‘Tidak timbul isu DBP hilang taring’ - Utusan Malaysia

‘Tidak timbul isu DBP hilang taring’

ABANG SALEHUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini genaplah usia penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  ke-65 tahun. Dalam konteks manusia, usia 65 tahun bukan muda. Sudah tentu banyak cabaran dan ranjau yang dilalu sepanjang tempoh tersebut .

Sebagai ‘Imam Bahasa Melayu’, DBP yang terletak di bawah Kementerian Pendidikan menjadi pakar rujuk yang kadang kala tidak dirujuk dalam penggunaan bahasa Melayu sebenar.

Mengakui perkara tersebut, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran berkata, objektif penubuhan DBP adalah jelas, iaitu membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang.

DBP juga memperkembang bakat, mencetak dan menerbitkan, membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah serta menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan meluas. 

“Pendapat saya, DBP telah melaksanakan kesemua fungsinya sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, DBP tidak mempunyai fungsi penguatkuasaan tetapi kami tetap menjalankan fungsi pemantauan dan teguran melalui Bahagian Penguatkuasaan. 

“Maka kami sentiasa sahaja meraikan pelbagai pandangan dan kritikan tentang DBP, namun apa pun yang harus kita laksanakan mestilah bertindak daripada sumber kuasa yang ada pada kami,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Justeru kata beliau, tidak timbul soal DBP sudah kehilangan taring kerana agensi tersebut berfungsi berdasarkan sumber kuasa daripada dua aktanya selain Perlembagaan Persekutuan.

Dua akta yang dimaksudkan adalah Akta 213 (Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (Disemak 1978) dan Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Peluasan 1995).

Beliau juga menjelaskan mengenai isu penggunaan tulisan di papan tanda, papan iklan, nama jalan dan nama taman perumahan yang cenderung menggunakan bahasa Inggeris

Menurut Abang Salehuddin, DBP menyediakan perkhidmatan pengesahan bahasa secara dalam talian melalui dbpsahbahasa.my

Pihaknya juga membuat teguran secara rasmi dengan menghantar surat dan jika perlu memberikan cadangan dalam bahasa Melayu.

Selan itu, DBP bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan menerusi undang-undang dan garis panduan PBT masing-masing dalam kelulusan lesen perniagaan dan pemaparan papan tanda.

Mengenai isu juruhebah dan pengamal bidang penyiaran yang kerap menggunakan bahasa pasar atau bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, DBP telah bekerjasama dengan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) menerbitkan buku Garis Panduan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Bidang Penyiaran sebagai panduan.

Satu lagi isu yang menjadi perdebatan orang ramai dan turut menarik perhatian beliau adalah isu terlalu banyak ‘mazhab’ yang berbeza dalam kalangan pakar bahasa.

Abang Salehuddin mengakui memang isu tersebut menimbulkan kekeliruan kepada pengguna bahasa, namun masalah itu diatasi dengan menggalakkan pengguna berpegang kepada buku Tatabahasa Dewan. Dalam pembentukan istilah pula, ada buku Pedoman Pembentukan Istilah yang jadi pegangan.

Mengenai isu pembentukan istilah bahasa, beliau menjelaskan, penetapan sesuatu istilah perlulah melalui Jawatankuasa Pembentukan Istilah atau Jawatankuasa Istilah Semasa (JKIS) DBP bagi mengesahkan ketepatan istilah tersebut. 

Menurut beliau, sesuatu istilah yang dihasilkan mestilah jelas, ringkas, tepat, berkonotasi yang baik, sedap didengar dan dibentuk berdasarkan kaedah atau prinsip pembentukan istilah yang betul seperti diperturunkan dalam buku Pedoman Pembentukan.  

Istilah yang disepakati oleh negara anggota Majlis Bahasa Brunei Indonesia dan Malaysia (MABBIM) antaranya beberapa kriteria seperti  berdasarkan konsep istilah, definisi berpandukan kamus-kamus terkenal, sifat konsep, perhubungan konsep, ciri istilah dan sistem konsep. DBP kata belia tidak bersendirian dalam membantu pengembangan bahasa. 

Justeru, DBP mewujudkan Munsyi Dewan (MD) 1995 bertujuan membantu agensi berkenaan melaksanakan program kebahasaan di seluruh negara.

Penubuhan MD berjaya membantu DBP memberikan perkhidmatan bahasa kepada masyarakat seperti menyampaikan ceramah bahasa kepada pegawai di sektor awam, badan berkanun, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Malaysia. 

Lima fungsi utama MD adalah memberikan maklumat tentang perancangan bahasa Melayu terkini, menyelesaikan isu-isu bahasa Melayu semasa, memberikan motivasi dan kaedah pengucapan awam yang berkesan dan memberikan kesempatan kepada MD untuk bertukar-tukar pendapat bagi meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang berkesan.

Selain itu, ia juga memberikan peluang kepada MD untuk merangka program pengembangan bahasa, pemantauan dan penyebaran bahasa Melayu di zon masing-masing.

Setakat ini terdapat 311 orang MD meliputi Munsyi Bahasa seramai 172 orang, Munsyi Sastera (22 orang), Munsyi Jawi (99 orang) dan Munsyi DBP seramai 18 orang.

Satu lagi tumpuan utama DBP adalah menanam tabiat suka membaca dalam kalangan masyarakat. Ketika ini kata Abang Salehuddin, DBP melaksanakan kempen membaca melalui Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030). 

“Bertepatan dengan budaya masyarakat yang celik teknologi maklumat dan komunikasi, maka DBP menggiatkan perkongsian atau kaedah amalan membaca menggunakan landasan media sosial DBP seperti Facebook, Instagram, Twitter, Telegram juga YouTube,” ujar beliau.

Malah pada tahun lalu, media sosial DBP khususnya Faebook merekodkan hampir 37 juta carian oleh pengguna media sosial. Hal ini membuktikan perkongsian DBP telah menarik perhatian masyarakat. DBP menyedari bagaimana landasan digital menjadi fokus DBP untuk menggiatkan amalan membaca rakyat Malaysia.

“Suka untuk saya kongsikan di sini, jika tuan-tuan mengikuti perkongsian DBP sejak tahun lalu, kami telah mendinamiskan kaedah bagaimana masyarakat dapat mengetahui sesebuah buku melalui perbincangan, wacana, diskusi, kegiatan bentuk pertandingan dan sayembara bagi memaksimumkan kempen budaya membaca,” ujarnya.

Untuk itu, katanya, DBP sedang bersiap siaga bagi melancarkan Pelantar Digital DBP dijangka pada tahun ini.

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya