Pada petang Jumaat (malam Sabtu) lalu, sewaktu merehatkan badan selepas berbuka puasa dan solat maghrib, ketika mencari-cari bahan ringan untuk ditonton di Youtube, saya terserempak video taklimat Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sebelah pagi yang ketika itu sudah pun viral di media sosial. Berdurasi 47.33 minit, video itu masih lagi boleh dijejaki di ruang siber.
Terkejut dengan pendedahan berani KPN itu, saya segera hubungi seorang wartawan di sebuah akhbar tempatan dan bertanyakan pendapatnya. Dengan segera dia menjawab, “Kita akan siarkan perkara ini esok (Sabtu).”
Pada esok harinya (Sabtu, 1 Mei 2021), ketiga-tiga akhbar yang saya langgan setiap hari termasuk Utusan Malaysia menyiarkan berita dan komen mengenai kenyataan Hamid tersebut. Akhbar-akhbar lain juga ada menyiarkan perkara sama di portal mereka masing-masing.
Utusan Malaysia menyiarkannya di muka surat empat di bawah tajuk berita Henti campur tangan politik dalam PDRM. Mengikut Hamid, campur tangan politik dalam urusan PDRM tidak sepatutnya berlaku. Tegasnya, beliau telah dua kali bawa isu ini kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, namun masih ada lagi campur tangan daripada individu tertentu.
MINUM KOPI
Meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Hamid berkata, banyak siasatan salah laku terhadap polis tergantung disebabkan SPP tidak serius menyelesaikannya. Beliau mendedahkan, SPP bertemu (bermesyuarat) hanya empat sekali setahun (bukan setiap bulan), itu pun sekadar ‘minum kopi.’
Sambil mendedahkan SPP tidak ada pejabat tetap, Hamid menyatakan, “Inilah sebabnya kenapa SPP tidak patut dipengerusikan oleh seorang menteri. Lebih baik serah kepada seorang hakim atau bekas hakim.”
Saya teringat perbualan saya beberapa tahun lalu dengan seorang bekas ketua jabatan di Kedah yang kini menjadi ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) negeri. Bila saya tanya beliau, siapakah yang selalunya menjadi pengerusi SPA negeri, beliau menjawab, biasanya orang itu adalah pesara jawatan paling tinggi atau kedua tinggi dalam perkhidmatan negeri (Kedah Civil Service).
Jika amalan di Kedah ini dipakai di peringkat Persekutuan, maknanya orang yang paling layak menjadi pengerusi suatu suruhanjayaperkhidmatan itu adalah bekas Ketua Setiausaha Negara, dan sekiranya cadangan Hamid itu boleh disetujui, orang yang layak menjadi Pengerusi SPP adalah bekas Ketua Hakim Negara, bekas Presiden Mahkamah Rayuan atau bekas Hakim Besar Malaya. Untuk melindungi PDRM daripada campur tangan politik, cadangan Hamid bahawa SPP tidak dipengerusikan seorang menteri wajar diberi pertimbangan.
Malangnya sejak merdeka, kita mengutamakan seorang menteri menjadi pengerusi dua suruhanjaya. Bagi Majlis Angkatan Tentera, Perkara 137 Fasal (3)(a) menyatakan bahawa pengerusinya hendaklah menteri pertahanan, manakala bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP), Perkara 140 Fasal (3)(a) menyatakan pengerusinya hendaklah menteri bertanggungjawab mengenai polis (iaitu Menteri Dalam Negeri).
Anehnya, bagi tiga suruhanjaya lain pengerusinya bukan menteri. Bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman (Perkara 138), pengerusinya bukan Menteri Undang-undang, bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Perkara 139), pengerusinya bukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan bagi Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (Perkara 141), pengerusinya bukan Menteri Pendidikan.
Saya perhatikan sehingga hari ini, kita belum ada satu undang-undang khas seperti Police Service Commission (Establishment) Act 2001 Nigeria. Seksyen 2 akta itu menyatakan pengerusinya (yang menjadi ketua eksekutif suruhanjaya itu) dilantik oleh presiden negara itu dan disahkan oleh senat dalam kalangan mereka yang terbukti integriti dan kemampuannya (persons of proven integrity and ability). Akta ini tidak mensyaratkan pengerusi suruhanjaya itu mesti seorang menteri.
Ahli-ahli lain suruhanjaya itu terdiri daripada seorang bekas hakim mahkamah agung atau mahkamah rayuan, seorang pesara pegawai polis berjawatan tinggi dan empat ahli lain terdiri daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita, wakil media Nigeria, wakil NGO hak asasi dan wakil sektor swasta. Mereka juga dilantik oleh presiden serta disahkan oleh senat dan mesti terbukti integriti serta kemampuan mereka.
PETISYEN
Di bawah seksyen 3, pelantikan mereka adalah bagi satu tempoh empat tahun sahaja dan tidak boleh disambung. Di bawah seksyen 4(2), keahlian seseorang itu dalam suruhanjaya ini boleh ditamatkan oleh presiden sekiranya difikirkan penting demi kepentingan awam. Keahlian seseorang itu boleh juga ditamatkan oleh presiden sekiranya ada petisyen yang disokong oleh dua pertiga majoriti senat supaya keahliannya ditamatkan disebabkan tidak mampu menjalankan tugas atau atas sebab salah laku.
Situasi sama wujud di bawah National Police Service Commission Act di Kenya, di mana pengerusinya juga bukan seorang menteri. Sebaliknya seorang yang pernah menjadi ahli Parlimen atau wakil rakyat dalam tempoh lima tahun sebelumnya adalah tidak layak menjadi pengerusi atau ahli suruhanjaya (seksyen 5(5).
Kesimpulannya, peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kesemua lima suruhanjaya perkhidmatan sedia ada (Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, perkhidmatan awam, perguruan, perundangan dan kehakiman) wajar dikaji semula, agar dapat diseragamkan bahawa menteri bukan pengerusinya. Berasaskan pendedahan Hamid Bador pada Sabtu lalu, campur tangan politik bukan satu teori kosong, malahan satu realiti yang mendukacitakan rakyat.
Untuk kekal profesionalisme dan berwibawa, dihormati dan disanjung (bukan dicaci dan dihina), PDRM perlu diselamatkan. Ia bukan aset untuk dipengaruhi atau dimiliki sesiapa. PDRM adalah milik negara yang tidak ternilai harganya.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










