USAHA berterusan sedang dan wajar diambil bagi memastikan warisan tulisan Jawi tidak hilang ditelan zaman. Seni dan sistem tulisan adalah salah satu unsur budaya yang perlu dipelihara. Bahasa Melayu pada asalnya menggunakan sistem tulisan Kawi dan Rejang (Sumatera) sebelum beralih kepada Jawi yang diubah suai daripada huruf Arab.
Masa depan penggunaan Jawi dalam penulisan bahasa Melayu di negara ini mengalami perubahan susulan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru, Johor pada September 1956.
Kita wajar mengetahui serba sedikit apa yang berlaku pada masa silam supaya kita lebih memahami situasi pada masa kini. Pemahaman dan kesedaran ini penting agar kita dapat memperjuangkan usaha menyemarak dan mengekalkan penggunaan tulisan Jawi sebagai warisan budaya.
Angkatan Sasterawan 1950 (Asas 50) diasaskan di Singapura pada Ogos 1950. Pelajar yang mengikuti pengajian tentang perkembangan bahasa dan sastera Melayu tentu tahu sumbangan besar Asas 50.
Akan tetapi ramai yang tidak tahu sumbangan persatuan ini kepada usaha melobi supaya penggunaan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu ditukar kepada Rumi seperti yang kita gunakan sekarang. Antara tenaga pengasas persatuan ini ialah Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Masuri Salikun (Masuri S.N.), Muhammad Yusof Yaacob (Jim), Usman Awang, A. Samad Ismail dan Asraf Abdul Wahab.
Asas 50 terlibat secara langsung dalam mencorak perkembangan bahasa dan sastera di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Persatuan itu juga memainkan peranan penting dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu. Kongres pertama diadakan di Singapura pada 1952 manakala kongres kedua pada Januari 1954 di Seremban, Negeri Sembilan.
Pada Mac 1954, Asas 50 menyediakan memorandum cadangan penggunaan tulisan Rumi untuk bahasa Melayu.
Memorandum dimulakan dengan pendirian sejak dari mulanya Asas 50 berpendapat, Rumilah tulisan paling sesuai dan paling menghuraikan sejarah Rumi. Memorandum itu menyenaraikan kelebihan yang praktis untuk bahasa Melayu sekarang dan akan datang.
Pada pandangan Asas 50, paramasastera (tatabahasa) Melayu lebih mudah dipelajari menerusi tulisan Rumi berbanding Jawi.
“Tulisan Rumi dapat menolong memperhubungkan dan malah menyamakan atau menyatukan bahasa Melayu di Malaya dengan bahasa Melayu di Indonesia (bahasa Indonesia) yang juga Rumi tulisannya,” kata memorandum itu yang disusun oleh Asraf dan Usman Awang.
Turut disenaraikan 12 ‘kekurangan’ tulisan Jawi yang boleh diatasi jika bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi. Asas 50 menegaskan, soal tulisan tidak ada hubungannya sama sekali dengan soal agama Islam.
Turki yang menggantikan tulisan Arab dengan Rumi pada 1928 serta Indonesia yang turut menggunakan tulisan Rumi bagi penulisan kitab-kitab agama Islam dikemukakan sebagai contoh untuk menguatkan hujah.
Pada pendirian Asas 50: “Nyatalah bahawa orang yang mencuba mencampuradukkan soal agama (Islam) dengan soal tulisan itu (Jawi) sebenarnya orang yang sengaja hendak mengelirukan fikiran rakyat Melayu umumnya dengan bertopengkan agama Islam.”
INSPIRASI
Kita pasti teringat polemik hangat pada 2019 mengenai pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks murid tahun empat. Tidak mustahil pihak yang membantah turut mendapat ‘inspirasi’ daripada pihak yang dimaksudkan oleh Asas 50 seperti di atas.
Pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956), Asraf membentangkan kertas kerja bertajuk Ejaan Bahasa Melayu Dengan Huruf Rumi. Kongres ketiga ini amat penting kerana susulan daripadanya, keputusan dibuat supaya tulisan Rumi digunakan bagi penulisan bahasa Melayu.
Susulan daripada ‘perjuangan’ Asas 50 khususnya menerusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, Parlimen meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 di mana tulisan Rumi perlu digunakan sebagai tulisan rasmi bagi bahasa Melayu di Malaysia. Majalah popular seperti Dian dan Mastika yang terbit dalam versi Jawi mula beralih menggunakan tulisan Rumi.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lahir menerusi kongres dan perjuangan Asas 50 juga diberi tanggungjawab mengangkat penggunaan tulisan Rumi. Segala pendirian dan hujah Asas 50 dalam isu bahasa dan sastera Melayu boleh dibaca dalam buku Memoranda (1962).
Pada penelitian saya, memorandum, kertas kerja dan rumusan kongres yang terkandung dalam buku itu merupakan bahan dokumentasi yang amat bernilai serta wajar dikaji.
Kertas kerja Hashim Musa pada Seminar Tulisan Jawi Dunia Melayu di Melaka pada Oktober 2003 juga memaparkan pelbagai maklumat berguna, khususnya mengenai hubungan antara agama Islam, tulisan Jawi dan orang Melayu di negara ini.
Menurut Hashim, tulisan Jawi asalnya daripada tulisan Arab yang dibawa ke Nusantara bersama kedatangan Islam. “Tulisan Jawi dicipta oleh orang Melayu dengan berasaskan huruf Arab untuk mengeja bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa agama Islam walaupun sebelum ini bahasa Melayu sudah mempunyai ejaan Kawi,” katanya.
Semasa saya belajar di sekolah rendah pada 1980-an, tulisan Jawi diperkenalkan semula dalam sistem pendidikan kebangsaan. Malah, pelajaran Jawi dimasukkan dalam kurikulum sekolah rendah pada 1992. Semakan sukatan pelajaran dibuat pada 2000 untuk dilaksanakan pada 2003.
Namun begitu, pelaksanaannya tergendala kerana Peguam Negara memutuskan: “Adalah bercanggah dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963 memaksa penuntut-penuntut mempelajari Jawi sebagai sebahagian daripada (pelajaran) Bahasa Malaysia.”
Perkara di atas turut dibincangkan pada Mesyuarat Agung Persatuan Pencinta Tulisan Jawi (Penjawim) pada 2002. Hashim menerusi makalah di Jurnal Aswara (2009) menyarankan supaya bahan bacaan umum (tidak terkhusus kepada pengajaran agama Islam) diterbitkan dalam tulisan Jawi supaya orang bukan Islam turut berminat mempelajari Jawi.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











