BERTALU-TALU Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dikecam oleh para pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana kenyataan beliau pada 25 Jun lalu yang memperjelaskan kedudukan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Seri Paduka bertindak atas nasihat jemaah menteri seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan Peguam Negara bahawa beliau tidak patut mengeluarkan kenyataan umum yang seolah-olah ‘memperkecil’ kuasa Yang di-Pertuan Agong manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut kenyataan Peguam Negara dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara.
Kenyataan rasmi Majlis Presiden PH pula mendakwa, kenyataan Peguam Negara telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu. Peguam Negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya dan kenyataan Peguam Negara itu adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan beliau mesti dipecat segera.
Bila diteliti, tidak kelihatan dalam kenyataan Peguam Negara bahawa ia merupakan satu nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, sebaliknya pada permulaan ayat beliau lagi dinyatakan bahawa tujuan ia dibuat adalah untuk memperjelaskan kekeliruan yang berbangkit daripada pandangan pelbagai pihak mengenai isu berkenaan.
Kenyataan Peguam Negara adalah berbentuk pernyataan fakta, iaitu kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Raja Berperlembagaan seperti yang dihasratkan oleh penggubal Perlembagaan negara ini telah diiktiraf secara konsisten dalam penghakiman mahkamah, di mana Peguam Negara menyertakan butiran kes-kes mahkamah tersebut serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana tersebut di atas juga tidak berubah walaupun proklamasi darurat telah diisytiharkan.
Oleh itu, sukar difahami bagaimanakah pernyataan fakta begini boleh disifatkan sebagai telah ‘memperkecil’ kuasa Yang di-Pertuan Agong, menghina Istana Negara, memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu, apa lagi jika ia disifatkan sebagai merupakan satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong yang menyebabkan Peguam Negara mesti dipecat segera.
Mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, kewajipan Peguam Negara bukan sahaja setakat menasihati Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang sahaja, tetapi juga melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri.
MANIFESTO
Oleh itu, jika Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri menugaskan Peguam Negara untuk memperjelaskan kedudukan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Seri Paduka bertindak atas nasihat jemaah menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka adalah menjadi kewajipan beliau untuk melaksanakannya.
Amat janggal sekali bila kini para pemimpin PH cuba menonjolkan diri mereka sebagai pembela Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sedangkan fakta-fakta sejarah terkini membuktikan merekalah yang sebenarnya gagal memberi perhatian ke atas institusi diraja, malah pada ketika-ketika tertentu memperlekehkan dan mempersoalkannya pula.
Jika dilihat kepada kandungan manifesto PRU-14 PH dahulu, PH malah boleh disifatkan mahu menghakis atau membuang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam beberapa perkara, termasuk kuasa melantik penjawat tertinggi kerajaan, khususnya ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia (SPKM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan memindahkannya terus kepada Parlimen atau menjadikannya tertakluk kepada perakuan atau pengesahan oleh Parlimen.
Lebih teruk dari sekarang, pelantikan Peguam Negara mengikut manifesto tersebut akan menjadikan Peguam Negara dilantik dalam kalangan ahli Parlimen yang akan menjadi seorang menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan, bukan lagi dalam kalangan pihak yang neutral seperti sekarang. Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong dari segi undang-undang dilakukan oleh seorang ahli Parlimen partisan jika kehendak manifesto PRU-14 PH ini benar-benar terlaksana?
Begitu juga jika diingat balik hayat pemerintahan 22 bulan PH, banyak sekali insiden yang membuktikan PH tidak begitu berminat untuk menjunjung kedaulatan institusi diraja.
Ini dapat dilihat sejak awal-awal pemerintahan lagi bila seorang aktivis mereka disiasat oleh polis di bawah Akta Hasutan kerana menyebut institusi diraja sebagai ‘institusi kuno’ dan ‘antidemokrasi’, cepat-cepat pemimpin PH mendesak siasatan dihentikan, diikuti seruan-seruan supaya Akta Hasutan segera dimansuhkan.
Bila empat ahli akademik membuat pembentangan mengenai isu Statut Rom kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada 1 dan 2 April 2020, pemimpin PH segera mengumumkan kerajaan PH akan membincangkan kedudukan mereka seolah-olah menjadi kesalahan untuk mereka memberikan pandangan profesional kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja bila dititahkan berbuat demikian.
Bila Raja-Raja Melayu enggan memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom, pemimpin PH pantas menuduh dalam forum terbuka bahawa Raja-Raja Melayu enggan memberi perkenan kerana mahu melindungi diri mereka daripada jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan serta mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar Perlembagaan negara termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara.
Setelah berlakunya perubahan kerajaan daripada PH ke Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020 pula, pemimpin-pemimpin PH khususnya beberapa bekas menteri kerajaan PH juga tanpa segan atau gerun mempertikai dan mempersoalkan dalam ceramah-ceramah terbuka kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik perdana menteri.
Atas sebab inilah tindakan terkini para pemimpin PH cuba menonjolkan diri mereka sebagai pembela Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu hanyalah satu opera, malah ada kemungkinan untuk kepentingan politik sempit mereka.
Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).











