Jangan lupa asal usul, sejarah - Utusan Malaysia

Jangan lupa asal usul, sejarah

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT pergolakan politik negara hari ini yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, naratif tanggapan parti politik Melayu sendiri menjatuhkan kerajaan Melayu Islam rasanya kurang tepat. Tidak dinafikan, penarikan sokongan 15 ahli Parlimen UMNO menjadi faktor akhir kerajaan PN hilang majoriti dan Perdana Menteri meletak jawatan.

Tetapi andaian tersebut wajar dilihat secara lebih adil. Setiap kejatuhan kuasa, pergeseran dan keretakan hubungan politik parti-parti dalam kerajaan, ada punca sebab musababnya. Ia tidak sewenang-wenang berlaku.

Lumrah dalam percaturan politik, keputusan dan tindakan oleh sesuatu pihak adalah secara sedar mempunyai niat dan objektif. Maka wujud andaian seperti tit-for-tat, I scratch your back, you scratch my back.

Kita harus melihat rentetan pergolakan dan beberapa keputusan (politik) yang dibuat oleh kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam hubung kait dengan UMNO. Perlu diingat, UMNO ialah parti yang menjadi faktor penentu kepada Muhyiddin berjaya mendapat keyakinan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri dan Bersatu dapat menerajui kerajaan. Bagi saya, semua perkara yang berlaku adalah kerana Melayu mudah lupa.

Dalam konteks pergolakan sehingga kejatuhan kerajaan PN, saya menganggap percaturan parti-parti politik Melayu terlalu didorong oleh emosi, ego serta berebut kuasa dan jawatan. Khususnya tiga parti besar Melayu – UMNO, Bersatu dan Pas, mereka lupa untuk melihat kepada matlamat perjuangan lebih besar.

Setiap mereka melaungkan slogan abata – demi bangsa, agama dan tanah air, tetapi dalam perjuangan dan tindakan tidak langsung mencerminkan niat dan matlamat itu.

Setiap tindakan memperlihatkan matlamat parti menghalalkan cara. Itu pokok asas kesilapannya.

Hari ini, selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Muhyiddin, saya lihat semua pemimpin tiga besar parti Melayu itu boleh dipersalahkan. Mereka merupakan pemimpin-pemimpin berpengalaman, lama berpolitik tetapi masih lupa kekuatan mereka ialah daripada kuasa undi orang Melayu melalui pilihan raya. Mereka lupa, dalam situasi pergolakan politik hari ini berdepan dengan polarisasi politik perkauman yang tebal, kuasa politik mereka bergantung sebahagian besar kepada pengundi Melayu dan bumiputera.

Dalam konteks ini, mereka lupa kesepakatan berpolitik adalah perkara terpenting untuk menang kerusi dan mendapat kuasa. Dengan keadaan pergeseran dan perpecahan politik Melayu, undi Melayu turut berpecah. Sedang undi Melayu berpecah tiga penjuru atau lebih, undi bukan Melayu terus teguh bersatu di bawah parti lawan.

Orang Melayu jauh ketinggalan dalam banyak perkara. Tidak termampu Melayu mengejar kuasa ekonomi, persaingan meritokrasi, kecemerlangan bidang pendidikan dan lain-lain. Maka bidang kuasa politik sahaja yang Melayu dapat bersaing. Dengan kuasa politik dan sebagai kerajaan (dan punca kuasa yang termaktub di bawah Perlembagaan), apa-apa kelemahan bangsa dan ketidakadilan yang berlaku dapat kita perbetulkan walaupun tidak semua. Dasar-dasar untuk menaikkan martabat bangsa boleh dilaksanakan jika kuasa politik di tangan kita. Setiap pemimpin politik Melayu tidak sepatutnya lupa perjuangan tersebut.

DARURAT

Dalam konteks kejatuhan PN dan peletakan jawatan Perdana Menteri, faktor politiknya adalah kerana lupa sejarah bagaimana mereka mendapat kuasa, selain pemerintahan yang lemah, masalah rakyat dan tekanan politik. Dengan proklamasi darurat untuk memerangi pandemik dan Parlimen digantung, rakyat merasakan sudah cukup dan perlu diberi peluang kepada orang lain.

Sejujurnya tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik, dalam konteks Melayu mudah lupa, saya lihat kesilapan besar PN pimpinan Muhyiddin bermula apabila terlupa asal usul bagaimana beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam keadaan masing-masing ketiadaan sokongan majoriti, UMNO (parti terbesar orang Melayu) bertindak demi mengekalkan kuasa di tangan kerajaan Melayu Islam, secara en bloc memberi sokongan padu kepada Muhyiddin sekali gus memberi keyakinan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih beliau sebagai Perdana Menteri. Dalam konteks tersebut, saya lihat keputusan PN menjadikan UMNO sebagai musuh politik adalah satu kekhilafan percaturan strategi kerana lupa faktor asal beliau dan partinya (yang memiliki jumlah kerusi kecil) berjaya menjadi kerajaan.

Perbuatan tikam dari belakang seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada 20 September 2020, memancing wakil rakyat UMNO, memancing ahli UMNO menyertai Bersatu, perkara itu tidak wajar. Apa-apa tindakan untuk menjadikan UMNO sebagai musuh politik adalah satu strategi dan percaturan keliru serta tidak menguntungkan parti seterusnya punca kejatuhan kerajaan PN dan Muhyiddin.

Melihat ke hadapan, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), saya menyeru tiga parti politik terbesar orang Melayu (UMNO, Bersatu dan Pas) termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) agar berfikir lebih jauh untuk melihat agenda dan kepentingan bangsa, agama, kestabilan politik dan kemajuan negara. Saya amat yakin gabungan tiga parti Melayu Islam tersebut dengan dukungan parti-parti dari Sabah dan Sarawak serta lain-lain dalam Barisan Nasional (BN) dan PN, kemenangan dua pertiga di Dewan Rakyat dalam tangan mereka.

Melihat ke belakang, rata-rata orang Melayu tidak lupa pengalaman yang mereka lalui selama 22 bulan negara di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebuah negara demokrasi berparlimen pelbagai parti seperti Malaysia, faktor utama yang mendorong kepada kestabilan politik yang kukuh ialah apabila gabungan politik Melayu sebagai kaum majoriti menang besar dalam PRU-15.

DATUK Seri Wan Ahmad Wan Omar ialah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×