Nikmatnya boleh duduk di kedai makan - Utusan Malaysia

Nikmatnya boleh duduk di kedai makan

ORANG ramai sudah boleh menikmati makanan di gerai dan restoran selepas Perlis beralih ke fasa tiga PPN. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OM pindah ke Perlis, boleh juga duduk pekena roti canai dan teh tarik di kedai makan. Itu antara gurauan netizen di laman-laman media sosial apabila melihat Perlis menikmati sedikit kebebasan selepas beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perlis antara negeri terawal melalui fasa peralihan tersebut bersama Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ketika negeri-negeri lain terus bergelut dengan peningkatan kes Covid-19.

Peralihan ke fasa tiga PPN adalah hadiah paling bermakna buat rakyat selepas memberi kerjasama cukup baik kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa khususnya dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pandemik. Rakyat kini sudah boleh menikmati sedikit kebebasan manakala peniaga dan pemain industri pelancongan menarik nafas lega dapat kembali mencari makan.

Selain pematuhan SOP, formula lain kejayaan Perlis adalah perancangan awal, keputusan tepat serta tindakan pantas kerajaan negeri mengawal wabak. Malah, kebanyakan industri juga didapati patuh arahan dengan ada kilang mempunyai sistem pengasingan pekerja asing yang sangat sistematik.

Menyingkap kembali ketika mula tercetus pandemik tahun lalu, Perlis menjadi negeri pertama tidak membenarkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan selepas bebas Covid-19, kini kembali boleh menunaikannya.

Program vaksinasi juga berjalan sangat lancar dan difahamkan Perlis menjadi antara negeri tertinggi di belakang Kuala Lumpur dan Putrajaya paling ramai rakyat menerima suntikan vaksin. Sehingga 3 Ogos lalu, sebanyak 80,084 lengkap menerima dua dos, manakala 116,016 selesai menerima dos pertama daripada keseluruhan populasi 254,900 orang. Malah sambutan pendaftaran vaksin juga sangat baik dengan setakat ini sebanyak 167,132 orang atau 65.6 peratus. Jumlah itu terus menunjukkan peningkatan termasuk keberkesanan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) yang sedang berjalan.

NELAYAN

Meskipun Perlis menunjukkan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini dengan kebanyakannya berpunca daripada individu rentas negeri, namun ia berjaya dikawal dengan baik. Sebagai contoh di Kuala Perlis yang merekodkan jumlah kes tertinggi, penduduk di sebuah perkampungan nelayan mengambil inisiatif sendiri mengawal kawasan itu daripada diceroboh individu luar khususnya dari Bukit Malut, Langkawi. Langkah tersebut merupakan salah satu contoh betapa seriusnya rakyat Perlis membantu mengawal penularan wabak.

Meskipun sudah beralih ke fasa tiga dan tidak mustahil ke fasa seterusnya, rakyat di negeri ini diharap tidak alpa dan perlu sentiasa kekal mematuhi SOP. Sudah pasti kita tidak mahu lagi berkurung di rumah, peniaga terpaksa menutup operasi berkali-kali dan paling penting, nikmat makan di kedai dan menaiki kenderaan lebih dua orang tidak ditarik balik.

Pesan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, seluruh rakyat di negeri ini wajib mengamalkan dan mematuhi SOP dengan penuh disiplin. Hanya dengan pematuhan, rantaian dan penularan wabak dapat dikurangkan dan mungkin dihentikan.

Insya-Allah, selepas ini kita akan dapat kembali menikmati kehidupan seperti sedia kala apabila berakhirnya pandemik Covid-19.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×