RAKYAT Malaysia kali ini dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangkakan sebelum Julai 2022, dipercayai telah cukup bersedia ‘jurus-jurusnya.’ Mereka pasti nekad memilih calon dengan berhati-hati, teliti dan ketat.
Pandemik Covid-19 yang menjangkau dua tahun ini ibarat ‘guru mengajar yang terbaik.’
Dalam konteks kriteria calon bertanding, parti-parti politik akan menetapkan piawaian tinggi – faktor sure menang ini akan diambil perhatian kerana yang hendak dipilih ini bukannya wakil parti, tetapi wakil rakyat.
Suasana politik kini sudah berubah. Trend dan tingkah laku pengundi berfikir turut bertukar. Jika pemilihan calon pilihan raya menggunakan kaedah lama dan masih tidak berubah, jangan sampai nanti parti yang rebah.
Calon yang mempunyai persona dan karakter pasti menang. Maka, semua parti perlu mengambil sikap ‘ukur baju di badan sendiri.’ Seseorang yang tidak berpotensi tinggi untuk menang tidak akan terkejar-kejar melonjakkan diri untuk dipilih.
Yang menarik untuk ditonton dalam gelanggang PRU-15 nanti ialah keberanian menampilkan bakat-bakat muda dengan daya kepimpinan yang segar dan dinamik. Ini relevan dalam landskap politik semasa yang dipengaruhi laman-laman sosial mengelilingi orang muda. Calon baharu dan muda, walaupun tiada track record untuk dinilai, boleh mencetuskan kebangkitan kesedaran politik era sekarang.
Mutakhir ini setelah rakyat terpaksa melalui liku-liku kemelut politik tidak berkesudahan, padahal dua kerajaan tempoh hari – Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional itulah digantung harapan, sebenarnya sudah ada bibit-bibit hilang keyakinan.
Dengan simptom sebegini, rakyat mempersoalkan relevan lagikah pemimpin-pemimpin politik sedia ada ini?
Ada bertanyakan, macam mana Malaysia mahu bergerak ke hadapan sekiranya ahli-ahli politik yang ada masih berlegar-legar dalam arena politik hari ini? Bolehkah generasi pemimpin lama ini ‘mengadaptasinya’?
Jika pendekatan-pendekatan untuk golongan muda, lingkungan 18 hingga 30-an hari ini dipraktikkan, adakah mereka masih mahu ikut acuan pemimpin-pemimpin zaman 80-an?
Utusan Malaysia pernah diajukan dengan satu mesej WhatsApp yang mencabar supaya membalas hujah sang penghantarnya. Begini bunyinya: “Nama-nama pemimpin politik ini saya sudah baca kat (di) surat khabar sejak saya sekolah menengah lagi. Sekarang saya sudah ada cucu. Masih lagi nama-nama mereka:
1. Mahathir
2. Najib
3. Anwar
4. Muhyiddin
5. Hadi
6. Lim Kit Siang
7. Tengku Razaleigh
8. Lim Guan Eng
Masa saya sekolah dulu saya ingat nama dua orang Presiden Amerika ialah Ronald Reagan dan Jimmy Carter. Di UK, Perdana Menterinya ialah Margaret Tatcher. Di Indonesia, Soeharto. Di Filipina, Marcos. Di India, Indira Ghandi. Singapura Lew Kuan Yew. Di Jepun, Nakasone. Di Mesir, Anwar Sadat.
Hari ni dalam pentas politik dunia, orang tak sebut dah nama-nama ini semua. Mereka sudah terlalu usang. Ramai yang sudah tidak ada pun. Tapi di Malaysia masih lagi dengan nama-nama yang sama memenuhi ruang akhbar bicara pasal politik negara.
Nampakkah betapa lambatnya politik negara kita ni bergerak. Macam sudah tidak ada orang lain.” Demikian hujah sang penghantar.
Saya merumuskan begini hujahnya: Isu pemilihan sama ada calon warlords atau calon mudakah bukanlah perkara baharu dalam dua siri PRU lepas, 2018 dan 2013.
Walaupun masih belum diuji kemampuan dan kekuatannya, pengaruh calon baharu dan muda dalam politik amat signifikan dan perlu.
Warlords atau ‘otai-otai’ politik sebenarnya sudah mempunyai track record dan masak dengan permainan politik. Tidak dapat dinafikan, ada warlords yang berwibawa dan berpengalaman.
Walau siapa pun yang terpilih menjadi calon dalam PRU-15 kelak, kena akui perkembangan politik era digital kini memberi cabaran besar akan kewibawaan politik, baik warlords atau muka baharu.
Jadi, bagaimanakah cara untuk mendekati dan meyakinkan pengundi, seterusnya menang? Boleh difikirkan dari sekarang.











