Komited, kreatif dalam tugas - Utusan Malaysia

Komited, kreatif dalam tugas

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA malam hari pertama sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda menyusuri jalan-jalan utama di ibu kota yang sememangnya lengang. Entah siapalah yang degil sangat itu, tidak patuh dengan arahan larangan keluar rumah oleh pihak berkuasa.

Namun, tatkala berhenti di satu sekatan jalan raya (SJR), kelibat yang keluar dari kenderaan berwarna hitam itu mengejutkan anggota-anggota keselamatan di situ. Beliau ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri. Hanya berkain pelikat dan baju-T, beliau bertanyakan khabar mereka sambil meninjau kepatuhan orang ramai terhadap arahan kerajaan.

Pendekatan sempoi Ismail Sabri, 61, sedemikian menggambarkan sikapnya yang mudah didekati oleh semua golongan. Namun, pada masa sama, memperlihatkan sikap serius beliau dalam menjalankan tanggungjawab untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Justeru, apabila diumumkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri menerusi kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri petang semalam, tiada alasan untuk mempersoalkan pelantikan tersebut.

Sejak memegang portfolio Kementerian Pertahanan pada 10 Mac 2020, beliau adalah antara menteri Kabinet paling cemerlang dalam menjalankan tanggungjawab khususnya untuk melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19. Hampir setiap petang, wajah beliaulah yang dilihat di kaca televisyen menerangkan perkembangan dan statistik terkini kes pandemik serta menjawab soalan-soalan pemberita dalam sidang akhbar Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang disiarkan secara langsung.

Meskipun menerima pelbagai kritikan malahan cercaan khususnya daripada netizen berhubung langkah-langkah kerajaan dalam membendung pandemik, beliau tetap sabar dan komited menjalankan tugas. Bahkan, beliau dilihat begitu kreatif apabila menyesuaikan aset serta kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kementeriannya untuk membantu Kementerian Kesihatan mempercepatkan pemulihan dan rawatan pesakit Covid-19, sekali gus mengurangkan kesesakan sedia ada di hospital-hospital awam. Ini termasuk pembinaan hospital-hospital medan ATM.

Selain itu, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anggota-anggota tentera turut diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penugasan SJR, pos statik dan rondaan bergerak di seluruh negara.

Komitmen dan kejayaan juga pernah ditunjukkan oleh Ismail Sabri ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini (2015-2018). Banyak pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan serta keusahawanan berjaya dinikmati oleh penduduk desa terutama orang Melayu dan bumiputera.

BERSIH

Selain kedudukan sebagai menteri kanan dari UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), jawatan Naib Presiden parti yang dipegang sememangnya melayakkan beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ahli Parlimen Bera ini lantang menegur bukan sahaja ahli malahan pemimpin tertinggi jika ada perkara-perkara yang dilihat boleh menggugat keutuhan parti.

Pernah dalam satu program di kawasan Parlimennya, beliau secara terbuka menegur cara Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan. Menurutnya, perhimpunan tersebut adalah yang paling teruk dalam sejarah parti apabila berlaku ‘tembak-menembak’ sesama sendiri.

Beliau melahirkan kekecewaan apabila menteri-menteri dari UMNO dalam kerajaan PN dikritik hebat oleh para perwakilan sedangkan dari parti-parti lain seperti PKR dan DAP tidak pula disentuh mereka.

Selain itu, Ismail Sabri juga bebas dari kontroversi.

Justeru, diharap pemilihan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dapat meredakan kemelut politik seterusnya memajukan negara dalam mengharungi norma baharu akibat pandemik Covid-19.

Tahniah Pak Long Mail!

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×