Dilancar, dibatal tetapi kemudian digantung dan kini diteruskan semula. Semua dalam tempoh lima tahun meliputi tiga pentadbiran Kerajaan Persekutuan daripada komponen parti berbeza – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Dilancar pada 2017 di bawah BN, dibatal dan digantung disusuli cadangan jajaran asalnya ditukar ke jajaran baharu di bawah kerajaan 22 bulan PH, dan diteruskan semula kini di bawah PN.
Penerusan semula pula kembali menurut jajaran asal dengan kos kira-kira RM50 bilion daripada asal RM81 bilion, manakala jangkaan tarikh siapnya 2027 dari asalnya, 2024.
Maka, ternampaklah cahaya di hujung terowong daripada ‘kepala gerabak keretapi’ projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh penggeraknya, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menerusi pelaburan tempatan dibiayai 85 peratus oleh pinjaman mudah daripada Export-Import Bank of China, dan selebihnya melalui penerbitan sukuk.
Pengumuman tentang penerusan semula itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada 5 April lalu, segera disambut baik oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada hari sama.
“Keputusan baharu sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan disokong penuh dan memang ini yang kita usahakan (perjuangkan) selama ini,” katanya.
Sebelum itu, Wan Rosdy menyatakan pendirian tegasnya semasa projek ini dibatalkan ketika Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat pengumuman mengenainya semasa lawatan ke Beijing, China pada 21 Ogos 2018, kemudian digantung bagi mengkaji kos ketika Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan Negara 2019 pada 2 November 2018.
Projek sejauh 688 kilometer (km) menurut jajaran asal bermula dari Wakaf Bharu-Kota Bharu-Tok Bali hingga ke sempadan, seterusnya Kampung Raja-Kuala Terengganu-Dungun hingga ke sempadan, dan Cherating-Kuantan-Temerloh-Bentong, serta Gombak-Serendah di Selangor sampailah ke Pelabuhan Klang.
Tahap kemajuannya kini 21.39 peratus setakat Mac 2021 tetapi yang melalui bumi Pahang sejauh 232.5km atau kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan panjang laluan ialah kira-kira 23.01 peratus setakat 28 Jun lalu.
Luas tanah pula melibatkan 1,394.4 hektar yang mana 385 hektar atau 27.6 peratus ialah tanah kerajaan manakala selainnya tanah rizab hutan serta milik persendirian, merentasi daerah-daerah Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong.
Selain rel, turut akan dibina di sepanjang laluan ECRL di Pahang ini juga ialah 42 jejambat, 22 terowong serta lapan stesen meliputi empat stesen penumpang di Cherating, KotaSAS, Kuantan Sentral dan Gambang, serta empat lagi stesen penumpang dan kargo di Kuantan Port City, Maran, Temerloh dan Bentong.
Di Temerloh khususnya pekan kecil Mentakab misalnya, jajaran sisihan akan turut dibina bagi menghubungkannya dengan laluan kereta api sedia ada yakni Tumpat ke Gemas kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
ECER
Apabila siap kelak, untuk perkhidmatan penumpang sahaja, ECRL keseluruhannya dijangka mampu menarik minat dan mengendalikan 4.83 juta orang pada 2027 dan meningkat sehingga 7.19 juta pada 2037.
Perkhidmatan kargonya pula dijangka mengangkut 37.28 juta tan barangan import dan eksport dalam kontena, serta bahan mineral bijih besi, arang batu, simen dan keluli pada 2030 yang dijangka menambah kepada 44.08 juta tan pada 2040.
Dan dalam radius antara lima dan 15km dari stesen-stesen yang disebutkan tadi, Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah ke arah membangunkannya sedang dilaksanakan oleh pasukan tenaga pakar Plan Malaysia sejak 15 Mac lalu dan dijangka siap September 2022.
Sudah pasti input-input tempatan akan turut diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah-daerah terlibat demi menepati kehendak dan kewajaran penduduk setempat serta kesejahteraan mereka juga.
Sepertimana semua sedia maklum, projek ECRL dikemukakan bertujuan untuk merangsang ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan khususnya.
Ia juga dicadangkan ekoran tiadanya laluan keretapi terus antara negeri-negeri Pantai Timur dengan Pantai Barat. Yang ada hanyalah laluan kendalian KTMB dari Tumpat ke Kuala Lumpur menerusi Gemas.
ECRL dengan itu dijangka dapat menambah baik kesalinghubungan antara bandar, kawasan perindustrian dan pelancongan, pelabuhan laut, depoh kontena dalaman, lapangan terbang seterusnya meningkatkan lagi kemudahan pengangkutan rakyat Pahang serta negeri-negeri Pantai Timur.
Sehubungan itu, ECRL dapat mengurangkan tempoh perjalanan dan kos pengangkutan kargo antara destinasi-destinasi terlibat, mengurangkan jumlah kenderaan termasuk kenderaan berat di atas jalan raya sekali gus mengelak berlaku kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak serta musim-musim perayaan.
Dengan segala perkara positif yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan projek ECRL ini, adalah diharapkan juga kerjasama semua pihak diberikan supaya projek ini berjalan lancar serta menepati tempoh siap dan operasinya pada 2027 kelak.
Jika sebelum ini projek ini terpaksa melalui nasib-nasib berbeza terutama peringkat dibatal, kemudian ditangguh menurut parti komponen yang menguasai Kerajaan Persekutuan, diharap kini ia tidak berlaku lagi.
PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.











