Wibawa ‘politi’ watan teruji - Utusan Malaysia

Wibawa ‘politi’ watan teruji

SEJAK pilihan raya umum pertama pada 1955, hubungan antara kerajaan dan pembangkang tidak dapat dihargai rakyat kerana apa yang disaksikan hanya pertentangan semata-mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, kita berhadapan soal-soal ‘politi’ dan juga politik (siasah). Perhatian umum lebih terarah kepada kegiatan-kegiatan politik terutamanya persaingan pengaruh untuk mendapatkan kuasa.

Soal-soal mendapatkan kuasa dijelaskan dalam bentuk yang tipikal seperti pilihan raya, majoriti, undi percaya, kempen, beli undi, lobi-melobi, lompat parti dan seumpamanya.

Istilah bahasa Inggeris menyebut ini sebagai polity. Ia merangkumi bukan sahaja kegiatan-kegiatan politik malah termasuk elemen-elemen perundangan dan Perlembagaan seperti panduan atau tatacara sesebuah kerajaan mentadbir negara, pembahagian dan pembatasan kuasa peringkat-peringkat kerajaan dalam pemikiran setiap warganegara melalui pelbagai cara.

Secara umum, semuanya terkandung dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang dilihat berlaku pada hari ini adalah bauran isu-isu ‘politi’ dan politik yang malangnya menjadi semakin tidak terkawal.

Ini menjadikan rakyat disilusi. Keadaan yang menggambarkan kekecewaan kerana harapan atau impian rakyat untuk menikmati sesuatu akhirnya lebur dan tidak kesampaian.

Ia mencetuskan sentimen serta persepsi yang bersumberkan hamburan emosi semata-mata. Maka, bermulalah perilaku mencari punca kesalahan sama ada kepada institusi mahupun orang perseorangan.

Di pihak pelaku politik, kesannya lebih ketara. Pilihan raya umum (PRU) pertama diadakan pada 1955.

Ironisnya hingga ke hari ini, hubungan antara kerajaan dan pembangkang tidak dapat dihargai rakyat kerana apa yang disaksikan hanya pertentangan semata-mata.

Ini tidak berkait hanya dengan politik sempit semata-mata. Tiada yang dipelajari atau diteladani oleh rakyat selain daripada konflik berpanjangan.

Negara ini mengamalkan sistem perwakilan demokrasi bermodelkan Persekutuan tetapi yang tergambar lebih kepada persaingan hegemoni (dominan atau penguasaan).

Tidak nampak elemen kematangan budaya dinamisme politik meskipun sudah 14 PRU diadakan. Sistem demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan diamalkan bersumberkan sejarah watan yang sah. Suruhanjaya Reid sudah mengambil kira semua pertimbangan itu pada waktu dahulu.

Secara idealnya, sistem ini meliputi segalanya dengan baik. Namun, yang digambarkan melalui kancah politik hanya sekadar peranan institusi raja yang duduknya di luar daripada sistem ‘politi’ meskipun Perlembagaan menyebut terang-terang bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menggenggam kuasa eksekutif Persekutuan.

Sebagai komponen utama, institusi diraja terseret secara tidak wajar kerana ketidakfahaman mengenai tradisi dan fakta sejarah, sistem pemerintahan serta pentadbiran negara yang ternyata masih menguasai minda.

Elemen-elemen raja berperlembagaan dikelirukan dengan ‘politik.’ Sama ada disengajakan atau tidak, bukan soal penting ketika ini.

Walaupun Perlembagaan dianggap sebagai alat politik, namun ia berkaitan dengan panduan dan tatacara mentadbir negara.

Atas sebab itulah, ada masanya perbincangan mengenai Perlembagaan disebut juga sebagai ‘politik Perlembagaan.’

AMERIKA SYARIKAT

Contoh mudah adalah proses dan prosedur undi percaya kepada Perdana Menteri.

Undi percaya adalah proses biasa untuk menentukan tahap keyakinan dan kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri.

Sistem kita tidak memberi kelebihan kepada rakyat untuk memilih Perdana Menteri seperti mana Amerika Syarikat (AS) melalui sistem berpresiden. Suara rakyat kita diwakili oleh ahli-ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Perlembagaan tidaklah begitu rigid (ketat) dari sudut ini. Tanpa persidangan di dewan, keputusan untuk menentukan bilangan majoriti boleh juga dilaksanakan melalui peranan YDPA.

Keabsahan, yakni pengiktirafan Perlembagaan mengenai siapa yang boleh membentuk kerajaan secara sah diperoleh daripada tatacara melibatkan kewibawaan YDPA selaras dengan status Seri Paduka sebagai raja berperlembagaan.

Kerajaan berada dalam situasi yang agak genting. Kebertanggungjawaban kerajaan dipersoal ekoran kesulitan yang dihadapi mereka dalam menangani pandemik Covid-19.

Umum membuat perbandingan mudah antara pelbagai kerajaan di dunia. Perbandingan itu kebanyakannya tidak bersifat objektif kerana banyak elemen, yakni persamaan dan perbezaan negara-negara tidak dipertimbang secara saksama.

AS misalnya terdiri atas tradisi imigran. Ini memudahkan negara itu untuk memilih liberalisme sebagai ideologi asas kerana mereka adalah ‘dunia baharu’.

Watan kita pula terdiri atas adat budaya sosial dan tradisi tempatan yang sememangnya sudah ada di tanah sekarang ini jauh sebelum merdeka. Ini menimbulkan soal persepsi.

Senario politik hari ini memerlukan kita berpendirian berasaskan subjektiviti atas pengalaman dan pengetahuan kita mengenai masa lampau. Ini termasuklah fakta sejarah dan amalan tradisi.

Tidak semestinya itu bermakna kita bernostalgia atau beromantis dengan masa lalu semata-mata tanpa menghiraukan objektiviti (iaitu pertimbangan fakta dan ketelusan).

Sebaliknya, ia bermaksud sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat hari ini perlu mempertimbang pengalaman dan pengajaran masa lampau sebagai cerminan kepada risiko yang bakal kita tempuh pada hari ini.

Ini soal watan. Watan ertinya tanah air, tanah tumpah darah. Ia berkait dengan elemen pengorbanan padu anak watan tanpa mengira mereka partisan (ahli parti) ataupun nonpartisan (tidak berparti).

Hubungan simbiosis antara tanah air dan anak watan tidak terlerai kerana ia diikat oleh sifat kesalingan antara kedua-duanya.

Saya percaya jentera perkhidmatan awam kita di bawah Ketua Setiausaha Negara sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan.

Setakat ini ia terbukti mantap, kompeten serta masih boleh diharapkan. Ini sebenarnya kekuatan watan, secara tradisinya diterjemah mudah kepada ‘Urusan Seri Paduka Baginda.’

DATUK Dr. Nasrudin Mohammed ialah Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×