Cairnya sistem politik Melayu - Utusan Malaysia

Cairnya sistem politik Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKI sidang Parlimen akan bermula esok, masih ada lagi suara yang hinggap di telinga ini mempertikai keabsahan Perdana Menteri kesembilan (PM-9).
Pihak-pihak ini mendakwa,  keputusan Peguam Negara bahawa tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan PM-9 sebagai tidak bijak.
Tanya saya: “Apa sebabnya tidak bijak?” Jawab mereka, kerana pihak yang paling berkuasa menentukan majoriti atau tidaknya seseorang ahli itu adalah di bawah Perkara 43 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan. Tuanku Yang di-Pertuan Agong memang boleh membuat pendapat sendiri di luar Parlimen. Itu satu konvensyen baharu, bukannya konvensyen lama.
Konvensyen lama oleh Agong buat keputusan berasaskan penentuan Parlimen di bawah kes tahun 1966 Stephen Kalong Ningkan. Jadi, perkara Ningkan ini sudah diubah di beberapa peristiwa diraja yang membuat keputusan di luar sangkar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Seperti yang berlaku di Perak pada 2009, menyebabkan konvensyen itu sudah bercelaru. Dan sebaik-baiknya konvensyen lama dipakai sebab ia berasaskan undang-undang. Keputusan yang dibuat di luar sangkar Parlimen boleh dilakukan tetapi keputusan di Parlimen lebih afdal dan lebih autokratik.
Dalam kes Ningkan, Hakim mengiktiraf bahawa apa-apa keputusan tentang usul kepercayaan atau tidak hendaklah diputuskan di lantai Parlimen atau  DUN Sarawak masa itu.  Itu yang terbaik. Keputusan itu bagaimanapun dipinda semasa krisis politik Perak pada 2009 di Ipoh. Dan ia  dipetik dalam menyelesaikan krisis hari ini.
Maka dengan cara begitu, harus dikembalikan balik kepada keutuhan di Parlimen dengan buat pengiraan di lantai itu. Soal penalti yang sebenar tidak ada. Jadi, sebab itu mungkin ada pihak mengatakan tidak perlu undi percaya. Justeru, hak undi percaya atau tidak, memang ada di Parlimen. Harus dibiarkan trend itu berjalan supaya lebih muktamad dan rakyat lebih puas hati, sementelah dibimbangi cakap-cakap ‘ada pihak  telah dituduh main politik’.

Buah mulut
Dengan keabsahan itu kelak akan meyakinkan lagi trend pelaburan keselamatan negara, sekali gus  menutup apa sahaja  kotak-katik cakap yang timbul hasil iktiraf buat usul percaya daripada sangkar Parlimen.  Jika keabsahan dibawa ke Parlimen, ia tentu sekali yang sah dari segi kenegaraan dan undang-undang. Cara keabsahan sebelum ke Parlimen barangkali ‘orang lain tidak tahu’ – kerana boleh jadi buah mulut. Dan selepasnya, boleh seseorang bangkit dan mempertikai di Dewan Rakyat.
Barangkali, payah-payah, tidak perlu dibuat keabsahan. Ada masalahkah? Ya, kalau tidak dibuat,  ia akan jadi persoalan orang, iaitu  dapat 114 surat akuan sahaja. Kalau peroleh 118 atau 120, lain  ceritanya. Ini cuma  tiga sahaja lebih. Dengan apa pun boleh berlaku dalam politik sekarang, seeloknya diabsahkan di Parlimen. Kita di Malaysia tidak mahu politik kita lebih teruk dari jiran di utara itu.
Begitupun, kemelut politik yang berlaku hari ini termasuk isu keabsahan tadi, harus kita pandang dari sudut cairnya sistem politik Melayu. Orang putih kata zaman retak dan reput politik Melayu sebab massa Melayu tidak bersatu. Itu pangkalnya dan kalau  pengamal politik berkuasa tidak ambil berat hal ini – yang masuk tahun ketiga sejak 2018 sudah bertukar tiga Perdana Menteri – isu semacam ini dipercayai akan timbul balik.
Maksudnya, ini kali pertama paling teruk dan mencabar kepada orang Melayu. Bukan kerana orang lain, tetapi disebabkan “kita ini majoriti” . Pertama, kita tidak berpegang teguh pada ajaran agama dan kedua, kita tidak beri nilai kepada perpaduan bangsa sendiri untuk berkuasa penuh. Ini repercusionnya dan ia mesti ditonjolkan kepada orang Melayu yang menunjukkan politik Melayu sudah rosak dan hancur di peringkat kuasa. Dan sekiranya ini tidak  menjadi isu dalam kalangan pemimpin besar, kita boleh mengatakan “Perdana Menteri itu pada satu hari kelak akan ditukar dek orang”.
Jika keadaan retak di bawah PKR,  UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan lain, ia bukan sesuatu yang mustahil. Macam DAP  suatu ketika, yang bila dahulunya disebut DAP semua benci. Tetapi sekarang,  ramai orang Melayu menyertai parti itu.
Ini satu `kelembutan’ yang tidak memihak kepada kelembutan arus perdana Melayu.
Sebenarnya, ada ramai kalangan kita tergolong kepada  mahu dan bertekad mengukuhkan politik Melayu, tetapi tetap bersikap adil kepada bangsa lain. Kalau ini tidak dapat dilaksanakan, kereputan ini akan membawa kepada kesengsaraan umat Melayu dan mungkin satu hari nanti sudah terlewat buat kita.

Gelombang kedua
Moga-moga tidak semestinya begitu. Cuma, yang menghairankan, orang Melayu tidak pandang jauh sangat. Dia pandang apa dapat ketika itu. Semua maklum hal ini.
Soal perpecahan politik paling teruk berlaku semasa Darurat 1969. Tetapi semasa itu orang Melayu bersatu semula. Masa itu DAP nyaris berkuasa. Dan pada 9 Mei 2018, seterusnya dalam tempoh 22 bulan  DAP sudah pun berkuasa tapi ‘sisik ikan dia lain’.
Kita  khuatir mendatangnya nanti gelombang kedua di mana pemimpin kita tidak lagi dalam golongan umur tradisional – maknanya didominasi orang muda Melayu –  mereka bukan sayang Melayu pun. Adakah benar telahan ini? Dan dalam kalangan ahli politik Melayu yang membawa undi18 itu pun dia tidak kisah orang Melayu pun? Ini kisah yang harus kita tengokkan. UMNO, Bersatu dan Pas yang mana kita perhatikan,  mereka ada prinsip mahu kekalkan prinsip kemelayuan itu. Masa inilah, jika tidak,  kita pasti terlewat.
Ketika ini, mahkamah sudah campur tangan isu Undi18. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak melaksanakannnya, kecualilah Peguam Negara sekarang membuat satu usul mahkamah mengatakan keputusan mahkamah itu harus ditangguhkan di Mahkamah Rayuan. Kalau beliau tidak buat perkara itu, berjalanlah  akan apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching minggu lalu.
Di sebalik pelaksanaan Undi18, impak terbesarnya adalah  belia orang muda Melayu ini ramai tidak mendaftar menjadi pengundi. Yang banyaknya belia pihak lain. Adakah belia Melayu malas dan sambil lewa mahu masuk senarai daftar pengundi? Yang memekak pasal segera laksanakan Undi18 ini meskipun Melayu, dia bukannya cerita pasal Melayu. Tetapi bercerita pasal universal suffering (penderitaan global), padahal masih ada lagi “kisah-kisah kepayahan orang Melayu yang perlu diungkap dan diperjuangkan”.
Adakah Undi18 kelak  memberi faedah cukup besar kepada pihak lain disebabkan anak muda Melayu antara lingkungan umur 18-20 tahun,  yang ramai sebenarnya bukan kalangan mereka pun?
Adakah yang diperjuangkan Undi18  ini akan meruntuhkan politik Melayu akibat  dari  keengganan mendaftar sebagai pengundi? Ini sudah dapat kita perhatikan tempoh hari. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN