Buat baik bukan hanya Ramadan... - Utusan Malaysia

Buat baik bukan hanya Ramadan…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap tahun, kedatangan Ramadan disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di seluruh dunia. Kebiasaannya, kita berusaha sedaya-upaya untuk memanfaatkan masa lapang dengan mengerjakan amalan yang baik dan meninggalkan aktiviti tidak berfaedah.

Suasana di surau dan masjid menjadi lebih meriah berbanding bulan-bulan lain, khususnya ketika solat tarawih.

Alangkah baiknya jika semua amalan baik yang kita lakukan sepanjang bulan yang penuh berkat ini berterusan sepanjang tahun dan tidak terhenti sebaik sahaja berakhirnya Ramadan.

Betapa indahnya jika surau dan masjid sentiasa diimarahkan pada setiap masa. Kita akan menjadi insan yang lebih baik jika sentiasa berusaha keras memperuntukkan lebih masa untuk beribadat.

Begitu juga jika kita berterusan melakukan amalan bersedekah, tolong menolong serta amalan mulia lain yang dapat membina masyarakat yang sejahtera.

Tidak dapat dinafikan, kehidupan di era moden ini sangat mencabar. Kita terdedah kepada begitu banyak perkara yang melalaikan sehingga sukar untuk kita menolaknya.

Akibatnya, kita tidak lagi mementingkan aspek spiritual dan kerohanian kerana leka dalam keseronokan dunia. Jika terus lalai, kita mudah terperangkap dalam fahaman hedonisme yang hanya mementingkan aspek keseronokan dan kesenangan hidup.

HIBURAN

Seperti ramai remaja lain, saya juga sukakan hiburan. Tidak dinafikan saya sendiri terkadang lalai dengan hal-hal yang menyeronokkan sehingga ditegur oleh ibu.

Ada kalanya tanpa disedari, saya menghabiskan begitu banyak masa dengan permainan komputer dan telefon bimbit.

Memang sukar untuk mengawal diri dalam keadaan pelbagai hal yang melalaikan berada di hujung jari. Malah akibat terlalu leka dan lalai, ada dalam kalangan kita yang hidup dalam dunia terpisah dari dunia nyata. Namun, sebagai khalifah Allah kita harus gigih berjuang melawan hawa nafsu, bukan hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang tahun demi mendapat keredaan dan rahmat Allah.

Sememangnya lebih mudah bagi kita untuk menyalahkan keadaan daripada mengakui kesilapan diri. Jelas, kita mampu menjadi insan yang lebih baik jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri. Pokok pangkalnya bergantung kepada kesedaran dan usaha kita, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Sebagai remaja, saya masih memerlukan tunjuk ajar serta pengawasan berterusan daripada ibu agar tindakan saya tidak tersasar. Masih banyak yang perlu saya pelajari.

Saya mesti sentiasa berusaha memperbaiki diri termasuk cara berfikir agar menjadi lebih matang dan bertanggungjawab.

Ramadan akan meninggalkan kita tidak lama lagi, namun perjuangan melawan hawa nafsu mesti tetap kita teruskan. Jika kita mampu memperbanyakkan amal ibadat di bulan ini, semoga semua amalan baik ini dapat kita usahakan secara berterusan. Semuanya tertakluk kepada kemahuan diri, tepuk dada tanya selera.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN