Bank wakaf bantu tempuh norma baharu - Utusan Malaysia

Bank wakaf bantu tempuh norma baharu

KINI kita perlu mengharungi arus perubahan dan mengadaptasi norma hidup baharu berasaskan kepentingan kesihatan dan mengadaptasi dunia digital serta internet. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI mana ditegaskan sebelum ini, kesan pandemik Covid-19 mungkin tidak boleh berlalu dalam tempoh enam bulan. Oleh itu, penyelesaian jangka panjang diperlukan bagi mengatasi situasi dan masalah ekonomi ekoran gejala pandemik ini.
Penyelesaian jangka panjang pertama adalah semua rakyat terutamanya semua isi rumah, perlu melihat gejala pandemik Covid-19 ini sebagai satu musibah yang khusus diturunkan oleh Allah SWT kepada kita semua sebagai satu ujian besar sama seperti yang pernah diturunkan kepada umat-umat terdahulu.

Ia diturunkan sebagai satu cubaan bagi menguji ketahanan umat tentang ketebalan iman dan semangat setiap kita. Kita perlu melihatnya sebagai satu hikmah dan peluang untuk mengharungi ujian ini dan lulus dengan cemerlang.

Penyelesaian jangka panjang kedua pula adalah setiap kita ahli isi rumah perlu menghayati kesan utama daripada musibah ini ialah ia cuba mengubah norma hidup kita untuk memberi kesedaran tentang perubahan hidup yang perlu kita lakukan.

Apa yang penting kita hayati ialah norma hidup lama sudah berlalu. Kini kita perlu mengharungi arus perubahan dan mengadaptasi norma hidup baharu yang lebih berasaskan kepada usaha menjaga kepentingan kesihatan dan mengadaptasi dunia digital serta internet.

Pada masa hadapan, dunia akan berubah menjadi dunia maya dengan harta maya – rumah maya, kereta maya, pakaian maya sehingga makanan pun mungkin menjadi maya. Kita perlu mengambil kira sistem internet dalam kehidupan – kehidupan melalui internet, belajar melalui internet, berjumpa doktor melalui internet, mengikuti kuliah agama melalui internet, bertadarus melalui internet, bermesyuarat melalui internet, bersedekah di internet, membuat semua bayaran melalui internet, membeli-belah melalui internet, berniaga melalui internet dan bersosial pun melalui internet. Saya pasti ada cara untuk menjadikan semua ini bersesuaian dengan budaya hidup Islam.

Jika kita dapat menghayati keperluan berubah sebegini, kita boleh cuba mencari jalan bagaimana mencari peluang menjana pendapatan, berniaga dan mewujudkan kekayaan melalui sistem internet dan secara maya. Kita boleh cuba memulakan perubahan ini sekarang dan mencuba peluang perniagaan serta menjana pendapatan baharu mulai sekarang walaupun kita masih dipaksa berkurung di rumah kerana semuanya boleh dilakukan secara maya melalui sistem internet. Jika ini dapat dilakukan oleh semua isi rumah, kita tidak akan resah lagi menunggu bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berakhir agar kita semua boleh balik menjalani hidup berasaskan norma lama.

EPIDEMIK
Kita perlu mengandaikan norma lama tidak akan kembali. Malah pandemik Covid-19 boleh dengan mudah bertukar menjadi epidemik dan akan terus bersama kita selama-lamanya. Ini tidak sepatutnya mengecewakan kita, malah perlu dijadikan sebagai motivasi untuk mengharunginya dengan cemerlang dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada cara hidup kita.

Kerajaan Singapura misalnya sudah mengisytiharkan mereka tidak lagi berjuang untuk mencapai tahap Covid-19 sifar. Mereka sebaliknya sedang merancang dengan teliti bagaimana untuk hidup dengan Covid-19 dalam norma baharu.
Setiap isi rumah juga perlu memikirkan bagaimana untuk mengubah cara hidup, menangani kos kehidupan keluarga yang perlu dijimatkan dan gaya hidup yang perlu disesuaikan dengan keadaan kemelesetan semata.

Pastinya semangat dan motivasi diri sahaja tidak mencukupi untuk mengharungi arus deras menuju ke hadapan. Sumber kewangan dan kepakaran diperlukan. Di sinilah satu lagi ujian yang kita secara ummah, sebagai seluruh rakyat Malaysia perlu harungi.

Malaysia sebagai sebuah masyarakat bukanlah kumpulan penduduk yang miskin. Kita mempunyai keupayaan kewangan, pendapatan dan kekayaan yang besar. Apa yang belum berlaku ialah penggemblengan keupayaan kewangan ini. Satu mekanisme baharu perlu diwujudkan dengan inisiatif kerajaan bagi menggembleng kekayaan rakyat dan ummah secara komersial. Ini boleh dilakukan melalui satu institusi wakaf yang akan mengurus kekayaan ummah.

Institusi wakaf ini sebenarnya boleh wujud dalam institusi sedia ada di bank Islam dan bank konvensional. Apa yang perlu ialah satu kaedah perwujudan akaun endowment yang mirip kepada pengurusan wakaf biasa diuruskan oleh bank secara profesional bagi menjana pendapatan atau keuntungan maksimum.

Akaun endowment ini akan ditentukan penerima faedahnya oleh pemilik akaun yang boleh termasuk caruman kepada tabung wakaf dan tabung fisabilillah untuk dimanfaatkan bagi membantu kumpulan yang memerlukan tidak mengira agama, bangsa atau kaum. Ini mewujudkan satu kemungkinan sumber kewangan yang dijana secara berterusan melalui skim endowment yang boleh digunakan untuk membiayai kumpulan yang memerlukan untuk mengorak langkah keluar dari kancah kemiskinan dan melakukan perubahan hidup paling positif.

Perwujudan bank wakaf secara digital akan menjadi pemangkin penting di dalam usaha menggembleng kekayaan ummah ini bukan sahaja untuk faedah ramai tetapi juga untuk faedah individu pemilik tanah, hartanah dan harta kekayaan yang tidak cair.

Kerajaan juga perlu lebih inovatif dalam memberikan pakej bantuan. Kerajaan perlu menggunakan pakej bantuan sebagai perangsang atau carrot untuk menggalakkan isi rumah, peniaga dan rakyat marhaen untuk melakukan perubahan dan berani berpindah menjalani norma baharu dalam kehidupan.

Insentif dalam skim latihan bagi menyediakan kemahiran baru Revolusi Industri (IR4.0) berasaskan dunia digital dan skim inkubator kepada peniaga mikro untuk mengadaptasi dengan cepat perniagaan secara digital dan maya perlu diwujudkan dengan bentuk galakan dan insentif. Pada masa masa boleh menampung kos sara hidup mereka semasa tempoh perubahan ini.

Jika visi di atas dapat direalisasikan, tentunya ia akan mengurangkan beban kerajaan untuk terus menerus menyalurkan bantuan kepada kumpulan memerlukan dalam masyarakat.

 

Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai ialah pakar ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×