TANGGAL 1 Muharam maka kita umumnya akan menyambut Awal Muharam atau maal hijrah sebagai memperingati peristiwa hijrah baginda SAW.
Saban tahun kita menyambut dan meraikannya sebagai salah satu cuti umum dalam kalendar tahunan negara.
Sedarkah kita, maal hijrah bukan hanya untuk diingati atau diraikan semata-mata? Bahkan maal hijrah sebenarnya membawa pelajaran yang sangat penting untuk dihayati lalu diamalkan.
Pada hari ini, apabila datangnya bulan Muharam, rata-rata tempat berbicara tentang peristiwa hijrah baginda SAW.
Masjid, surau bahkan media massa rancak membicarakan sejarah hijrah Rasulullah SAW dan sahabat baginda dari tanah kelahiran mereka, Mekah ke Madinah.
Tidak keterlaluan jika dikatakan sehingga ada dalam kalangan kita yang mampu mengingati dan menyebutkan kronologi hijrah berserta inti sari penting daripada peristiwa agung tersebut.
Tidak dinafikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW adalah suatu perkara yang sangat penting dalam sejarah Islam. Hijrah rasul adalah satu titik mula penting kepada berkembangnya agama Islam ke serata dunia.
Ekoran daripada tekanan dan permusuhan yang sangat dahsyat diterima oleh baginda dan juga para sahabatnya sehingga membawa kepada kemuncak permusuhan iaitu rancangan untuk membunuh Rasulullah SAW, maka Allah SWT mengizinkan baginda untuk berhijrah.
Pada hari ini, kebanyakan kita memahami definisi berkaitan hijrah. Hijrah dalam konteks hari ini yang boleh kita fahami adalah mengubah atau berubah daripada suatu keadaan kurang baik kepada keadaan lebih baik, berubah daripada jahil kepada berilmu, dan berubah daripada lalai kepada beriman.
Ini kerana tiada lagi hijrah sebagaimana hijrah Rasulullah SAW dan sahabat dari Mekah ke Madinah selepas pembukaan Kota Mekah.
Hal ini jelas dapat difahami daripada beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan Imam al-Bukhari: “Tiada hijrah selepas pembukaan Kota Mekah tetapi jihad dan niat.”
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah: “Orang yang berhijrah ialah siapa yang berhijrah daripada kesalahan dan dosa.”
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Orang yang berhijrah itu ialah dengan meninggalkan larangan Allah.”
Apa yang kita boleh fahami daripada hadis-hadis tersebut juga, hijrah membawa satu mesej penting untuk kita hadam bersama iaitu iman dan takwa.
Jadi, peristiwa hijrah baginda bukan untuk kita raikan sebagai hari kebesaran Islam semata-mata dan bukan hanya sekadar satu keseronokan kerana mendapat cuti umum satu hari.
Bahkan bukan juga untuk kita menjadi jagoan kerana dapat mengingati sirah baginda Rasulullah SAW semata-mata.
FORUM
Walaupun saban tahun kita meraikan maal hijrah, tetapi kita masih gagal menghayati pelajaran penting daripada peristiwa hijrah.
Saban tahun sirah hijrah baginda diperdengarkan kepada kita menerusi sesi kuliah, forum atau media massa, tetapi kita masih di takuk lama.
Lebih menyedihkan, pada hari ini kita sangat gemar mewujudkan perselisihan dan jurang hanya pada perkara-perkara remeh seperti bacaan Yasin, sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya.
Jadi, di manakah jiwa dan semangat daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW?
Sedangkan hijrah baginda mengajarkan semangat kasih sayang, persaudaraan yang sangat jitu, kasih sayang kerana Allah SWT.
Sedihnya kita hari ini masih membina jurang perselisihan. Apalah erti saban tahun meraikan maal hijrah tetapi tidak pernah dihayati dan diamalkan? Renungkanlah.
Perkara seterusnya yang kita patut tanyakan diri sendiri, apakah kesungguhan, perjuangan dan pengorbanan yang telah kita lakukan untuk mencari dan seterusnya mencapai iman dan takwa?
Peristiwa hijrah mengajarkan nilai kesungguhan, perjuangan dan pengorbanan. Tanpa nilai ini mana mungkin mereka sanggup meninggalkan bumi Mekah yang sangat dicintai.
Ada riwayat menyebutkan Rasulullah SAW menitiskan air mata semasa meninggalkan Kota Mekah sambil baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu (Kota Mekah) negeri yang paling aku cintai. Sekiranya pendudukmu tidak mengusirku, nescaya aku tidak meninggalkanmu.”
Imam al-Bukhari juga ada meriwayatkan satu hadis yang bererti: “Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah sebagaimana cinta kami kepada Mekah atau lebih lagi.”
Boleh kita bayangkan betapa besarnya perjuangan dan pengorbanan emosi yang berlaku dalam peristiwa hijrah ini. Tetapi inilah pelajaran daripada peristiwa hijrah yang kita hendak hayati.
Kesungguhan, perjuangan dan pengorbanan untuk mencari iman dan takwa kepada Allah SWT.
Iman dan takwa hanya akan diperoleh dengan ilmu dan amal. Sejauh manakah hari ini kita bersungguh menuntut ilmu?
YOUTUBE
Jawapannya, kebanyakan kita malas dan sambil lewa sahaja menuntut ilmu. Menonton YouTube, ilmu dipelajari sambil baring, sambil meniarap, sambil bersandar kemalasan. Di manakah keberkatan ilmu jika demikian keadaannya?
Ulama silam bermusafir dan berkelana mencari guru. Dari seorang guru kepada seorang guru.
Bertahun lamanya mereka mengorbankan segala seronok dunia hanya untuk mencari ilmu. Kerana ilmu itulah cahaya yang akan menyuluh kehidupan.
Dalam peristiwa hijrah, dapat kita lihat bagaimana kesungguhan dan perjuangan Asma’ Abu Bakar yang dalam keadaan sarat mengandung sanggup memanjat Bukit Thur untuk menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah SAW dan ayahandanya.
Inilah antara contoh nilai yang sangat luar biasa yang kita boleh pelajari dan hayati daripada peristiwa hijrah. Lalu letaklah tangan kita di dahi, cuba hitung berapa banyak amalan yang telah kita persembahkan kepada Allah SWT?
Adakah kita bersungguh-sungguh untuk memperbanyakkan amal soleh kepada Allah SWT? Atau kita sekali lagi sambil-sambil sahaja?
Ada masa terluang barulah kita baca al-Quran, itu pun selepas kita sudah puas membelek Facebook dan WhatsApp.
Bila berat badan makin naik, barulah kita terfikir untuk puasa sunat. Jika beginilah keadaan kita, maka jauh benar kita dengan penghayatan nilai penting daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW.
Maka sekali lagi, apalah erti kita meraikan maal hijrah saban tahun?
PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.











