KITA sudah menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-64. Persoalannya, selepas pelbagai usaha pembangunan, adakah status wanita khususnya dalam sektor pendidikan tinggi mencapai sasarannya?
Tidak dinafikan terdapat peningkatan akses kepada pendidikan wanita di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Hal ini berlaku disebabkan perundangan, dasar dan tindakan kesamarataan yang telah memberikan peluang sama rata kepada wanita.
Mengikut statistik, daripada 32.5 juta penduduk Malaysia, hampir separuh iaitu 15.8 juta atau 48.6 peratus adalah wanita. 48.6 peratus pelajar perempuan berada di sekolah rendah manakala 50 peratus di sekolah menengah. Dalam sistem persekolahan, pencapaian pelajar perempuan adalah lebih baik daripada pelajar lelaki. Maka tidak hairanlah lebih ramai pelajar wanita berjaya melanjutkan pengajian ke IPT.
Di universiti awam (UA), 60 peratus pelajar wanita mendaftar di peringkat sarjana muda dan sarjana manakala sekitar 50 peratus di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).
Di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), trendnya sedikit berbeza iaitu lebih ramai pelajar wanita di peringkat sarjana muda dan lebih ramai pelajar lelaki di peringkat sarjana dan PhD.
Hampir 55 peratus ahli akdemik di IPTS dan 57 peratus di UA adalah wanita. Di UA, kebanyakan ahli akademik wanita memegang jawatan pensyarah dan hanya satu per tiga memegang kursi profesor. Di IPTS, profilnya lebih kurang sama iaitu lebih ramai pensyarah wanita daripada lelaki, namun jauh lebih rendah jumlah profesor madya dan profesor dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Bilangan penerima wanita dalam anugerah kecemerlangan akademik negara juga kurang berbanding lelaki sementara hanya satu daripada lima profesor ulung adalah wanita. Jelas ahli akademik wanita masih ketinggalan dalam aspek kepimpinan akademik
Pada awal 2020, hanya dua daripada 20 naib canselor adalah wanita, berbanding empat pada 2018. Di lima universiti penyelidikan, kesemua naib canselor adalah lelaki walaupun majoriti pelajar dan kebanyakan profesor wanita berada di situ. Untuk jawatan timbalan naib canselor pula, hanya empat daripada 60 orang dilantik adalah wanita.
ASEAN
Trendnya lebih kritikal dalam kalangan pengerusi lembaga pengarah universiti (LPU) kerana hanya seorang wanita di UA. Daripada 199 ahli LPU yang dilantik, hanya 42 wanita. Jumlah pendaftar dan bendahari adalah lebih baik iaitu lima pendaftar dan lapan bendahari adalah wanita di UA.
Jelas, 64 tahun setelah merdeka, jumlah wanita dalam kepimpinan sektor pendidikan tinggi belum mencapai tahap kritikal yang ditetapkan iaitu 30 peratus, malah lebih rendah berbanding beberapa negara ASEAN. Hal ini bermaksud wanita kurang suara dan sumbangan dalam membuat keputusan. Kegagalan memaksimumkan bakat kepimpinan wanita menunjukkan kepakaran dan kemahiran golongan ini tidak digunakan dengan sebaiknya. Ini adalah sesuatu yang merugikan lebih-lebih lagi apabila isu kepimpinan UA sering diperdebatkan masyarakat seolah-olah UA kini berdepan isu ketandusan bakat dan pemimpin.
Jika dibandingkan kepimpinan wanita di tahap pendidikan tinggi global, Malaysia, China dan negara-negara Arab masih sangat ketinggalan. Antara rumusan utama oleh pakar pendidikan tinggi dalam webinar Universiti Oxford dengan kerjasama American Council on Education pada Jun lalu menunjukkan isu wanita di IPT kini menjadi krisis sejagat khususnya di era pandemik Covid-19. Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah isu pengumpulan data berasaskan gender, kurangnya kajian empirikal berkaitan gender dalam profesion akademik, kurang intervensi khas untuk menambah baik aspek kerjaya wanita, norma budaya seperti ‘pemimpin ideal adalah lelaki’ dan sistem organisasi IPT yang mementingkan rangkaian, tajaan dan hubungan politik.
Jelas wanita di IPT agak ketinggalan berbanding sektor lain dalam aspek kepimpinan, malah trendnya telah merundum. Terdapat keperluan mendesak untuk mengamalkan keadilan jantina dalam kalangan warga pendidikan tinggi. Namun, keadilan ini mestilah berasaskan merit dan bukan sekadar memastikan jumlah kaum wanita mencukupi atau memenuhi kuota. Dalam hal ini, pengurusan institusi dan sistem pendidikan tinggi perlu sentiasa telus agar dapat berlaku adil kepada semua pihak serta memastikan hanya merit dijadikan kriteria utama untuk semua urusan akademik.
PROFESOR DATUK DR. NORZAINI AZMAN ialah Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara (Pendapat), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










