Murung tak dapat ke sana ke sini - Utusan Malaysia

Murung tak dapat ke sana ke sini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia ini, macam-macam jenis sakit rupanya. Yang tak terfikir pun ada.
Kisahnya ketika saya membawa seorang penumpang yang hendak ke Shah Alam dari Putrajaya. Wanita berusia lewat 50-an ini nampak lain sikit, bercakap lembut dan tenang saja wajahnya. Terpesona kejap saya.
Selepas berbasa-basi, saya cuba korek pekerjaannya. Rupanya wanita ini bekerja dalam bidang psikologi.
Perbualan kami tentang Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya membawa saya ke satu pengetahuan baru. Sakit media sosial!
Kata wanita ini yang saya gelar Puan B ( menurut nama dalam aplikasi Grab), kesan PKP bukan saja menjejaskan ekonomi ramai orang tapi mereka yang ‘gila’ menggunakan media sosial sebagai platform mahu menunjuk-nunjuk kehidupan peribadi kepada orang lain pun terpalit sama.
Wah! Macam mana itu? Laju saya bertanya.
Kata Puan B secara umumnya, orang yang selama ini suka berswafoto di sana sini dan menunjukkannya dalam media sosial, apabila PKP berlaku, mereka tak lagi dapat berbuat demikian dalam tempoh lama, akhirnya mendatangkan kemudaratan dan jadi murung!
Senang cakap, selama ini boleh tunjuk aktiviti jalan-jalan, makan sana sini, beli itu ini dalam media sosial, bila terpaksa berkurung, dia jadi stres dan kemurungan yang teruk.
Ternganga kejap saya mendengar pendedahan Puan B ini. Tak dapat menunjuk-nunjuk boleh jadi sakit? Aduh… Ramai sangatkah yang terlibat?
“Boleh tahan juga. Inilah akibat buruk bila terlalu memuja media sosial dan hidup terlalu bergantung kepadanya.
“Bila lama terkurung dan menyekat kesukaan mempertontonkan hobi kepada umum, akhirnya makan diri. Ada pesakit saya yang jadi kurus kering dan hidup tak gembira sedangkan dia ada segala-galanya.
“Berbanding kebanyakan ramai orang lain yang terjejas pendapatan, dia langsung tak terjejas.
“Tapi dia murung sebab tak boleh hendak ke sana sini dan paparkan kegiatan dalam media sosial. Ini sebahagian daripada gangguan mental.
“Bila terlalu taksub dengan media sosial dan hidup mahu dipuji selalu, inilah jadinya,” kata Puan B.
Selepas menghantar Puan B ke destinasinya, lama saya termenung memikirkan kisah tadi.
Tak terfikir di otak saya yang ada orang jadi sakit bila dia tak dapat menunjuk-nunjuk kehidupannya pada orang lain.
Rupa-rupanya platform media sosial itu betul-betul digunakan untuk bersosial dan mendedahkan setiap inci kehidupan kepada orang lain.
Sampai ke saat ini, saya masih rasa tak percaya ada orang yang begitu hidupnya.
Anda percaya?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×