Kemelut dunia vaksin Barat - Utusan Malaysia

Kemelut dunia vaksin Barat

DIKATAKAN lebih 85 peratus kematian global akibat pandemik Covid-19 datang daripada negara-negara miskin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA hampir setahun yang lalu, dunia diberi harapan akan keberadaan vaksin untuk menyelamatkan keadaan sejagat. Harapan menggunung dalam kalangan mereka yang dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia khususnya di negara miskin tanpa banyak prasarana mahupun sumber manusia profesional.

Berita gembira ini bagaimanapun diselubungi pelbagai rintangan baik dari segi kefahaman teknologi pembuat itu sendiri, mahupun polemik politik serta kedudukan sosioekonomi sesebuah negara. Maka wujudlah perlumbaan dalam kalangan mereka yang terlibat, sama ada disedari atau tidak. Ini berlaku dalam pelbagai bentuk tidak berkesudahan dengan kesangsian dan kegusaran sama ada harapan yang dijanjikan akan betul-betul menjelma.

JANJI

Beberapa peristiwa yang berlaku mengisyaratkan bahawa ada kemungkinan janji akan tinggal janji sahaja. Antaranya bekalan vaksin yang tidak pernah mencukupi selain isu-isu pembuatan. Misalnya baru-baru ini, vaksin Moderna keluaran Sepanyol untuk Jepun didapati mengandungi serpihan kekuli sehingga negara matahari terbit itu terpaksa menghentikan penggunaan lebih daripada 1.6 juta dos vaksin berkenaan. Sebelum ini, vaksin kaitan AstraZeneca buatan India pula dilaporkan palsu.

Apapun kini timbul bukti pendustaan tersebut yang lebih nyata mengikut beberapa laporan rasmi baru-baru ini. Salah satu daripadanya adalah melalui Jurnal Perubatan British (BMJ) yang melaporkan tindak-tanduk beberapa negara kaya bersekongkol dengan syarikat farmasi pembuat vaksin untuk menangguk di air keruh. Ini terutamanya bagi mengaut keuntungan berlebihan.

Bagi syarikat Pfizer sahaja dikatakan melebihi AS$3 bilion (RM12.47 bilion) setakat ini. Seterusnya pengeluar termasuk yang bekerjasama dengan Universiti Oxford di United Kingdom (UK), mungkin berganda-ganda lagi labanya sekira cadangan suntikan dos ketiga diamalkan oleh dunia. Ini terang-terangan bertentangan dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak setuju dengan suntikan tambahan tersebut. Begitu juga dengan pihak berwibawa, Kesatuan Eropah (EU) yang mengatakan belum cukup bukti bagi menyokong tindakan tersebut baru-baru ini. Ia selari dengan pendapat European Centre for Disease Prevention and Control, melainkan dalam keadaan terlalu daif.

JENAYAH

Malah WHO menganggapnya sebagai langkah ‘memeranjatkan’ serta bersifat jenayah. Namun, negara-negara kaya tidak menghiraukannya dan terus menyokong tuntutan daripada firma vaksin berkaitan terutamanya Pfizer serta Moderna. Mereka telah pun melakukan pembikinan kilang dos tambahan di beberapa negara Eropah. Bahkan UK sudah pun mengumumkan menawarkan suntikan ketiga pada lewat bulan ini bersama Perancis, diikuti Jerman serta yang lain di Eropah.

Langkah ini bermakna yang negara membangun khususnya akan terpaksa berlumba lebih sengit lagi untuk mendapatkan bekalan suntikan pertama atau keduanya.

Mengikut laporan misalnya, hampir semua 3.2 bilion dos Pfizer dan Moderna yang bakal dikeluarkan tahun ini sudah pun dibolot oleh Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Lantas WHO menganggap ia sebagai satu ‘skandal’ serta mengulangi pemberian dos tambahan ditangguhkan selagi kumpulan yang lebih memerlukan tidak mendapat suntikan sewajarnya. Apalagi kemungkinan besar yang harga vaksin akan turut dinaikkan lagi seperti yang pernah diuar-uarkan firma farmasi terlibat.

Lebih membimbangkan, firma tersebut akan mengalih strategi kepada perniagaan mengaut untung melalui suntikan ketiga, dan enggan menguruskan pencarian penyelesaian yang lebih sempurna melawan Covid-19.

APARTEID

Kesudahan amalan aparteid vaksin akan menjadi kenyataan, maksudnya wujud kelompok tertentu yang tidak akan tervaksin selama-lamanya. Mereka terus menjadi sumber jangkitan atau sumber varian baharu yang boleh menggagalkan pemulihan ekonomi serta pembangunan. Kesan atas keluaran global dikatakan kurang sebanyak AS$4.5 trilion (RM18.71 trilion) menjelang 2025.

Penderitaan terus meluas di mana enam daripada 10 negara sudah mengalami kadar kematian tertinggi dan kurang dari satu per sepuluh warganya belum disuntik sepenuhnya.

Ini hakikat sebenarnya, apabila kesaksamaan dan keadilan dalam penggunaan serta sebarannya tidak dikawal dengan baik. Anggaran 81 peratus daripada lebih 5.41 bilion suntikan diberikan kepada penduduk dari hanya 10 negara terkaya. Sedangkan yang termiskin tidak sampai pun 0.5 peratus setakat ini.

Oleh itu, tidak hairanlah dalam kalangan negara tersebut menyaksikan lebih daripada 85 peratus kematian global akibat pandemik. Ada yang menganggarkan angka itu mencapai 15.2 milion kematian, bukan 4.6 milion seperti ramalan. Kita belum lagi menyelesaikan masalah yang menimpa sejak awal 2021, kini sudah mula dengan kemelut tidak berkesudahan antara sesama manusia sendiri.

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×