnai PKR. Mereka anggap kedatangan kami seperti menyambut kawan-kawan, kerana itu mereka beri lebih perhatian tapi tidak bermakna kami istimewa. Kami sama sahaja. Kalau nak ke hadapan, nak bawa kepimpinan di kawasan masing-masing atau di peringkat pusat dan negeri kena tunjukkan kerja. Perlu tonjolkan diri. Semua perlu lalui proses sama. Pesanan yang kami terima waktu itu pun adalah bertempurlah, berjuanglah dan bukannya diberi kerusi empuk. Maksudnya bila nak capai sesuatu perlu lipat gandakan usaha. Tiada seorang pun yang diberi silver plate.
Ada ura-ura nama dicalonkan?
Saya masuk dengan niat bawa sedikit sebanyak tenaga baharu terutama buat komponen muda, tidak semestinya Angkatan Muda Keadilan (AMK). Saya bawa tenaga bukan semata-mata nama tetapi buah fikiran yang sedikit sebanyak mungkin memainkan peranan sebagai orang dalam parti dengan cuba mencadangkan program, pendekatan, kritikan dan sebagainya.
Untuk jadi calon tak pernah dibincangkan. Ditanya-tanya itu biasalah sekadar usikan dan saya pun tidak hantar nama. Penting bagi saya melalui prosesnya, buktikan diri, ikut disiplin parti. Kalau kita bercita-cita nak jadi pemimpin maka kita perlu sedia dipimpin terlebih dahulu. Bila masuk politik, kita perlu bawa semangat yang sama iaitu meletakkan kepentingan sesuatu agenda atau isu dengan mengurangkan kepentingan sendiri tetapi lebihkan organisasi. Ia boleh jadi contoh yang baik untuk golongan muda.
Bukan masuk PKR untuk pemerkasaan PH?
Memang ada niat yang sangat kuat tentang perkara ini. Saya ada hubungan baik dengan kawan-kawan dalam PH. Saya pernah bekerja di Pulau Pinang dengan rakan dari DAP. Saya juga penulis kolum Amanah Satu Masa.
Masa tubuhkan LRD adalah untuk menyatukan semua di bawah satu bumbung. Jika ada perbezaan mahupun pertelingkahan, yes boleh bertelingkah, boleh bertelagah kerana itu demokrasi tetapi apabila balik kepada organisasi, ia perlu dibincang dalam ruang lebih neutral. Kita sudah lama buat melalui NGO. Jadi, ya, saya masuk PKR untuk kukuhkan PH supaya dapat jalinkan kerjasama lebih baik. Kita tahu politik tidak boleh dijangka. Tidak tahu apa cabaran di masa depan. Oleh itu, mulakan dengan motivasi. Mulakan niat yang sama. Kalau ada ruang yang boleh saya bantu untuk kukuhkan kerjasama, maka saya mahu terlibat, biar ada sedikit sebanyak sumbangan.
Di mana Adam Adli semasa kerajaan PH dijatuhkan dalam Langkah Sheraton?
Masa itu saya tak terlibat sangat dengan kepartian. Ketika itu saya baru tubuhkan LRD. Tiba-tiba ada Langkah Sheraton, kami hilang arah seketika kerana penubuhan LRD adalah respons kepada tertubuhnya PH. Kita kena akui sepanjang pentadbiran PH ada banyak kelemahan. Jadi, LRD ditubuhkan bagi menyumbang pandangan, idea dan kritikan. Kalau ada platform macam LRD yang ada banyak tenaga mahir, jadi kita boleh buat lebih daripada kenyataan akhbar seperti forum untuk membincangkan isu dan boleh buat kertas kerja yang lebih teliti. Ini kerana menjadi kerajaan dan pembangkang jauh berbeza. Semasa jadi pembangkang, lebih senang kerana hanya perlu menolak apa-apa isu yang dirasakan perlu.
Ketika itu semua masih keliru, masih mencari jawapan dan ada keinginan untuk mengetahui sebab semuanya berlaku secara pantas. Sedikit sebanyak rasa marah sebab mandat rakyat dikhianati. Kita marah bila ruang demokrasi diperlakukan sebegini. PRU dilihat tidak lagi signifikan apabila boleh susun kuasa begitu saja melalui pengkhianatan tetapi pada masa sama ia memberi peluang untuk mencari titik penting sebagaimana reformasi yang dahulu menggerakkan orang muda untuk terlibat dengan politik. Langkah Sheraton menyebabkan lebih ramai orang bermotivasi untuk terlibat dalam politik secara lebih serius, tidak lagi terlalu banyak skeptikal. Ramai yang mula ambil tindakan berbanding kritik semata-mata. Sikap ini boleh dilihat selepas satu episod politik yang sangat menyedihkan.
KEMATANGAN
Cukup matangkah belia untuk terlibat politik?
Dalam konteks Undi18, orang kata tak matang. Suatu masa dahulu perempuan tak boleh undi, adakah nak kata perempuan tak matang? Kita tidak tahu siapa yang ukur tahap kematangan kecuali ia dilakukan oleh mereka yang mempunyai banyak kelebihan seperti mereka yang lebih tua. Kalau nak berperang, tetap cari orang muda untuk bertempur, cari tenaga kreatif juga nak orang muda. Jadi, apa masalah jika dikatakan tidak matang sekalipun?
Adakah yang dikatakan tidak matang atau tidak banyak pengalaman kerana tidak boleh buat keputusan dengan baik? Sebenarnya orang muda cukup matang. Selalu kita dengar, ‘awak ini naif dan tidak tahu pasal politik.’ Adakah jika seseorang itu melawan rasuah, hentikan politik perkauman, pastikan negara tiada korupsi, pastikan tangga gaji lebih baik atau menjadi pemimpin bertanggungjawab menjadikan seseorang itu tidak cukup matang? Jika begitu, lebih baiklah tidak matang sampai bila-bila. Adakah untuk menjadi matang kita perlu terima perkara yang tidak baik dalam politik? Ini adalah alasan yang diberi oleh ‘orang-orang matang.’ Itulah yang ramai terkena termasuk Syed Saddiq Abdul Rahman yang dilabelkan sebagai budak.
Adakah rakyat kini beralih fokus kepada orang muda kerana penat dengan sikap orang lama dalam politik?
Muda tidak boleh diukur dengan umur semata-mata kerana ada sahaja pemimpin ‘tua’ tetapi membawa idea dan berfikir seperti orang muda. Politik muda lebih progresif, bawa idea baharu yang lebih baik dengan tidak mementingkan sesuatu pihak atau diri sendiri. Politik muda digerakkan oleh orang muda yang terkesan dengan masalah politik yang dibawa oleh orang lama. Ini kerana politik kita masih ditakuk sama kerana ia masih lagi dipimpin oleh orang yang sama dari zaman dahulu. Mereka masih menggunakan penyelesaian lama terhadap permasalahan baharu.
Ada signal jelas untuk menolak muka-muka lama?
Tidak juga kerana Undi18 hanya akan membawa 7.8 juta undi baharu. Ada sahaja orang lama yang disukai oleh rakyat seperti Anwar, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hassan Karim. Mereka begitu popular dalam kalangan orang muda. Pun begitu, kalau masih letak orang lama yang berperangai ‘tua’ semestinya akan ditolak. Orang akan marah dan itu kita boleh lihat bagaimana pemimpin tua yang masih lagi boleh membuat jenaka, merendahkan orang lain dan tidak mampu menjawab soalan dengan baik ketika menyampaikan isu kritikal dan penting, Semua ini orang ramai boleh lihat di media sosial dan mereka menilai.
FEMINIST
Siapa idola dalam politik?
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kerana beliau cekal dan kuat selain banyak memberi dorongan kepada ramai mangsa penindasan. Beliau menjadi sumber inspirasi kepada kaum ibu. Beliau seorang tokoh yang baik. Diserang macam-macam, hadapi pelbagai ujian, namun masih kuat. Saya suka lihat beliau dari dulu lagi. Selain beliau, Datuk Seri Dr. Burhanuddin Muhammad Nur al-Hilmi juga idola. Ini kerana beliau antara tokoh yang progresif, radikal dari segi idea, bukan semata-mata tindakan.
Siapa layak ganti Anwar?
Mungkin kedengaran klise tetapi saya rasakan Nurul Izzah (anak Anwar). Beliau ada karisma dan tarikan. Orang mudah ikut. Beliau tidak sama dengan Anwar. Masing-masing ada kelebihan sendiri. Walaupun sekarang lebih low profile tetapi saya tahu beliau seorang yang teliti untuk bawa diri sendiri dan masa depan. Figura yang bakal menggantikan Anwar perlu boleh terima, hormat dan ada rujukan. Di masa hadapan pasti akan lebih ramai pemimpin yang boleh diangkat sebab ramai orang yang baik-baik.
Anda seorang feminist kerana Wan Azizah dan Nurul Izzah menjadi pilihan?
Saya tak tahu. Saya banyak kelemahan untuk digelar feminist tapi saya hormat dengan feminisme dan saya percaya perlu ada pemerkasaan dalam golongan wanita. Saya banyak belajar dengan ibu-ibu dan dipimpin oleh ramai pemimpin wanita, jadi saya belajar. Saya bukan perfect. Saya perlu belajar ke arah itu sebab dilahirkan sebagai lelaki.
Kita pernah buat silap. Mungkin ada masanya kita dilihat seksis secara tidak sedar kerana perkara itu budaya, jadi saya cuba belajar. Nak panggil saya feminist, saya belum layak. Saya hormat seperti mana tidak pernah melabel diri sebagai aktivis.











