Setelah lebih setahun berlalu, Kabinet Kerajaan Persekutuan yang dibentuk pada 10 Mac 2020 akhirnya dibuat sedikit rombakan pada 7 Julai lalu melalui lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula selaku Menteri Kanan yang turut mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.
Rombakan ini walaupun kecil, sebenarnya memberi kesan besar ke atas keutuhan kedudukan Kerajaan Persekutuan kerana ia dilihat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Rombakan ini juga dibuat tatkala ketidakpuasan hati dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO agak memuncak mengenai layanan tidak adil yang diberikan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada UMNO dalam kerajaan. Ia turut diperkatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam forum bertajuk Kenapa Melayu Tolak Bersatu? pada 4 Januari lalu.
Menurut Ahmad, antara punca berlaku pergaduhan sesama sendiri adalah kerana perkongsian kuasa itu tidak diberikan dengan adil. Disebutkan betapa UMNO sebagai parti tunjang dengan 39 ahli Parlimen, bercampur dengan empat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lain adalah majoriti di dalam kerajaan. Tetapi yang menjadi majoriti ini, Timbalan Perdana Menteri pun tidak dapat.
Sebab itulah walaupun ada spekulasi berlegar bahawa lantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin ini tidak diterima baik oleh sesetengah pihak dalam UMNO, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu langsung tidak mempertikaikannya, apatah lagi untuk mengenakan tindakan tatatertib ke atas mereka, malah sebaliknya lantikan tersebut mendapat restu.
Sudah pastilah rombakan ini mampu memperkuatkan kedudukan kerajaan dalam erti kata ia boleh meredakan ketegangan dalam kalangan pemimpin UMNO di mana jawatan kedua tertinggi kerajaan ini pastinya akan memberikan lebih banyak ruang untuk mereka bergerak cergas di samping menyenyapkan tentangan ahli-ahli bawahan.
Lantikan Ismail Sabri sukar untuk dipertikaikan lantaran beliau merupakan pemimpin UMNO terkanan dari segi senioriti dalam Kabinet, iaitu selaku Naib Presiden UMNO, pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, mempunyai kelulusan akademik yang baik dalam bidang undang-undang dan menunjukkan prestasi cemerlang selaku Menteri Kanan.
Walau apa sekalipun reaksi ke atasnya, rombakan Kabinet pada pertengahan penggal adalah suatu perkara yang amat baik bagi menggambarkan betapa kerajaan bersikap responsif terhadap maklum balas semua pihak, khususnya rakyat, ke atas menteri-menterinya dan betapa kerajaan mempunyai keseriusan untuk memperbaiki prestasinya dari semasa ke semasa.
LENA
Adalah diharapkan agar ada rombakan lebih besar dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan, malah di peringkat kerajaan negeri juga selepas ini. Ini kerana kerana rombakan ke atas komposisi jemaah menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada pertengahan penggal pemerintahan adalah amat bersesuaian dengan prinsip urus tadbir baik (good governance).
Terdapat sekurang-kurangnya 10 faktor yang mewajarkan rombakan begini dibuat:
Menjadikan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kelihatan lebih telus dan lebih responsif dengan kehendak dan kritikan rakyat.
Menyerlahkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dengan imej kerajaan yang sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan yang ada.
Memastikan setiap ahli jemaah menteri dan MMKN sentiasa mengambil berat mengenai prestasi perkhidmatan mereka.
Mewujudkan persaingan sihat antara ahli-ahli jemaah menteri dan MMKN untuk bersaing dalam membuat kebaikan.
Mengecilkan ruang untuk mana-mana ahli jemaah menteri dan MMKN terlibat dalam perkara mungkar seperti rasuah.
Menyebabkan ahli-ahli jemaah menteri dan MMKN tidak menganggap mereka istimewa dan jawatan itu milik mutlak mereka.
Membuka ruang kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri khususnya yang lebih muda untuk menonjolkan bakat mereka.
Mengurangkan pergantungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kepada individu dan lebih kepada menonjolkan idea-idea dan dasar-dasar.
Menjadikan sesebuah portfolio yang ada tidak kaku dan beku sebaliknya sentiasa segar dan malar dengan idea-idea dan dasar-dasar lebih terkini.
Membolehkan mana-mana portfolio yang tidak perlu dihapuskan, dipecahkan atau digabungkan untuk meningkatkan keberkesanan kerajaan.
Sekiranya lantikan ahli-ahli jemaah menteri dan MMKN dapat dibuat secara berkala sepertimana pernah dibuat oleh kerajaan negeri Perlis dan Pahang atau rombakan dapat dibuat secara berkala dijangkakan tidak mendatangkan apa-apa implikasi negatif kepada kerajaan berbanding implikasi positif.
Sepertimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sewaktu menjadi Pemangku Raja Pahang pada 15 Mei 2018, lantikan ahli-ahli MMKN untuk tempoh dua tahun sahaja akan berupaya memastikan pihak-pihak yang dilantik sentiasa bekerja keras sekali gus mengelakkan mereka berada dalam keadaan selesa, lena dan leka.
Perkiraan politik perlulah diambil kira dalam membuat rombakan ini, khususnya bila sesebuah kerajaan tidak dikuasai secara sendirian oleh sesebuah parti politik atau tidak mempunyai majoriti kukuh, tetapi jika kekuatan politik untuk memperbaiki prestasi dapat ditunjukkan dalam keadaan begini, pastilah ia akan menghasilkan natijah terbaik.
Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) dan Setiausaha Pertubuhan Cendekiawan Negara (Cendekiawan).











