Tebang pokok tua perlu bukti laporan - Utusan Malaysia

Tebang pokok tua perlu bukti laporan

PENGUAT kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang membuat pemeriksaan ke atas lori yang membawa kayu balak saiz luar biasa di Hentian Rehat dan Rawat Gombak arah barat. – Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Pahang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU lori membawa tual balak bersaiz besar yang tular di pelbagai media baru-baru ini mendapat perhatian umum serta menimbulkan persoalan dan persepsi meragukan.

Berdasarkan kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, agensi tersebut tidak menyatakan secara terperinci butiran kawasan kelulusan lesen dan salah satu persoalan, adakah lesen pengusahasilan tersebut menggunakan kaedah Sistem Pengurusan Memilih (SMS) atau kaedah tebang habis?

Sekiranya di bawah lesen pengusahasilan menggunakan kaedah SMS, ia tertakluk kepada pensijilan pengurusan hutan secara berkekalan dan perlu mematuhi kehendak Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I).

Dua contoh MC&I yang perlu dipatuhi ialah had batas tebangan dan had pengeluaran isipadu maksimum yang boleh dikeluarkan dalam sehektar.

Oleh itu, tidak timbul soal pihak jabatan hendak menebang pokok sekiranya agensi tersebut mengambil kira keistimewaannya serta keseluruhan ekosistem dan biologi hutan.

Alasan pihak jabatan yang mendakwa sesuatu pokok yang sangat tua dan mencapai tempoh matang tidak lagi berfungsi kepada ekosistem persekitaran adalah tidak kukuh sedangkan agensi tersebut boleh pula mengekal dan melindungi sebatang pokok chengal (neobalanocarpus heimii) besar di Hutan Simpan Pasir Raja.

Tidak dinafikan jabatan perlu merujuk kepada amalan silvikultur bagi keperluan sistem pengurusan hutan tetapi penebangan sesuatu pokok yang didakwa terlalu tua dan tidak lagi berfungsi kepada ekosistem persekitaran perlulah dibuktikan dengan mengemuka laporan penilaian terhadap kesihatan pokok.

Dakwaan pihak jabatan bahawa sesuatu pokok yang sangat tua dan mencapai tempoh matang patut ditebang kerana peranannya terhadap ekosistem hutan tidak lagi menghasilkan oksigen berbanding pokok-pokok muda yang lebih aktif serta akan memberi ruang untuk pokok-pokok muda tumbuh dengan lebih baik hanya sesuai di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran tetapi bukannya di kawasan HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan.

Kerajaan negeri pula disaran supaya tidak terlalu mengharap kepada hasil pembalakan dan perlombongan kerana telah menerima royalti petroleum daripada Kerajaan Persekutuan.

MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN
Penasihat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya