Bila dia pintas aku? - Utusan Malaysia

Bila dia pintas aku?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai pengguna jalan raya bercerita kononnya laluan di sepanjang lebuh raya di Bukit Grik agak ‘keras’. Pelbagai kisah seram diceritakan terutamanya melibatkan orang luar yang pertama kali melalui kawasan tersebut. Pengalaman ini turut dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya bernama Rusdi kepada saya. Begini ceritanya…
Pada September 2017, saya ditugaskan majikan untuk memantau projek pembinaan di daerah Baling, Kedah. Memandangkan projek tersebut siap dalam masa satu tahun, jadi saya tidak bercadang membawa keluarga pindah ke sana. Lagipun kebiasaannya setiap Jumaat saya akan bertolak pulang ke Shah Alam menjenguk mereka, dan pada Ahad berikutnya barulah saya pulang semula ke Baling. Begitulah rutin saya setiap minggu.
Pada Jumaat petang setelah selesai tugas, saya beritahu dengan pekerja hendak pulang ke Shah Alam. Mereka semua pun sudah faham dengan jadual saya. Saya beritahu jika ada apa-apa masalah terus sahaja hubungi saya. Setelah mengemas beberapa helai pakaian, saya pun bertolak pulang.
Selepas mengisi minyak dan membeli minuman serta makanan ringan, saya meninggalkan pekan Baling. Begitulah kebiasaan saya jika memandu berseorangan. Untuk hilangkan mengantuk dan rasa bosan macam-macamlah bekalan makanan saya bawa sepanjang perjalanan.
Hari sudah beransur gelap. Saya memandu dengan tenang. Kenderaan di jalan raya juga lengang, maklumlah jalan kampung memang tidak sesibuk seperti di bandar.
Saya lihat jam di papan pemuka kereta. Sudah masuk waktu Maghrib. Cuaca di luar sudah gelap pekat. Sesekali kelihatan pancaran kilat yang diselangi dentuman guruh. Bintang di langit langsung tidak kelihatan. Nampak seperti tanda-tanda akan hujan sebentar lagi.
Tekaan saya tepat, tidak sampai beberapa kilometer saya meninggalkan pekan Baling, hujan dengan lebatnya. Saya memandu perlahan dengan penuh berhati-hati. Ketika kenderaan menuruni kawasan bukit tiba-tiba di bahu jalan di hadapan saya kelihatan satu sosok sedang mengayuh basikal meredah hujan.
Terbit rasa kasihan di hati saya, maklumlah daripada pandangan saya lelaki tersebut sudah tua dan uzur. Kayuhannya juga perlahan mungkin kudratnya sudah berkurangan. Pakaiannya juga sudah basah lenjun.
Ketika ingin melintasnya saya perlahankan kelajuan kereta. Saya toleh ke arahnya, nampak dia sedang asyik mengayuh seakan tidak menghiraukan kenderaan saya di sebelahnya. Namun sebaik sahaja saya ingin memintasnya, tiba-tiba dia menoleh…
Kami berpandangan. Jelas kelihatan raut wajahnya memandang serius ke arah saya. Langsung tidak senyum. Saya tidak menyangka yang bukan-bukan, mungkin kerana dia juga tidak nampak saya yang berada di dalam kereta kerana cermin sisi saya sudah di basahi hujan.
Saya memintasnya perlahan.
Dalam hati rasa bersalah kerana tidak mampu membantunya, kalaulah dia berjalan kaki pasti saya akan menumpangkannya. Saya berharap agar dia selamat sampai ke tempat ditujunya, jika tidak habislah dia basah kuyup.
Saya teruskan pemanduan. Hujan semakin galak seakan tidak menunjukkan tanda akan berhenti. Saya menyanyi mengikut rentak lagu yang terpasang di radio untuk menghilangkan rasa bosan. Keadaan jalan raya cukup lengang. Langsung tidak nampak kenderaan yang berselisih dengan saya ketika itu.
Ketika beberapa kilometer ingin sampai ke pekan Gerik, dari samar cahaya lampu kenderaan saya terperasan ada satu objek di hadapan. Saya buka lampu tinggi dari kenderaan. Dari jauh kelihatan seorang lelaki sedang menunggang basikal di hadapan saya.
“Ramai pula orang naik basikal time hujan ini,” bisik saya dalam hati. Saya terfikir juga dalam hati kenapalah mereka tidak tunggu sehingga hujan berhenti. Kalau naik motosikal itu lainlah ceritanya, tetapi ini naik basikal. Dah tentulah habis pakaian basah lenjun nanti.
Namun sebaik sahaja menghampirinya, darah saya tiba-tiba tersirap. Jantung serta merta berdegup kencang. Saya amati betul-betul sambil gosok mata berkali-kali. Sah, sosok di hadapan saya ini memang saling tak tumpah seperti lelaki yang saya pintas sebelum ini.
Saya keliru dan amati betul-betul. Sebaik sahaja kenderaan saya ingin memintasnya serta merta dia menoleh ke arah saya. Sah! Memang lelaki tadi. Raut wajah dan jelingan tajamnya masih saya ingat lagi. Bola matanya tepat memandang saya. Apa lagi, terus saya tekan pedal minyak dan memecut pergi. Waktu itu saya sudah tak hiraukan hujan dan jalan raya yang licin.
Waktu itu hanya tuhan sahaja yang tahu betapa takutnya saya. Saya pusing cermin sisi di hadapan ke atas. Saya takut kalau-kalau lelaki tersebut muncul pula di dalam kereta pula. Macam-macam perkara tak masuk akal yang saya fikirkan ketika itu. Mulut pula tidak henti-henti membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk menghilangkan rasa takut.
Alhamdullillah, kenderaan yang saya pandu akhirnya sampai juga di pekan Gerik. Saya urut dada tanda syukur. Berkali-kali saya beristighfar. Nasib baiklah tiada perkara buruk yang jadi. Saya rasa sudah tidak mampu untuk teruskan perjalanan ke Shah Alam waktu itu. Risau kalau berlaku perkara buruk lain sepanjang perjalanan nanti.
Saya berhenti di sebuah restoran untuk basahkan tekak dan tenangkan fikiran. Saya hubungi isteri dan beritahu yang saya tidak dapat pulang malam itu kerana ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Saya tidak mahu cerita kepadanya tentang apa yang berlaku, takut pula kalau dia risau dan sebagainya.
Malam itu saya sukar untuk melelapkan mata. Fikiran masih terbayang peristiwa yang baru ditempuh tadi. Puas saya fikir siapa lelaki yang menaiki basikal itu. Saya cukup yakin lelaki itu adalah orang yang sama ketika saya memintasnya pada kali pertama.
Saya masih ingat lagi raut wajah dan jelingan tajamnya. Saya tidak tahu sama ada dia manusia atau pun bukan, kerana bila difikirkan semula banyak faktor yang tidak logik dan masuk akal. Contohnya, mana mungkin lelaki tua mengayuh basikal seorang diri dalam hujan lebat begitu. Ke mana arah tujuannya?
Dan kalau benar pun kenapa dia tidak tunggu sehingga hujan reda. Dan seperkara lagi kalau benarlah dia manusia biasa mana mungkin saya boleh bertembung buat kali kedua. Saya menaiki kereta dan dia pula menunggang basikal dengan perlahan. Mustahil dia boleh memintas saya. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya