MENGINJAK usia 96 tahun hari ini, dikira Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah sampai ke peringkat centenarian.
Dr. Mahathir merupakan perlambangan yang mahu tidak mahu Malaysia bangga dengannya. Tinggal lagi, nisbah perjuangannya yang kontroversi tetap kontroversi.
Sumbangannya kepada Malaysia tidak dapat diketepikan. Dilihat dari dua sudut, pertama, perjuangannya untuk negara, markahnya tetap ada – berjaya – walaupun beberapa aspek dari pentadbirannya juga dipertikai banyak pihak.
Kedua, kesal. Sebab beliau berhenti sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 tanpa angin, tanpa ribut. Itu sahaja kurang berada tahap positifnya.
Markah Dr. Mahathir lulus dan masyarakat menyanjungnya. Kalau untuk terus memimpin, marginnya sangat minimum. Ia realiti kemanusiaan. Mungkin beliau boleh memimpin lagi tetapi realiti produktiviti dan perjuangan untuk kembali sangat terhad.
Untuk bertanding lagi sebagai calon ahli Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang masih ada. Usia 96 tahunnya masih lagi mempunyai bibit-bibit kepimpinan yang boleh dijembatani secara objektif. Buktinya, pada 12 Jun lalu, beliau mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara bagi menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan kesan penularan pandemik Covid-19. Ini sehingga ideanya diperbualkan ramai mirip Pelan Pemulihan Negara yang dirangka kerajaan sehari kemudian.
Cuma, kemampuan fizikal atau kembali untuk memimpin negara, Dr. Mahathir perlu objektif. Diakui umur 92 tahun semasa menyandang jawatan Perdana Menteri ketujuh itu kegagahan yang tidak ada rekod di dunia. Namun, untuk menjadi lagi Perdana Menteri kali ketiga sangat sukar, mengambil kira elemen terkini dalam politik negara.
Apatah lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tentu tidak akan senyum dianya. Sudah tentu Presiden PKR ini akan cuba ‘mendapat tempat’ yang dijanjikan berulang kali oleh Tun.
Untuk rekod, buat anak muda, selepas Barisan Nasional ditumbangkan 9 Mei 2018, Dr. Mahathir naik Perdana Menteri Malaysia kali kedua. Dua kali jadi Perdana Menteri, biasa bagi dunia luar. Winston Churchill juga dapat jadi Perdana Menteri Britain dua kali, kebanyakan Presiden Amerika berkhidmat dua penggal.
Cuma pemegangan kuasa Dr. Mahathir kali kedua itu, jauh bezanya daripada kuasa yang dipegangnya bagi tempoh 1981 hingga 2003. Kuasanya dahulu lebih mutlak, lebih berkesan dan lebih bebas membuat keputusan serta percaturan politik.
Meminda Perlembagaan Persekutuan 1993 sehingga raja-raja hilang sebahagian kuasa tradisional mereka adalah sebahagian hasil kuasa besar itu. Dr. Mahathir berjaya meletakkan konsep keluhuran undang-undang atau rule of law seperti yang dituntut di bawah Rukun Negara.
Bagaimanapun, semasa mengetuai Pakatan Harapan selama 22 bulan (Mei 2018-Februari 2020) yang turut dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Dr. Mahathir kena merujuk banyak perkara kepada Majlis Presiden PH.
Hal-hal tulen Melayu sukar mendapat sambutan sebulat suara kerana realiti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuma punya 26 kerusi Dewan Rakyat berbanding 50 bagi PKR dan 42 DAP. Keadaan berbeza jika Bersatu beroleh, katalah, 50 kerusi Dewan Rakyat.
Berasaskan realiti bahawa kuasa politik ditentukan oleh bilangan kerusi dan keanggotaan parti yang ramai, Bersatu sering dilihat sebagai parti yang kurang prasarana keahlian dan kerusi. Di peringkat ini tidak dinafikan Bersatu banyak bergantung imej dan harapan kepada Dr. Mahathir.
Sebab itu ada tanggapan, selepas beliau tidak lagi memimpin parti itu, banyak meramalkan Bersatu akan mengalami fasa serik. Namun setakat hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu berjaya melepasi ranjaunya, termasuk Rabu 7 Julai lalu bila mana UMNO menarik sokongan terhadapnya, Muhyiddin terus kekal menerajui kerajaan. Dr. Mahathir kini memimpin parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dr. Mahathir bukan sahaja terkenal dengan tindakannya yang pantas dan berhasil semasa menjadi Perdana Menteri fasa pertama dahulu, beliau juga terkenal sebagai pemikir tentang tajuk-tajuk kemanusiaan, kemiskinan, logik agama, kepentingan negara Selatan-Selatan, industri berat termasuk dasar automotif negara, nilai-nilai murni di bawah dasar Pandang ke Timur dan lain-lain.
Selaku penulis prolifik, beliau menghasilkan 12 buku dan pelbagai rencana. Antara penulisannya yang terkenal: Dilema Melayu, Wawasan 2020, Memajukan Perniagaan, The Way Forward, Mahathir’s Selected Letters, The Voice of Asia, Conversations with Mahathir, Doctor in the House, dan lain-lain.
Tiada seorang pun dalam dunia moden yang masih bertugas sebagai pemimpin negara pada tahap umur 93, 94, 95 tahun, jauh sekali sebagai perdana menteri atau presiden sesebuah negara di peringkat umur itu. Dengan gaya dan hal-ehwal kesihatannya yang unggul, Dr. Mahathir memang unik dan layak dicontohi.
Tiada siapa yang gamak mengatakan bahawa persekitaran begini berlaku kepada seseorang individu biasa. Ramai yang berpendapat dengan usia yang begitu lanjut, kepintaran berolah dan berinteraksinya memberi kepadanya dividen keganjilan dan keunikan.
Langkahnya masih panjang walaupun gontai, turun naik tangga masih mampu dan bertenaga; paling ketara, kemampuan mindanya walaupun sendat sesekali, lantas memaparkan fikiran yang masih cerdas.
Dalam banyak hal, Dr. Mahathir ‘tak beritahu dunia.’ Malah dipercayai beliau mengeluarkan pandangan satu perempat sahaja. Yang tiga perempat lagi disimpannya ‘untuk masa hujan, tengkujuh, masa panas.’ Pemikirannya sukar dibaca.
Insan bernama Mahathir Mohamad ini sudah pun diiktiraf sebagai legenda tanah airnya dan juga dunia.
Selamat hari jadi ke-96 tahun Tun.
PENULIS ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia.










