MUKADIMAH
BERTANDING sebanyak 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pas Melaka nampaknya bukan pilihan pengundi memandangkan parti itu tidak memenangi walaupun satu kerusi.
Selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020, Pas akhirnya diberikan tempat dalam kerajaan negeri diterajui UMNO, dilantik ke jawatan tertinggi selaku Penasihat Agama kepada Ketua Menteri.
Sesekali angin politik membadai negara, Pas Melaka diketuai Pesuruhjayanya, DATUK KAMARUDIN SIDEK tetap tenang menstabilkan keadaan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI bersama jurugambar, RASUL AZLI SAMAD, Kamarudin memperincikan peranan yang dibawanya selaku ‘penyejuk’ untuk menenangkan politik Melaka.
UTUSAN: Bagaimana Pas Melaka memainkan peranan dalam kerajaan negeri yang terdiri daripada UMNO dan Bersatu?
KAMARUDIN: Saya dan rakan-rakan dalam Pas, kita ambil sikap cool (sejukkan) suasana dan menenangkan keadaan. Sebab player atau pemain-pemain utama politik Melaka ini kena bersikap sedemikian.
Sebab itu orang luar lihat Melaka ini tenang. Kita tidak meminta-minta. Contohnya, di peringkat board (lembaga). Tiga, empat orang sahaja pimpinan Pas yang dapat. Cuma terbaharu, alhamdulillah kita diberi empat orang menduduki kerusi ahli majlis di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).
Apa status Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) di Melaka?
Arahan Pas Pusat, MN masih berterusan dan tidak ada satu kata putus daripada UMNO dan Pas untuk putuskan MN. PN pun masih berterusan dan kebetulan parti PN berbeza dengan kerajaan PN.
Ada suara-suara sumbang meminta Datuk melepaskan jawatan Penasihat Agama kepada Ketua Menteri?
Saya difahamkan baru-baru ini tular satu poster mendesak Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memecat saya daripada jawatan.
Tapi setelah kita siasat, poster itu datang daripada PH untuk provoke (membangkitkan kemarahan) kita. Cuma saya hendak sebut, pergolakan yang berlaku di peringkat Persekutuan, di Melaka tidak beri kesan besar.
Ahli politik di Melaka ini kalau dia panaskan suasana, ia akan panaslah. Saya ambil sikap cool sebab kalau di peringkat negeri pun berkocak, dengan suasana pandemik yang agak kritikal, rakyat akan marah dan benci kepada kita.
Bagaimana penerimaan pengundi selepas Pas menjadi sebahagian kerajaan negeri?
Saya buktikan dengan beberapa cawangan baharu dapat ditubuhkan dan hampir setiap bulan kita dapat tambah ahli baharu. Saya rasa rakyat sekarang menilai parti mana yang konsisten dan dasarnya jelas. Gaya pemikiran anak muda mungkin sedemikian.
Insya-Allah, kita akan buktikan Pas dapat keuntungan daripada MN dan PN pada pilihan raya umum akan datang dengan kerusi-kerusi dipertandingkan.
Masih relevan atau tidak Pas bergerak secara bersendirian tanpa menyertai mana-mana gabungan?
Kalau tengok sejarah, Pas boleh duduk dan boleh tinggal dengan sesiapa pun. Sebab apa? Sebab dasar Pas, jangan diganggu.
Contoh, Pas dasarnya Islam. Sebab itu dahulu kita keluar dari Pakatan Rakyat (PR) apabila parti komponen sudah mula menyentuh Pas supaya jangan bawa agenda Islam. Kemudian bentuk PH.
Bila kita buat lepas PRU-14 bersama UMNO dan Bersatu, kita saling menghormati ideologi masing-masing. Itu cara Pas, selagi mana komponen PN atau MN menghormati dasar dan Pas menghormati ideologi UMNO, Bersatu dan sebagainya. Insya-Allah, kita boleh bersama.
Itu akan menguntungkan politik orang Melayu Islam. Cuma kalau tidak ada pertemuan, persamaan dan perbincangan; ini gagal. Maknanya, BN atau UMNO nak bersendirian, Bersatu nak bersendirian. Tidak mengapa. Pas seperti biasa, kita sudah biasa jadi pembangkang.

Ada beza duduk bersama PR dengan MN dan PN?
Pas lebih mudah serasi apabila bersama MN dan PN walaupun perseteruan Pas-UMNO begitu panjang. Tetapi selepas PRU-14, memang mudah Pas adakan majlis perhimpunan besar, perjumpaan dan sebagainya dalam konteks Melaka dan Persekutuan.
Tetapi zaman nak bersama dengan PR dahulu, agak makan masa dan di situ ada dalam kalangan ahli Pas mengambil sikap mendiamkan diri tidak bersetuju sebab bersama DAP dan PKR.
Cuma ini politik, waktu mereka (DAP dan PKR) nak berkawan dengan kita, dia buat baiklah peringkat awal. Tetapi bila agak lama, beberapa tahun baru kita nampak tembelang mereka.
Mereka lebih bersikap hipokrit, mendekati semasa hendakkan kuasa. Tetapi mereka tidak mahu menghormati dasar atau politik yang Pas bawa. Saya boleh rasakan bahawa bersama dengan MN dan PN, Bersatu dan UMNO lebih mudah.
Cuma masalah sekarang, bagaimana kita nak mendekatkan Bersatu dengan UMNO? Bersatu tidak ada masalah dengan Pas. UMNO tidak ada masalah dengan Pas.
Benarkah Pas lebih untung bersama Bersatu?
Saya boleh katakan di Melaka, Pas dan UMNO bergabung dalam PRU-15, memang beri laluan sukar kepada PH untuk memiliki kerusi. Saya pun tidak boleh jamin beberapa kerusi yang dimenangi DAP boleh kekal.
Contohnya, DUN Duyong dan DUN Bemban yang populasi penduduk dan pengundi itu lebih 60 peratus orang Melayu. Contoh semasa saya bertanding di Duyong pada PRU-14, Pas hampir lebih 20 tahun tidak bertanding di situ.
Dahulu persaingan MCA dan DAP sahaja. Saya tidak ada kekuatan cawangan yang banyak di Duyong masa itu. Tapi saya masuk kali pertama pun tidak hilang deposit. Bertanding empat penjuru.
Masa itu orang Melayu UMNO mungkin masih mengundi MCA dan sebahagian ada yang simpati mengundi Pas sebab calon Melayu.
Kalau berlaku Pas dan UMNO, saya rasa DAP pun kalah dan silap hari bulan, mungkin DAP tukar calon Melayu.











