REAKSI amukan masyarakat dipalu apabila tular berita penderaan, pengabaian dan sebaran penyakit wabak Covid-19 yang melanda penghuni kanak-kanak di pelbagai pusat jagaan. Gambar-gambar kanak-kanak ini dikongsikan di laman media sosial masing-masing seolah-olah menjadi panji perjuangan menjanjikan keadilan dan mara dendam hanya boleh dipadamkan apabila hukuman-hukuman berat dikenakan ke atas mereka yang dianggap bersalah.
Dalam keghairahan memburu kesumat ini, pelbagai pandangan berbeza dilontarkan daripada pakar-pakar perundangan sehinggalah mereka yang menganggap diri mereka itu pakar. Ingin saya mengingatkan, menjaja gambar mangsa di bawah umur merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Ini bagi memastikan kanak-kanak terbabit tidak berterusan menjadi mangsa spekulasi selain memastikan bibit hitam tidak terus menghantui hidup mereka pada masa depan. Berhematlah dalam perjuangan itu dengan kebijaksanaan.
Walaupun saya faham dendam dan amarah dirasai masyarakat majmuk apabila kes-kes penderaan dilaporkan media, namun dalam apa jua hal, interaksi sosial di negara ini tetap diikat dengan undang-undang yang harus dihormati dan dipatuhi. Lebih-lebih lagi apabila negara sudah mengambil langkah yang jitu dan kemas dalam memastikan hak kanak-kanak terpelihara sebaik mungkin.
Sebagai contoh apabila kerajaan meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) pada 28 Disember 1994, ia disusuli penghasilan satu laporan berjudul Malaysia: Implementation of the Convention on the Rights of the Child, First Country Report pada Januari 2007. Menurut laporan ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan agensi pelaksana yang bertanggungjawab memastikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak diimplementasi dalam semua proses dan prosedur pengurusan kes kanak-kanak.
Sebagai melunaskan tanggungjawab ini, kerajaan menggubal Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506). Akta 506 bertujuan memenuhi keperluan penubuhan rumah perlindungan dan penjagaan kebajikan pelbagai golongan termasuklah kanak-kanak.
Pusat jagaan atau perlindungan bagi kanak-kanak yang ditubuhkan berdasarkan akta ini digelar rumah kanak-kanak atau RKK. Memandangkan kebanyakan RKK dan penjagaan dikendalikan oleh sukarelawan dan swasta, maka Akta 506 juga bertindak sebagai kawalan dan garis panduan bagi menjamin hak penghuninya dalam mendapatkan penjagaan sempurna. Sudut pemakanan, keselamatan dan keselesaan tempat tinggal, rawatan kesihatan serta aktiviti harian diberikan penekanan dalam Seksyen 7 Akta 506.
DEPOSIT JAMINAN
Di bawah Akta 506, Pengarah JKM sebagai agensi pelaksana mempunyai bidang kuasa yang luas bagi memastikan kepatuhan RKK kepada peruntukan termasuk mewajibkan pendaftaran, mengenakan deposit jaminan bagi tujuan melindungi dan menjamin kesejahteraan penghuni, dan memerintah atau menutup sesuatu pusat jagaan berdaftar yang gagal mematuhi arahan atau menimbulkan bahaya kepada mana-mana orang.
Selain itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat diwartakan berdasar Akta 506 dan di bawah Seksyen 13 diberikan kuasa pada bila-bila masa untuk memasuki dan memeriksa mana-mana premis yang digunakan sebagai sesebuah pusat jagaan bagi memastikan kepatuhan kepada akta. Bidang kuasa yang diberikan kepada Pengarah JKM dan Pegawai Kebajikan Masyarakat berdasarkan Akta 506 adalah komprehensif dan semakin relevan kerana kebanyakan laporan mengenai penderaan, pengabaian dan penyebaran penyakit wabak Covid-19 berlaku di pusat jagaan tidak berdaftar.
Sebagai contoh, pada Ogos lalu, sebuah pusat jagaan kanak-kanak kurang upaya menjadi kluster Covid-19 apabila 14 penghuninya disahkan positif. Pada minggu lalu pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengesahkan wujud kluster di pusat jagaan kanak-kanak.
Pada 2019 hangat diperkatakan apabila tular berita wujud kes pengabaian dan penderaan ke atas warga emas yang menghuni pusat jagaan. Sudah tentu waris mereka yang menyedari hal ini berasa marah dan gusar dengan kemungkinan keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarga mereka yang menghuni di situ. Lebih-lebih lagi memandangkan waris telah mengeluarkan jumlah wang yang besar setiap bulan.
Malah bulan lalu, tular berita warga emas dicabul kehormatan semasa berada di pusat jagaan. Hakim Mahkamah Sesyen telah menghukum tertuduh dengan penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat tentang peri pentingnya menghormati warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan.
Tindakan JKM yang reaktif dan tumpul dalam menghadapi kes-kes sebegini mengambarkan kewujudan masalah implementasi. Apa guna bidang kuasa yang luas sekiranya pihak bertanggungjawab ini bacul dalam pelaksanaanya?
Saya berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mampu mempertingkat keupayaan JKM itu agar lebih ramai pegawai bertauliah didaftarkan untuk menjaga kebajikan penghuni pusat jagaan yang didaftarkan di bawah Akta 506.
PENULIS ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.










