Istilah Tamil dalam bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Istilah Tamil dalam bahasa Melayu

KITA boleh melihat sejarah dan asal usul pelbagai perkataan yang diserap masuk ke dalam budaya Melayu menerusi buku Kata Pinjaman Bahasa Tamil dalam Bahasa Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA sedia maklum, bahasa kebangsaan menerima pengaruh daripada pelbagai bahasa lain hasil interaksi melibatkan pelbagai kelompok manusia. Misalnya, banyak perkataan bahasa Arab, Tamil, Sanskrit, Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris sudah menjadi sebahagian kosa kata yang kita gunakan pada masa sekarang.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa perdagangan pada masa silam terakam dalam sejarah. Istilah lingua franca merujuk kepada bahasa yang menjadi alat komunikasi atau bahasa perantaraan dalam situasi kelompok yang saling berhubung itu memiliki bahasa ibunda berlainan.

Sewaktu Melaka menjadi pusat perdagangan utama dahulu, pedagang dari pelbagai lokasi menggunakan bahasa Melayu untuk memudahkan komunikasi demi urusan perniagaan. Sehingga kini, bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia sejak 1970 menjadi lingua franca bagi penduduk pelbagai kaum dan etnik di Malaysia.

Tahukah anda, ‘tirai’ adalah perkataan Tamil? Baru-baru ini, saya dan beberapa rakan kaum India berkongsi istilah yang lazim digunakan penutur bahasa Tamil dan perkataan itu turut digunakan orang Melayu dalam perbualan sehari-hari. Persamaan ini tentulah tidak menghairankan kerana kedudukan lingua franca yang turut menerima pengaruh pelbagai bahasa lain.

Jaya Kumar Shanmugam dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang memberikan istilah bhumi sebagai contoh. Perkataan ‘bumi’ memang berasal daripada istilah Tamil yang menerima pula pengaruh Sanskrit. Satu lagi istilah seumpama itu ialah ‘putera’ yang kini dalam budaya Melayu merujuk kepada anak raja.

Dalam konteks asal Sanskrit dan Tamil, putra atau putiran merujuk kepada anak lelaki, manakala pautra adalah cucu lelaki. Dalam kamus, ‘bumiputera’ bermakna anak negeri atau peribumi. Bhumiputiran dalam Tamil juga mempunyai makna sama, iaitu ‘anak tempatan.’

Malini Muniandy dari Johor Bahru menceritakan, dia pernah mendengar penceramah motivasi Tamil-Muslim, Kader Ibrahim memberi contoh ‘sate.’ Katanya, perkataan itu berasal daripada sattai (daging) dalam Tamil.

Untuk makluman, istilah Tamil lazim bagi ‘otot’ ialah tassai dan irachi bagi daging. Makanan vadei atau wade dikenali umum, malah tercatat dalam Kamus Dewan.

Begitu juga masalode, iaitu sejenis kuih India yang diperbuat daripada kacang dal, bentuknya bulat dan leper. Ini salah satu contoh makanan, masakan dan kuih tradisional India yang sudah menjadi sebahagian menu masyarakat majmuk di Malaysia.

Arun Khan dari Segamat, Johor mengemukakan kata ‘kapal’ sebagai contoh dalam perbincangan. Penutur Tamil juga menggunakan kappal apabila merujuk kepada bahtera atau perahu besar yang dijadikan pengangkutan air.

Contoh kedua ialah ‘agama’ yang kita terima sebagai kepercayaan kepada kuasa tertinggi iaitu Tuhan dalam mana-mana agama. Ia berasal daripada agamam dalam Tamil dan Sanskrit. Akan tetapi, apa yang kita rujuk sebagai ‘agama’ sebenarnya disebut matham dalam Tamil.

Apa pula makna ‘agama’ atau agamam? Dalam ajaran Hindu, ‘agama’ merujuk kepada kitab-kitab kudus yang disebut juga sastra. Dalam konteks budaya Melayu, istilah ‘agama’ dan sastra sudah mengalami perubahan berbanding makna asal dalam Hinduisme.

Subashini Thiyagarajan dari Puchong, Selangor memberi contoh ‘kedai.’ Kita mungkin biasa mendengar penutur Tamil menyebut kadai dan menyangka mereka meminjam istilah Melayu. Sebenarnya, ‘kedai’ berasal daripada kadai, bukan sebaliknya.

MANGGA

Patricia Anne Clement dari Ipoh, Perak berkongsi contoh ‘peti.’ Sama seperti ‘kedai’ tadi, perkataan ini juga diambil daripada petti dalam Tamil. Mereka berdua turut memberi contoh ‘mangga’ yang ada dua makna dalam kalangan orang Melayu. Dalam bahasa Tamil, maangai merujuk buah mangga.

K.V. Rathika menyebut tentang perkatan ‘bakti’ yang didefinisi sebagai perbuatan yang baik dan berguna lantaran setia dan kasih atau perbuatan berjasa. Istilah ini yang berasal dari India ada kaitan dengan ajaran Hindu, iaitu pengabdian manusia kepada Tuhan. Dalam Bhagavad Gita, misalnya, diterangkan tentang bhakti yoga dan karma yoga.

S. Suwedan dari Kapar, Selangor memberi contoh ‘bagai’ dan ‘segala.’ Kita tentu pernah mendengar penutur bahasa Tamil menyebut vagai dan sagala, lalu menyangka mereka salah sebut perkataan Melayu. Sebenarnya, vagai (jenis) dan palvagai (pelbagai) memang berasal daripada Tamil.

S.G. Sasitharan dari Ayer Itam, Pulau Pinang mengetengahkan ‘dirgahayu’ yang selalu digunakan apabila mahu Raja-raja Melayu dilanjutkan usia. Penutur Tamil pula mendoakan dirgaayusu (dianjutkan usia) kepada sesiapa sahaja, khususnya apabila orang datang meminta restu.

Beliau turut memberi contoh ‘cuti’ yang khabarnya disebut oleh Kadeer Ibrahim dalam satu lagi ceramah sebagai berasal daripada sutti yang bermakna ‘pusing’ dalam Tamil.

Pasupathy Pillay dari Melaka menyebut tentang ‘merendek’ yang lazim digunakan orang Melayu sekarang. Saya juga pernah menulis rencana bertajuk Merende di majalah Dewan Bahasa (April 2007). Akhbar Harian Metro menyiarkan berita Kenapa korang merendek dalam kereta? pada awal April 2018. Ini adalah contoh baharu pengaruh bahasa Tamil di mana ‘rende’ (rendu, irandu) ditambah imbuhan ‘me’ untuk membawa makna ‘berdua-duaan’ (khalwat).

Sharmilah Beham dari Kuala Lumpur memberi contoh ‘perdana menteri’ yang berasal daripada pirathana manthiri (menteri utama) dalam Tamil dan Sanskrit.

Richard Ignacy dari Sungai Jawi, Pulau Pinang mengemukakan contoh menarik iaitu ‘panitia’ daripada panitiam dan ‘kurikulum’ daripada gurukulam.

Ananthan Muniandy menyebut Kapar di Selangor di mana kaapar dalam Tamil bermakna ‘pelindung.’ Thanaraj Subramaniam dari Bagan Serai, Perak memberi contoh ‘meja’ (mejei) dan ‘sama’ (samam) yang sama-sama digunakan penutur Tamil dan Melayu.

Buku Kata Pinjaman Bahasa Tamil dalam Bahasa Melayu (2015) serta Chinese Loan-words in Malay and Indonesia (2009) tentu menarik minat sesiapa yang mahu melihat sejarah dan asal-usul pelbagai perkataan yang diserap masuk ke dalam budaya Melayu.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×