Tapak nuklear belum lumpuh, AS, Israel rancang serang Iran lagi?

Tapak nuklear belum lumpuh, AS, Israel rancang serang Iran lagi?

DONALD Trump berjabat tangan dengan Benjamin Netanyahu semasa pertemuan di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Terdapat kemungkinan Amerika Syarikat (AS) dan Israel akan melancarkan serangan sekali lagi terhadap dua tapak nuklear Iran sekiranya Teheran tidak bersetuju memulakan rundingan dalam masa terdekat.

Kemungkinan itu timbul selepas laporan terbaharu mendedahkan hanya satu daripada tiga tapak nuklear Iran yang benar-benar terjejas akibat serangan bom bunker AS sebelum ini.

Susulan itu, pegawai AS dan Israel berbincang untuk melancarkan satu lagi serangan bagi memusnahkan dua lagi tapak nuklear Iran jika Teheran masih bersikap ‘keras kepala’.

Menurut laporan NBC News pada Khamis, yang memetik lima pegawai tertinggi AS yang mengetahui dapatan risikan tersebut, serangan bulan lalu hanya menjejaskan aktiviti pengayaan uranium di tapak nuklear bawah tanah Fordow selama kira-kira dua tahun.

Penemuan ini turut dikongsi dengan ahli Kongres dan pegawai negara-negara sekutu.

Laporan itu menunjukkan, walaupun tidak secara eksplisit, kerosakan di dua tapak lain iaitu Isfahan dan Natanz tidaklah seteruk Fordow, dengan sesetengah bahagian dipercayai berada di luar kemampuan bom bunker AS.

Sehubungan itu, pegawai AS percaya Iran mungkin mampu mengaktifkan semula fasiliti tersebut dalam beberapa bulan akan datang.

Dua pegawai semasa membe­ritahu NBC, penilaian masih dite­ruskan dan mungkin berubah dari semasa ke semasa, sambil menambah lebih banyak kerosakan dikenal pasti dalam analisis terkini berbanding penilaian terdahulu.

KEENGGANAN TRUMP

Menurut laporan itu, Presiden Donald Trump sebelum ini sudah diberikan pilihan untuk menjalankan kempen serangan udara yang jauh lebih menyeluruh, melibatkan serangan berulang terhadap enam tapak nuklear dalam tempoh beberapa minggu.

Namun, beliau memilih serangan berskala lebih kecil kerana bimbang terhadap penglibatan AS yang berpanjangan dalam konflik di Asia Barat.

“Kami bersedia untuk melakukan operasi berskala penuh, tetapi Presiden tidak mahu,” kata seorang daripada sumber.

Laporan turut memetik kenyataan seorang pegawai mengenai AS dan Israel giat membincangkan kemungkinan melancarkan serangan baharu terhadap Natanz dan Isfahan sekiranya Iran terus mengelak daripada berunding mengenai program nuklearnya.

Serangan juga mungkin berlaku jika terdapat tanda-tanda Teheran sedang cuba membina semula tapak-tapak tersebut.

Sebagai respons kepada laporan itu, jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly, mengulangi kenya­taan Trump mengenai semua tapak yang diserang sudah ‘dimusnahkan sepenuhnya’ dan menyatakan AS serta dunia kini ‘lebih selamat’ hasil tindakan tegas Trump.

Jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell pula menyelar laporan media yang disifatkan berat sebelah mengenai kerosakan pada ketiga-tiga tapak nuklear Iran.

Media antarabangsa termasuk CNN sebelum ini melaporkan serangan udara AS terhadap ketiga-tiga tapak nuklear tersebut hanya menyebabkan kerosakan kecil, seolah-olah memandang rendah terhadap keupayaan tentera negara ini.

“Kredibiliti media palsu adalah seperti keadaan semasa fasiliti nuklear Iran iaitu musnah, tertanam dalam tanah, dan akan ambil masa bertahun untuk pulih.

“Presiden Trump jelas dan rak­yat Amerika faham bahawa fasiliti nuklear Iran di Fordow, Isfahan, dan Natanz sudah dimusnahkan sepenuhnya. Tiada keraguan tentang itu,” katanya.

TIMBUL KERAGUAN

Awal bulan ini, Pentagon menya­takan risikan teliti menunjukkan program nuklear Iran secara ke­seluruhan tertangguh sehingga dua tahun akibat serangan tersebut.

Namun, Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, bulan lalu menyuarakan keraguan mengenai keberkesanan serangan itu dan memaklumkan Iran berkemungkinan boleh menyam­bung semula pengeluaran uranium yang diperkaya dalam masa beberapa bulan.

Beberapa pakar turut memberi amaran Iran mungkin sudah memindahkan simpanan uranium yang hampir mencapai tahap senjata dari tapak Fordwo yang terletak jauh di bawah tanah sebelum serangan, dan mungkin menyembunyikannya.

Namun, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata beliau tidak mengetahui sebarang risikan yang menunjukkan perkara itu berlaku.

Pada 13 Jun, Israel melancarkan kempen udara terbesar dalam sejarah terhadap tapak nuklear, saintis, dan pegawai tertinggi tentera Iran dalam usaha menghentikan program nuklear negara itu.

Teheran sebelum ini berulang kali menegaskan program nuklearnya bertujuan awam, namun dipersoal oleh Washington dan kuasa besar lain sebagai usaha untuk memperoleh senjata nuklear.

Namun, ia memperkaya uranium sehingga 60 peratus iaitu melebihi keperluan penggunaan awam dan hampir ke tahap bahan senjata, selain menghalang pemeriksa antarabangsa serta memperluaskan keupayaan peluru berpandu balistiknya.

Trump pernah cuba mencari penyelesaian diplomatik untuk menggantikan perjanjian nuklear 2015 yang beliau batalkan semasa penggal pertama sebagai Presiden, namun akhirnya memilih tindakan ketenteraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN