Sinar baharu September ini? - Utusan Malaysia

Sinar baharu September ini?

Usul undi percaya dikemukakan dalam Dewan Rakyat pada September ini menentukan sama ada Muhyiddin Yassin akan terus mendapat sokongan majoriti atau sebaliknya. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUHU politik negara dan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang dilantik secara sah pada 1 Mac 2020 terus dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu walaupun pelantikannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan dalam Perkara 43 (2)(a). Sukar untuk menutup mulut pihak yang tidak berpuas hati. Apa yang penting, Muhyiddin terus dengan agenda membina negara, menyelesai masalah dan berbakti kepada rakyat dengan mengenepikan kata-kata yang kurang manis dan tidak tepat.

Awal September nanti adalah satu ketetapan penting kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Usul undi percaya yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat nanti bakal menentukan sama ada beliau akan terus mendapat sokongan majoriti atau sebaliknya. Kalaulah mendapat sokongan majoriti, maka jawatan Perdana Menteri miliknya. Jika ada calon lain yang mendapat sokongan majoriti maka ahli Parlimen itulah bakal menjadi Perdana Menteri. Kita semua berharap undi percaya nanti akan membawa sinar baharu kepada negara dan seluruh rakyat. Mampukah Muhyiddin mendapatkan sokongan majoriti ahli Parlimen dan terus menjadi Perdana Menteri?

Ini adalah persoalan sukar dijawab dalam struktur dan percaturan politik bercelaru hasil daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Perpecahan parti-parti politik Melayu kepada parti serpihan yang kabur arah tuju dan semangat sebenar perjuangan menyukarkan ramalan.

NO ANWAR, NO DAP

UMNO sendiri sebagai sebuah parti politik Melayu terbesar berada dalam keadaan tidak menentu. Pimpinan utama UMNO gagal membentuk satu barisan yang benar-benar kukuh dan gagal mengawal serta tidak berupaya menyusun membentuk perpaduan dalam kalangan ahli dan pimpinannya.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan walaupun sebagai seorang Presiden tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada ahli Parlimen UMNO. Ahmad Zahid mungkin akan membentuk gabungan dengan parti-parti lain. Mungkin dengan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai gabungan agak besar. Tapi jika gabungan ini benar berlaku, ia bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang memutuskan No Anwar, No DAP.

Jikalau mahu melanggar keputusan ini kerana dalam politik, sifir 2 kali 2 jawapannya tidak selalu 4, Ahmad Zahid menghadapi masalah kerana anggota PH tidak semudah menerima kumpulan beliau yang terlibat dengan kes mahkamah yang belum selesai.

Walaupun dalam politik semua boleh jadi, tetapi isu-isu berkaitan rasuah dan mahkamah yang belum selesai menjadi satu isu penting. Harus diingat, kejatuhan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRU-14 mempunyai hubungan rapat dengan isu rasuah, tekanan ekonomi melampau dan salah guna kuasa.

ANTIKLUSTER

Besar kemungkinan ahli Parlimen PH yang kuat pegangan falsafah antikluster mahkamah akan membuat keputusan keluar daripada gabungan PH dan memihak kepada Muhyiddin. Ini mungkin berlaku walaupun nampak sukar dalam keadaan biasa. DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR sendiri mungkin akan berlaku perpecahan kecil dari segi sokongan yang memberi kesan besar kepada undi percaya pada awal September ini.

Dilihat daripada situasi semasa percaturan kuasa sokongan ahli-ahli Parlimen, dapat dilihat Muhyiddin mendapat peluang cerah untuk mendapat sokongan majoriti dalam undi percaya nanti. Sokongan kumpulan UMNO yang memihak kepada PN jauh lebih besar daripada kumpulan UMNO yang menyokong Ahmad Zahid. Lebih 30 ahli Parlimen UMNO memihak kepada PN.

Dengan sokongan ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak berbelah bahagi, sokongan Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA dan MIC adalah tanda-tanda awal Muhyiddin akan mendapat sokongan majoriti. Keadaan akan menjadi lebih mudah dan cerah baginya jika mendapat sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anggota Parlimen Bebas yang lain.

Adalah tidak begitu mustahil bagi kumpulan Dr. Mahathir memberi sokongan kepada Muhyiddin atas beberapa sebab. Pertama, bagi mengelakkan Anwar daripada menjadi Perdana Menteri. Kedua, jika ada imbuhan politik dan kedudukan penting bagi ahli Parlimen kumpulan Dr. Mahathir.

Adalah menjadi pengetahuan umum pada dasarnya Dr. Mahathir dan Anwar ada sesuatu yang sukar untuk saling menyokong antara satu sama lain. Kalau benar Dr. Mahathir tidak boleh bertolak ansur dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, maka keputusannya memberi sokongan kepada Muhyiddin pada September ini bukan suatu yang mustahil. Muhyiddin juga tidak akan menyekat dan menutup peluang kumpulan Dr. Mahathir dalam kerajaan PN jika sokongan dan kerjasama diberikan.

Percaturan kuasa dan politik negara dalam masa kurang sebulan menjelang 6 September ini menjadi tanda tanya bagi sebahagian besar daripada kita. Apa yang kita harapkan adalah keputusan bijak dan benar-benar rasional bagi kestabilan dan keharmonian negara. Diharapkan usul undi percaya pada awal September ini menjadi titik penyelesaian kepada politik negara yang agak kacau bilau tanpa kesudahan. Kestabilan politik menjadi asas penting kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara. Dengan asas politik stabil dan pertumbuhan ekonomi yang positif, diharapkan akan memberi kesan besar kepada perjuangan membendung penularan pandemik yang berada pada tahap serius kini.

Ahli-ahli Parlimen perlu mengetepikan kepentingan diri dan politik jangka pendek, sebaliknya kepentingan umum dan kepentingan negara bagi jangka panjang perlu lebih diutamakan.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×