Kedudukan vaksin terutama AstraZeneca (AZ) terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat kebelakangan ini. Malah ada siaran amaran Menteri Kesihatan tentang kesan-kesan sampingan yang wajar diatasi dan dilaporkan jika berlaku kepada siapa sahaja yang telah mendapat suntikan tersebut. Ini agak membimbangkan ramai yang rata-rata digalakkan menempah suntikan AZ baru-baru ini dan proses mendapatkannya sedang rancak di seluruh negara.
Di samping itu, kerajaan juga dilaporkan akan mendesak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar menyelesaikan isu perbezaan pengiktirafan sijil vaksin digital yang wujud antara negara-negara pengeluar vaksin (termasuk AZ). Misalnya pada awal bulan ini, vaksin AZ keluaran India dikatakan tidak diiktiraf Kesatuan Eropah (EU) untuk perjalanan. Malah anggaran lima juta rakyat Britain yang menerimanya tidak dapat melancong ke Eropah kerana suntikan berkenaan dikeluarkan oleh Serum Institute of India.
Dos tersebut belum mendapat kelulusan Agensi Perubatan Eropah (EMA). Begitu juga keluaran selain dari Eropah sendiri yang masih belum menerima pengesahan EMA. AZ di Malaysia adalah bekalan dari negara-negara berkenaan umumnya. Demikian juga Amerika Syarikat (AS) yang sehingga hari ini belum mengiktiraf AZ. Sebaliknya, ribuan dos dihantar ke Kanada dan Mexico walau diperbuat di AS.
Sementara itu, Health Canada, badan yang bertanggungjawab membuat pengemaskinian label untuk vaksin tentang kesan sampingan pembekuan darah ekoran suntikan AZ juga memberi amaran kepada penerima yang mempunyai penyakit/sindrom ‘kebocoran’ rerambut saran darah kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Walaupun ini jarang berlaku, ia diramalkan berupaya menyebabkan pelbagai kesan sampingan lain.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada dilaporkan memilih suntikan jenama Moderna sebagai dos kedua walaupun dos pertamanya adalah AZ. Gabungan berlainan ini amalan agak pelik sunggupun ia dibolehkan di Kanada. Namun, di banyak negara lain, ia tidak berlaku lagi. Anehnya, pada Mei lalu, Perdana Menteri Kanada dipetik mengatakan beliau akan mendapatkan AZ sebagai dos kedua. Ternyata beliau menukar langkah. Ramai bertanya, apakah kurangnya AZ?
Pilih-pilih bulu sebegini tidak terhad di EU sahaja. Arab Saudi pun berbuat demikian atas sebab yang masih samar-samar. Malaysia akan terkesan dalam menghantar bakal haji ke Tanah Suci tahun ini. Juga dikatakan Malaysia akan mendapatkan pencerahan supaya tidak ada rakyat terhalang menunaikan fardu haji akibat mendapat vaksin yang tidak sesuai.
Bagi Australia pula, halnya berlainan berkaitan AZ. Sedangkan pada suatu ketika kerajaan bercadang memperuntukkan vaksin itu kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang menginginkannya, pegawai berkuasa peringkat negeri seperti di Queensland tidak menyokong keputusan itu.
“Saya tidak mahu kematian usia 18 tahun berlaku di Queensland akibat penyakit pembekuan berdarah. Jika mereka mendapat Covid-19, kemungkinan tidak mati,” ujar Ketua Pegawai Kesihatan Queensland mempertahankan keputusannya.
DELTA
Begitu juga negeri Australia Barat dan beberapa yang lain. Semuanya menyebabkan pembatalan beramai-ramai rakyat mengikut badan berwajib Australia walaupun risiko pembekuan darah bagi usia 60 tahun ke atas adalah agak kecil berbanding mereka yang lebih muda. Namun begitu, para doktor umumnya meminta lebih banyak maklumat perinci daripada pihak berwajib untuk dikongsikan apabila berbincang dengan golongan terlibat supaya lebih jelas bagi mereka membuat keputusan yang bijak atas nasihat profesional terlebih dahulu, dan membuat pilihan muktamad secara berhemah.
Mengikut data yang ada misalnya, anggaran risiko pembekuan darah akibat AZ, dos pertama untuk setiap 100,000 orang adalah 1.4 bagi usia 60 hinggs 69 tahun berbanding 2.7 (usia 50-59), dan 3.1 (usia 50 ke bawah). Bagi 70 hingga 79 tahun pula adalah 1.6, sedangkan 80 tahun ke atas 1.9. Maksudnya, lagi berumur, risikonya lagi rendah.
Apa pun, Australia sedang dilanda virus jenis Delta yang dikatakan lebih mudah berjangkit dan ingin meluaskan pemberian vaksin secepat mungkin. Jelas program ini akan tergendala angkara kemelut AZ yang masih berleluasa.
Dalam pada itu, Korea Selatan lebih tegas dengan keputusan tidak memberi AZ kepada mereka berusia 50 tahun ke bawah. Sebaliknya, mereka akan dibekalkan dengan vaksin jenis gantian demi mengelak kemungkinan pembekuan darah walaupun dianggap serius dan dikatakan jarang berlaku bagi mereka berumur 50 dan ke atas, berbanding usia muda. Satu perubahan dasar suntikan juga dibuat bagi mereka yang telah mendapat suntikan dos pertama AZ. Yakni akan diberi jenis Pfizer untuk dos kedua mengikut pihak berkuasa Korea Selatan. Secara berasingan pula, negara itu dikatakan sedang giat menawar diri untuk mengilang vaksin jenis lain seperti Pfizer bagi membantu bekalan dunia yang agak genting.
Hakikatnya, negara sedang berlumba-lumba untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin agar cepat mendapatkan imuniti kelompok melawan Covid-19 terutamanya AS yang tertinggi serangan wabak ini di seluruh dunia. Sasarannya adalah 70 peratus menjelang 4 Julai lalu yakni pada hari kemerdekaan AS. Tetapi hambar kerana ia tidak tercapai seperti dirancangkan memandangkan anggaran 3.4 hingga 5.2 juta rakyatnya masih belum mendapat suntikan. Apatah lagi dengan adanya varian virus baharu yang menyukarkan lagi kawalan jangkitan.
Yang agak menghairankan dalam congakan ini, mengapa AZ langsung tidak memainkan apa-apa peranan sama sekali, begitu juga suntikan lain dari negara bukan Barat khususnya? Nampaknya, mereka cukup berhati-hati dan berwaspada dalam soal memberi dan membekalkan suntikan kepada rakyatnya.
Malaysia wajar bersikap demikian, lebih-lebih lagi mengambil kira rakyat masih kurang terdidik, di samping maklumat yang tidak mudah dihadam apalagi berubah-ubah mengikut suasana sosiopolitik tidak menentu baik di peringkat antarabangsa sekalipun. Ini amat diperlukan supaya kisah anak tiri dapat diselesaikan dengan baik dan menguntungkan semua pihak.
Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











