KELMARIN, diumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak Covid-19. Ia dilihat sebagai satu prestasi terbaik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih tampuk pemerintahan ketika Covid-19 melanda negara sejak March 2020 dan menyahut cabaran sehingga sekarang. Daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN) pertama sehingga ketiga, Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan (Kita Prihatin) dan terkini memastikan semua golongan rakyat termasuk B40, M40 dan T20 tidak tercicir dan sistem penyampaian serta agihan seperti i-Citra, kemudahan moratorium selama enam bulan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Bakul Makanan adalah dilihat sifar birokrasi. Itulah cerminan dan keterampilan yang kita lihat dalam kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebagai seorang penganalisis politik dan media sosial, berdasarkan pemantauan saya di semua platform media sosial, rata-rata terlalu senyap dan sunyi dengan pengumuman. Mereka yang memuji sudah pastinya menaikkan pautan bersyukur. Yang lebih menarik perhatian, rata-rata ahli-ahli politik yang kerap bersuara mendiamkan diri melihat pengumuman ini. Tidak salah untuk kita memberikan komen-komen yang konstruktif, nescaya kerajaan tentunya mengambil input-input daripada mana-mana pihak untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat marhaen terbela tidak kira siapa pun yang memberikan cadangan terbaik.
Persoalan penting di sini, sejauh manakah penjanaan persepsi terhadap kepimpinan Muhyiddin? Setiap rakyat berbilang kaum mempunyai pandangan dan penjanaan persepsi yang berbeza terhadap kepimpinan dan urus tadbir beliau. Namun, perkara terpenting di sini ialah menilai keupayaan seorang pemimpin bagaimana tahap penjagaan kebajikan dan kesejahteraan rakyat apatah lagi di waktu penularan pandemik Covid-19 yang hampir mencecah dua tahun. Krisis kesihatan berskala besar seumpama ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia apatah lagi untuk kita membandingkan kepemimpinan mana-mana perdana menteri atau ahli politik yang mungkin berkeupayaan untuk mengharungi cabaran ini.
Hujahan politik janganlah hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Ini termasuk komentar-komentar yang dilontarkan dalam medium media sosial. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.
Mana-mana perdana menteri pun tidak akan merelakan dirinya untuk dipersalahkan atau dijadikan tempat melepaskan rasa marah. Muhyiddin sendiri melihat usaha menangani pandemik ini sukar dan hanya dapat dilakukan jika rakyat bekerjasama dengan kerajaan.
Ini baru soal pandemik, belum lagi kita mengambil kira tohmahan dan tekanan lain dihadapi oleh Perdana Menteri itu sendiri dari aspek politik seperti gesaan penamatan darurat kesihatan, pembukaan Parlimen, ahli-ahli politik bergilir-gilir menghadap Yang di-Pertuan Agong, kumpulan-kumpulan yang mengukur parameter sokongan Perdana Menteri serta sejauh manakah sokongan ahli-ahli politik dan parti-parti politik yang lain terhadap program vaksinasi kebangsaan.
KELAPARAN
Pengumuman kelmarin meletak titik noktah kepada semua ahli Parlimen tidak kira mana-mana parti politik yang berlainan ideologi diberikan bantuan RM300,000. Ia dilihat bukan sekadar bantuan sahaja malah mengerahkan ahli-ahli Parlimen di setiap kawasan harus fokus terhadap kebajikan rakyat marhaen daripada sibuk berpolitik di alam maya.
Pandemik ini menyaksikan kes-kes ‘kemiskinan’ dan ‘kelaparan’ yang tersiar di platform-platform media sosial sehingga ada yang menghadapi tekanan emosi dan kehilangan pekerjaan. Maka, tibalah masa tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk berpulun habis-habisan membantu rakyat susah di kawasan masing-masing.
Maka, tidak akan ada isu membabitkan soal kelaparan di kawasan masing-masing. Malah, Perdana Menteri sendiri sudah membuka ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat mahupun pembangunan sosial bagi rakyat masa kini.
Pengumuman Pemulih kelmarin tidak meminggirkan mana-mana pihak. Daripada rakyat marhaen, T20 sehingga orang kurang upaya (OKU) yang hilang pekerjaan turut diberikan bantuan. Rata-rata setiap rakyat mendapat manfaat daripada asas bakul makanan bagi B40, kemudahan moratorium, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pengumuman Muhyiddin kelmarin meletakkan Malaysia sebaris negara-negara maju lain dari segi pengumuman-pengumuman inisiatif kepada rakyat sewaktu pandemik Covid-19 seperti Kanada dan Amerika Syarikat. Pemerintahan Muhyiddin hanya mencecah setahun tiga bulan, tetapi pakej rangsangan yang diumumkan sudah mencecah lima pakej utama. Nescaya, pengalaman 41 tahun dalam politik sudah mengajar selok-belok politik negara dan Perdana Menteri mampu mengatasi pandemik ini dan berjaya memerangi Covid-19.
Sebagai penghargaan kepada Perdana Menteri, apakah yang harus kita lakukan? Tepuk dada dan tanyalah selera! Janganlah kita menjadi bangsa yang menerima sahaja dan tidak bersyukur atas limpahan kurniaan Tuhan kepada kita. Kerajaan telah melaksanakan yang terbaik dengan agenda utama membasmi kemiskinan rakyat tatkala pandemik. Walaupun berbeza pandangan mahupun ideologi politik, yang penting kita harus berganding bahu untuk mematahkan pandemik ini. Kita sendiri harus melakukan sendiri sekatan pergerakan bagi menyekat peningkatan mendadak jangkitan Covid-19. Ubahlah persepsi bahawa peningkatan kes Covid-19 adalah berpunca daripada kerajaan tidak serius. Jadi, seberapa banyak tuntutan dibuat pun kalau sikap rakyat tidak serius, bagaimana kita nak halang penularan Covid-19? Janganlah kita sekadar menjadi penonton melihat usaha Perdana Menteri dan kerajaan serta barisan-barisan hadapan sebagai entiti yang bertanggungjawab untuk mematahkan rantaian ini.
Biar apa pun sebutannya, thank you, xie xie, nandri atau terima kasih, itulah lambang penghargaan betapa kita menghargai apa yang dilakukan orang terhadap kita. Pemberi nikmat ialah Tuhan dan manusia yang berbuat baik adalah sebagai perantara dalam pemberian kepada kebaikan.
Profesor Madya Dr. Sara Chinnasamy ialah penganalisis politik dan media sosial di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).










