Rakyat wajib tolak pemimpim rakus, angkuh, tamak kuasa - Utusan Malaysia

Rakyat wajib tolak pemimpim rakus, angkuh, tamak kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANA-mana ahli politik yang rakus, angkuh dan tamak kuasa ‘wajib’ ditolak oleh rakyat.

Demikian penegasan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), DR. G.K. BALACHANDRAN sekali gus mahu rakyat memainkan sepenuhnya peranan mereka bagi ‘menghukum’ golongan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau berkata, hukuman sedemikian bukan sahaja dapat memberi pengajaran kepada kelompok pemimpin rakus, malah impak yang lebih besar ialah bakal memulihkan kembali politik negara di samping mengukuhkan perpaduan ummah.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ROSALINDA MD. SAID bersama jurugambar, PUQTRA HAIRRY ROSLI, Balachandran mengupas mengenai isu tersebut di samping perancangan masa depan sayap bukan Islam dalam Pas itu semasa pertemuan di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.

UTUSAN: Ramai pemimpin perlu ditolak?
BALACAHANDRAN: Kalau tengok suasana politik hari ini, bagi saya memang ramai pemimpin perlu ditolak. Dalam UMNO misalnya, ada pemimpin yang baik tetapi mereka tenggelam kerana jawatan tertentu hanya diberikan kepada individu sama selama puluhan tahun.

Situasi sedemikian tidak seharusnya terus berlaku kerana rakyat mahukan kelompok pemimpin yang tiada latar belakang dan kepentingan politik tetapi mempunyai perhitungan dosa serta pahala dalam menjalankan amanah.

Bagaimanapun, kita percaya calon pemimpin yang mempunyai ciri-ciri tidak pentingkan diri, jujur dan berkelayakan ada dalam Pas kerana dipandu oleh agama. Kita tidak mengatakan pemimpin Pas sempurna tetapi dalam konteks ini kita nampak hakikat itu.

HUKUM AHLI POLITIK
Semua ahli politik yang angkuh dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan harus ditolak termasuk mereka yang menangguk di air keruh. Jadi, rakyat perlu memanfaatkan undi mereka dalam PRU-15 untuk mengajar pemimpin berkenaan dengan memilih calon yang berintegriti, berwibawa serta mempunyai perhitungan dosa dan pahala.

DHPP mahukan persada politik negara selepas PRU-15 merangkumi agenda seperti keadilan diletakkan pada tempatnya, politik tanpa perkauman di samping menjaga hak Islam dan bukan Islam.

JAUHI PECAH BELAH
Ambil iktibar kisah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang selepas 22 bulan memerintah negara hanya gara-gara berpecah-belah. Jadi, kita harap ahli politik dalam kerajaan hari ini memahami dengan jelas kesan buruk jika mereka mengikut jejak langkah sama.

Dalam keluarga, perselisihan faham itu biasa. Jadi, amalan duduk berunding itu amat penting dan usah terus keluar meninggalkan rumah semata-mata kerana perbalahan.

Utamakan konsep muzakarah (perbincangan) dalam setiap perkara.

PEMIMPIN BERKORBAN
Saya percaya pemimpin yang baik adalah mereka yang sanggup menanggung kesakitan dan bukan meletakkan kesakitan itu kepada rakyat. Dalam konteks ini, semua pemimpin perlu berkorban serba-serbi termasuk dalam soal perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara.

PAS SENTIASA MAAFKAN UMNO
Ramai mempersoalkan kenapa Pas menerima UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) sedangkan UMNO didakwa zalim dan jahat. Tetapi Pas sentiasa memberi peluang kepada semua kerana pendekatan parti ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan ummah.

11 TAHUN DHPP
Penubuhan kita pada 2010 sebagai jambatan antara Pas dengan golongan bukan Islam. Sebelum PRU-14, bilangan ahli kita lebih 85,000 orang tetapi pasca PRU menyaksikan kita kehilangan penyokong kerana kelompok itu tidak memahami dasar perjuangan Pas.

Berbekalkan usaha keras, kita berjaya membentuk semula DHPP dan setakat ini keahlian sudah mencecah 50,000 orang. Walaupun cuma ahli bersekutu tetapi hak sebagai bukan Islam tetap terjaga dalam Pas tanpa sebarang keraguan.

SASARAN TAMBAH AHLI
Kita bukan macam parti lain yang dengan mudah mengambil ahli, sebaliknya kita mahu memastikan setiap individu yang diterima masuk memahami dasar perjuangan Pas iaitu, Islam. Sekiranya mereka tidak dapat menyesuaikan diri dalam situasi itu, sebaiknya janganlah masuk DHPP.

CARI KEBENARAN DALAM PAS
Bagi bukan Islam yang celaru dan membenci politik, mereka wajib mencari kebenaran dalam Pas sekali gus menjadi ahli DHPP. Perlembagaan Pas jelas berdasarkan al-Quran dan sunnah. Malah, dalam parti ini orang Islam dan bukan Islam boleh mencari titik persamaan ke arah penyatuan rakyat dalam usaha memastikan masyarakat boleh hidup sejahtera dan harmoni.

CALON PRU-15 KALANGAN DHPP
Semasa PRU-14, tiga calon Pas daripada DHPP dipilih mewakili kerusi Parlimen manakala 11 di Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, untuk PRU-15, kita tidak menetapkan sebarang jangkaan. Kita belajar daripada kesilapan lalu kerana sikap kepemimpinan terdahulu yang terlalu mengharapkan sesuatu menyebabkan mereka mudah meninggalkan DHPP apabila kecewa.

Pada masa sama, fokus utama kita pada masa ini adalah untuk memerangi Covid-19 dan membela nasib rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×