‘Saya tak nampak ada ruang kerjasama UMNO-DAP’ - Utusan Malaysia

‘Saya tak nampak ada ruang kerjasama UMNO-DAP’

Howard Lee ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Fadhli Mohd. Sulaiman (kanan) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH 

Sebut sahaja DAP, ada pihak terus melabelkannya sebagai parti rasis dan cauvinis tanpa memberi peluang kepada parti itu menjernihkan pemikiran masyarakat yang dilihat sudah berat sebelah. 

Kesannya, hanya kebencian dan persepsi negatif yang ditinggalkan sedangkan parti ini masih menjunjung Malaysia sebagai negara majmuk dan luhur kepada Perlembagaan Persekutuan. 

Peralihan kepemimpinan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang sepatutnya berlangsung bulan ini dan pemilihan sayap Pemuda Sosialis  (DAPSY) pada akhir tahun ini yang ditangguhkan, DAP merasakan banyak perlu diselesaikan. 

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, FAUZI BAHARUDDIN bersama Ketua Pemuda DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, HOWARD LEE CHUAN HOW di ibu negara, baru-baru ini. 

 

CEC DAN DAPSY 

UTUSAN: Perkembangan terkini DAP? 

HOWARD: DAP sekarang lebih menumpukan kepada pemilihan CEC yang dijadualkan berlangsung bulan ini seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti, iaitu mewajibkan semua perwakilan berhimpun secara fizikal. 

Namun, disebabkan wabak Covid-19 yang masih membimbangkan dan proklamasi darurat, DAP membuat rayuan dan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk pemilihan dijadualkan semula kepada suatu tarikh yang lebih sesuai. 

Pemilihan DAPSY pula?

Dijadualkan hujung tahun ini tetapi apabila pemilihan CEC ditangguhkan, keadaan juga tidak menentu sama ada pemilihan DAPSY akan dijalankan pada masa yang ditetapkan. 

Pemilihan DAPSY juga ditangguhkan, namun belum secara rasmi dibincangkan. Cuma, sudah tentu saya berharap dapat menyerahkan tanggungjawab saya sebagai Ketua Pemuda DAP selepas ini. Ramai juga pemimpin DAPSY yang jauh lebih muda berbanding saya sedia mengambil alih peranan ini. 

Situasi dalam parti DAP pula bagaimana? 

Walaupun secara realitinya persaingan dalaman parti itu dikatakan sihat malah ada yang mentafsirkannya sebagai sengit, tetapi yang digembar-gemburkan seperti ada peperangan yang besar tapi ia tidak ke mana pun. DAP sama seperti lain, ada percambahan idea yang secara tidak langsung menimbulkan sedikit ‘gosokan.’ 

Di akhir jawatan Yang Berhormay (YB) sebagai Ketua Pemuda DAP, apa perubahan yang dibawa?

Paling menyerlah untuk batch saya kerana kami pernah diberikan tanggungjawab untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat jawatankuasa Persekutuan dan negeri (semasa pentadbiran Pakatan Harapan). 

Di sinilah terbuka banyak peluang dan pengalaman yang kalau DAP tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan, kami tidak akan diberi apa-apa dari segi kapasiti sebagai sayap Pemuda.

Pun begitu, saya tidak mengambil sebarang perubahan yang ada dibina secara individu atau saya seorang sahaja. Ia dicerminkan di dalam struktur pimpinan dalam DAPSY. Walaupun saya dipilih secara terus, DAPSY memimpin secara kolektif dan tidak akan mengambil kredit dalam apa-apa kejayaan yang dikecapi. 

Penglibatan DAP atau DAPSY dalam kerajaan mematangkan parti?

Pakatan politik telah menjadi suatu lumrah lebih-lebih lagi dalam konteks Malaysia untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Objektif utama saya dalam DAP adalah untuk memperjuangkan prinsip parti agar boleh dilaksanakan dalam negara. Maksudnya, untuk menjadi kerajaan. 

Jadi, pakatan politik di dalam PH telah membantu ke arah mematangkan sayap Pemuda sebagai sebuah parti khususnya pemimpin-pemimpin. Ini juga sekali gus menyedarkan betapa penting perhubungan antara parti. 

Apa beza kepemimpinan YB berbanding Ketua Pemuda DAP sebelum ini?

Setiap zaman pemimpin adalah berbeza. Sebelum saya menggalas amanah ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh bertindak sebagai Ketua Pemuda DAP. 

Fokus beliau adalah membina sebuah pakatan Pemuda Harapan dan saya juga berada dalam kepimpinan tertinggi. Sebelum itu, Teo Kok Seong bertindak dalam menggerakkan aspek mobilisasi, mengatur dan meningkatkan kesedaran. 

Sebelum beliau adalah Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang menggubal kembali perlembagaan dengan menurunkan had umur daripada 40 ke 35 tahun. 

Kini, giliran saya pula adalah mengukuh dan mentadbir negara sebagai sebahagian daripada kepimpinan. 

YB kata tugas YB untuk mengukuhkan parti. Tercapaikah?

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun, cabarannya berliku. Sudah tentu mana-mana Ketua Pemuda adalah menjadi suara paling lantang dan berada di garisan hadapan. Kalau ada demonstrasi, turun. Kalau tiada, gerakkan satu demonstrasi. 

Kita akan menjadi pelengkap bukan lagi bertindak sebagai penggerak dan sekarang pun, DAP dan DAPSY sudah cukup pengaruh, sosok badan dan keyakinan untuk bersama menjadi penggerak kepada gerakan tertentu. 

Contohnya, Undi 18, walaupun DAPSY tidak terlibat secara langsung membantah di depan Parlimen tetapi pada waktu itu kami tetap bersama dalam proses meningkatkan kesedaran tentang Undi 18.

Apa cabaran YB dalam menerajui sayap Pemuda DAP?

Semasa mentadbir kerajaan, saya berperanan sebagai Exco kerajaan negeri, Ketua Pemuda DAP dan juga Pemuda Harapan. Semua tugas ini adalah berbeza tetapi dengan matlamat yang sama. Tetapi, sekarang menjadi pembangkang semula, saya masih memegang peranan sama kecuali Exco kerajaan negeri. 

Di sinilah cabaran itu hadir sebab eskpektasi ramai pihak sudah meningkat sebab DAP-DAPSY sudah pernah menjadi kerajaan. Untuk mengekalkan ekspektasi itu yang mencabar sebab eskpektasi dan kapasiti parti menurun selepas tidak lagi menjadi kerajaan. 

Itu sahaja YB?

Yang saya lihat, DAP masih bersatu, belum berpecah dan sepertinya tidak akan ke arah itu. Cuma, saya harap selepas pemilihan CEC dan DAPSY, jika ada bait-bait perpecahan, eloklah perpaduan itu dipulih dan diperkukuhkan. 

Saya tahu ini tugas yang berat tetapi percayalah, selepas menjadi kerajaan dan tumbang semasa Langkah Sheraton, akan ada pihak di luar sana yang terus mencari kesalahan sekali gus menyebabkan dasar-dasar yang ada tidak terlaksana. 

Apa kelemahan DAP? 

DAP sering kali dikritik kerana tidak cukup bilangan ahli. Ada yang mendakwa DAP parti kecil, lemah dan tidak cukup ahli dalam kalangan orang Melayu dan kaum lain. 

Persepsi luaran terhadap DAP pula?

DAP hanya dikritik kerana kurang orang Melayu. Asyik kena tuduh terlalu ramai orang Cina sahaja. Kenapa tida kritik juga parti MCA yang hanya terdiri daripada orang Cina atau MIC yang hanya orang India? 

Kritikan seperti ini yang bersifat dua darjat. Dalam DAP, ada yang anak raja, buruh, golongan profesional, golongan miskin bandar malah petani pun ada. Kenapa ini yang tidak dikritik? 

Ya, DAP perlu meningkatkan dan menyeimbangkan perwakilan daripada semua kaum untuk menggambarkan ciri-ciri Malaysia. Cuma, pembangunan dan kemajuan parti adalah organik, jika rakyat menyokong, parti gembira dan meneruskan perjuangan. 

Apa yang DAP harap?

Sudah tentu kita mahukan lebih ramai penyokong daripada pelbagai kaum, golongan bumiputera menyertai DAP. Tetapi, menggunakan kritikan DAP kurang orang Melayu sebagai asas untuk kita itu tidak munasabah. 

 

DASAR DAP 

Dasar kecinaan dalam DAP. Hakikat atau persepsi? 

Dasar ini langsung tidak wujud dalam DAP. Kalau ada yang kata DAP ini cauvinis Cinalah, komunislah, mereka hanya mengulangi tomahan dan fitnah yang dibuat orang lain. 

Saya pernah duduk bersama seorang pakcik di warung terletak di tepi jalan. Dia sedang membawa akhbar yang menceritakan tentang DAP yang dikaitkan dengan cauvinis dan komunis. 

Saya pula kelihatan seperti Melayu apabila bercukur dan bercakap. Saya katakan kepada dia, jika DAP ini komunis dan cauvinis, dia kenal atau tidak parti ini? Dia kata kepada saya: “Tak perlu kenal. Nak kenal buat apa?”

Saya katakan, “saya wakil rakyat DAP,” dan dia balas, “eh, mana ada wakil rakyat DAP orang Melayu?” Saya terkesima seketika. Jadi di sini, saya rasa di situlah absahnya teori saya ini bukan persepsi semata-mata, tetapi hanyalah ulangan dan tomahan yang sudah terpahat dalam pemikiran masyarakat tentang DAP. 

Susah sangatkah untuk DAP dan MCA bersatu hati?

Untuk apa nak bersatu? Jurang antara DAP dan MCA sangat besar. Mereka hanya memperjuangkan wadah kaum Cina sahaja sedangkan DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Ini tidak masuk akal. 

Katalah suatu hari DAP membentuk Kerajaan Persekutuan dan MCA menyokong, itu boleh dipertimbangkan tetapi ada batasnya. Tapi kalau nak kedua-dua parti ini bergabung, jangan mimpi. 

YB kata MCA untuk orang Cina. Dalam DAP pun yang paling dominan orang Cina jugakan?

Apa salahnya untuk dominasi Cina tetapi perjuangan untuk semua rakyat Malaysia? Bukankah ini yang kita mahu? 

YB dilihat sebagai pemimpin mewakili pelbagai kaum sehingga didakwa kurang membantu masyarakat Cina. Komen? 

Ini pun tidak betul. Kalau ada yang fitnah saya tidak membantu kaum sendiri, ini sangat tidak bertanggungjawab. Tidak kisahlah orang luar yang suka ‘membawang’ tentang saya kononnya tidak membantu kaum sendiri, pergilah kawasan saya di DUN Pasir Pinji. 

Untuk pengetahuan, penduduk di kawasan saya adalah kebanyakannya orang Cina. Bukan sahaja Cina, mereka terdiri daripada orang miskin kota dengan keadaan rumah yang usang. 

Yang saya tahu, penduduk di sana kenal saya dan saya pun telah berjanji untuk terus membantu mereka. Tetapi bagi saya, tidak kisah kaum dan agama apa pun, saya tetap membantu rakyat Malaysia. 

Tapi YB tidak boleh nafikan ‘dasar kecinaan’ ini wujud bagi sesetengah orang dalam DAP?

Ya, betul. Samalah seperti orang Melayu Islam yang memperjuangkan kemelayuan mereka. Untuk Melayu okay, kalau Cina tidak? Kenapa perlu dwistandard? Beginilah, asalkan mereka menerima identiti Malaysia mereka, tiada masalah. Sesiapa yang memperjuangkan kecinaan mereka dan menafikan keMalaysiaannya, saya akan menjadi orang pertama mempersoalkan, apa hang buat di negara ini? 

Hang rakyat Malaysia yang memegang IC biru (kad pengenalan) tetapi nak perjuangkan identiti kaum tanpa menjunjung keMalaysiaan? Ini yang saya tidak boleh terima. 

YB sendiri?

Saya ada kecinaan saya, salah ke? 

DAP didakwa terbahagi kepada golongan progresif dan konservatif. Macam mana YB mengendalikan situasi ini?

DAP hanya ada satu puak tetapi dalam kepuakan itu wujudnya perselisihan yang menjurus kepada perbalahan, perpecahan dan permusuhan. Tetapi, bukankah ini lumrah dalam semua parti politik? 

Ia terletak kepada kebijaksanaan kepimpinan parti dan anggotanya, bagaimana mahu mengendalikan situasi begini, duduk berbincang bersama mencari jalan penyelesaian. 

YB cenderung ke arah mana?

Saya tidak suka label begini yang kata saya progresiflah, konservatiflah. Cuma, saya mahu parti menyumbang ke arah Malaysia yang lebih progresif, lebih maju dan mengekalkan kemajmukan. 

Apa yang YB lakukan untuk mencapainya?

Sejak saya memegang mandat dalam jawatankuasa negeri dan Ketua Pemuda DAP, saya buat kerja latihan dengan berjumpa dan menyampaikan pendidikan politik ke seluruh negara. 

 

KERJASAMA DAP-UMNO 

Banyak spekulasi yang timbul tentang kerjasama DAP dan UMNO sejak krisis politik di Perak tahun lalu. Apa sebenarnya?

Ada ke kerjasama itu? Saya tidak nampak adanya ruang untuk kedua-dua parti bekerjasama. Kalau idea kerjasama ini perlu, biar rakyat yang tentukan. 

Pendirian parti-parti komponen pembangkang adalah kita perlu bekerjasama untuk memenangi pilihan raya akan datang sebagai Pakatan Harapan. Kalau kita boleh menang secara sendiri, tidak perlu fikir panjang nak bekerjasama dengan sesiapa melainkan parti rakan sekutu sahaja. 

Kalau ada parti yang tidak cukup bilangan kerusi?

Kalau mereka di ‘sebelah sana’ tidak cukup bilangan, jadi kita boleh mempertimbangkan apa yang boleh ketika itu. Katalah UMNO, PKR dan DAP tidak cukup bilangan kerusi, menjadi satu keadaan di mana semua parti berbincang bersama mencapai kata sepakat. 

 

DAP TERUSKAN PERJUANGAN 

Harapan YB?

Saya harap agar DAP teruskan perjuangan yang bukan sahaja sebagai parti, tetapi sebuah gerakan yang memandu negara ke arah Malaysia yang bebas daripada cengkaman kuasa luaran dan lebih bebas. 

Sekarang demokrasi sudah hilang. Parlimen dan DUN pun tidak boleh bersidang, pandemik berleluasa. Jadi, kita perlu menggembleng tenaga untuk menyelesaikan semua masalah dan kembali ke jalan demokrasi. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN