fbpx

15 April 2021, 4:06 pm

  TERKINI

Siapa siasat aduan KPN?

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BIASANYA Ketua Polis Negara (KPN) mempunyai kecenderungan untuk membuat kenyataan selepas mereka bersara. Namun, KPN sekarang, Tan Sri Abdul Hamid Bador, membuat kenyataan dan pendedahan semasa beliau masih bertugas.

Ini adalah satu precedent (duluan) yang tidak pernah berlaku. Walaupun bukan sesuatu yang mengejutkan tetapi ia menghairankan.

Untuk sekian lama, kita didedahkan kepada istilah deep state (negara dalam negara atau pemerintah tersembunyi) di mana wujudnya sebuah kerajaan rahsia yang berkuasa di sebalik kerajaan sah.

Sering juga terdengar tauke-tauke dunia jenayah (underworld) yang beroperasi di bawah perlindungan polis. Sekarang KPN pula bercakap isu kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cuba menjatuhkan beliau.

Apabila rakyat ada masalah, mereka akan mengadu kepada polis untuk siasatan tetapi apabila KPN sendiri yang mengadu, siapa pula yang hendak siasat?

Pendedahan KPN sedikit sebanyak menunjukkan terdapat golongan peniaga yang begitu berpengaruh sehingga boleh menyusup masuk ke dalam struktur polis. Saya ucapkan tahniah kepada Abdul Hamid kerana membuat pendedahan itu walaupun ia mungkin berisiko kepada dirinya sendiri.

Apabila KPN membuat pendedahan sedemikian, kemungkinan besar ialah beliau tertekan, tiada pilihan lain atau terpinggir.

Pendedahan mengenai kewujudan kartel dalam PDRM ini disusuli dengan pendedahan beliau mengenai kebocoran maklumat semasa Ops Pelican 3.0 dalam memburu ketua sindiket pengubahan wang haram terbesar di negara ini, Datuk Seri Nicky Liow.

Beliau mendedahkan, pembocoran maklumat itu ada kaitan dengan 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang disyaki mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang tersebut, majoritinya anggota polis. Ini adalah satu angka yang besar dan mencemaskan.

Yang paling mengecewakan, desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat aduan KPN disambut dingin oleh pemerintah dengan menyatakan ia boleh disiasat secara dalaman.

Jika ia boleh diselesaikan secara dalaman, kenapa KPN membuat pendedahan secara terbuka? Ini menimbulkan pelbagai persoalan dan kesangsian sama ada wujud tangan tersembunyi yang tidak mahu perkara itu didedahkan kepada umum.

Pada suatu ketika dahulu, semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim ditumbuk dalam tahanan polis, hanya setelah RCI dibentuk, barulah didedahkan KPN pada masa itu, Tan Sri Rahim Noor adalah individu yang melakukan perbuatan berkenaan.

Sebenarnya, isu yang dibangkitkan oleh Abdul Hamid jauh lebih serius kerana ia melibatkan satu kartel dalam PDRM. Ia bukan masalah seorang individu tetapi satu kumpulan yang mungkin boleh mengambil alih pasukan polis.

Lencana mesra dan integriti yang dipakai oleh polis tiada gunanya jika ada pihak lain di luar sistem perundangan yang mengawal tindak-tanduk mereka. Untuk jangka masa panjang adalah mustahak Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan sejak 2006 diluluskan oleh Parlimen.

S. ARUTCHELVAN
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM)