Perbetulkan yang silap - Utusan Malaysia

Perbetulkan yang silap

Bermain game jika melalaikan hingga menunda waktu solat boleh jatuh kepada haram. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini kita sudah berada dalam 11 Ramadan iaitu 10 kedua bulan yang penuh keberkatan. Syabas kepada mereka yang istiqamah melakukan pelbagai ibadat baik yang fardu atau yang sunat. Istimewanya Ramadan adalah selain kefarduan puasa ia disertai oleh ibadat solat sunat tarawih.

Ibadat puasa pula amat istimewa kerana pahalanya diberikan langsung oleh Allah SWT. Ia berdasarkan hadis: Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat, dan makannya kerana Aku… (Sahih Muslim)

Dalam kerancakan beribadat, elok kiranya kita memperbetulkan beberapa amalan supaya ibadat tersebut bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.

1. Jangan tinggal solat sunat rawatib.

Solat tarawih adalah amalan yang digalakkan untuk menghidupkan malam Ramadan. Ia berdasarkan hadis yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (Riwayat Al-Bukhari)

Namun, ramai yang terlupa solat ba’diyah Isyak yang juga sunat muakkad sebelum solat tarawih. Dalam Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (jilid 27, halaman 139) dinyatakan menurut Mazhab Shafi’i, lebih tepat difahami solat sunat rawatib iaitu solat sunat yang mengiringi solat fardu lebih utama dilakukan daripada solat tarawih.

Sunat muakkad adalah solat sunat rawatib yang sentiasa dilazimi oleh Nabi SAW. Baginda tidak pernah meninggalkannya baik ketika bermusafir mahupun ketika bermukim.

Jumlah solat sunat rawatib yang muakkad dan ghair muakkad adalah 24 rakaat.

Sehubungan itu, sebelum solat tarawih seeloknya ditunaikan dahulu solat sunat ba’diyah isyak. Jangan terlalu tergesa-gesa sehingga meninggalkan sunnah yang paling besar.

Bagi jemaah yang tidak sempat solat sunat ba’diyah sejurus solat fardu isyak, jangan khuatir.

Ini kerana waktu bagi solat sunat ba’diyah tamat dengan tamatnya waktu solat fardu. Ini bermakna solat sunat ba’diyah isyak masih boleh dilakukan walaupun selepas selesai solat sunat tarawih.

2. Tidak bersahur.

Ada sebilangan orang berpuasa tetapi tidak bersahur. Mereka berasa tanpa sahurpun boleh berpuasa. Pemahaman itu salah dan perlu diperbetulkan.

Ia bukan hanya melibatkan soal kemampuan, tetapi lebih bersahur itu adalah ibadat yang dituntut kerana padanya ada keberkatan. Amatlah rugi bagi yang meninggalkan amalan bersahur.

Lagipun, bersahur bukan mesti dengan makan nasi atau makanan yang berat. Makan sebiji tamar atau minum segelas air sudah memadai. Yang penting adalah keberkatannya.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Makan sahurlah kalian kerana pada sahur itu ada keberkatan. (Muttafaqun alaih)

3. Bersedekah mesti banyak

SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya namun masih ramai yang keberakatan melakukannya.

Sepatutnya, kita mengambil kesempatan Ramadan untuk membanyakkan sedekah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sedekah pula bukan syaratnya banyak. Cukup dengan sebiji kurma atau segelas air. Pahalanya amat besar terutama jika ia diberikan sebagai juadah berbuka puasa.

Bagi yang sibuk bekerja dan tidak sempat memasak atau buat kuih, asingkan sedikit bajet untuk bersedekah. Antaranya membeli sedikit kuih, air atau buah untuk dikongsi dengan jiran-jiran.

Walaupun kecil nilainya pada wang ringgit tetapi pahalanya besar. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Orang yang memberi makan berbuka puasa kepada orang yang puasa akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikit pun dikurangkan pahalanya. (Riwayat Tirmidzi)

4. Berlumba-lumba tadarus

Ramadan juga dikenali sebagai bulan turunnya al-Quran. (al-Baqarah: 185)

Bertadarus itu maksudnya membaca al-Quran seorang demi seorang dalam satu kumpulan. Seorang membacanya dan yang lain mendengar, menyemak dan membetulkan.

Membaca al-Quran secara bertadarus dapat mengetahui kesalahan bacaan apabila ditegur dan dapat mengelokkan mutu bacaan pada kali berikutnya. Ia bukan menjadi medan berlumba siapa yang khatam dahulu.

Namun, oleh kerana ingin cepat khatam, juzuk al-Quran dibahagikan sesama beberapa individu, lantas masing-masing membacanya secara bersendirian.

Seperkara lagi, kita mesti memberi masa untuk membaca al-Quran dalam Ramadan. Usahakan jika tidak sempat waktu siang, lakukan selepas solat tarawih atau sebelum bersahur. Sasaran kita, jangan ada hari tanpa baca al-Quran.

5. Hanya puasa makan, minum

Puasa bukan sekadar menahan lapar, dahaga dan perkara-perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sebaliknya, puasa itu menurut Imam al-Ghazali mempunyai tiga tingkatan iaitu puasa awam, puasa khusus dan puasa khawasil khawas.

Sebagai umat Islam yang telah berpuluh-puluh tahun berpuasa, sepatutnya kita berusaha meningkatkan puasa ke sekurang-kurangnya tahap puasa khusus.

Dengan kata lain, adalah tidak bermakna orang berpuasa tetapi tidak menjaga lisannya daripada mengumpat atau menyakiti orang lain.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Puasa ialah perisai selagi seseorang itu tidak memecahkannya. (Riwayat Nasa’i dan Ibnu Majah)

Namun, Nabi SAW menjelaskan perkara yang boleh memecahkan perisai puasa ialah berdusta dan mengumpat.

Kita kini berada dalam keadaan yang lebih mencabar hingga berseorangan dalam bilik pun boleh buat dosa berdusta, mengumpat atau melemparkan tuduhan dan fitnah.

Orang dahulu boleh mengelakkan dosa terbabit dengan duduk sendirian, kita dengan kemudahan teknologi maklumat boleh melakukan pembohongan, menyebut keburukan orang lain atau membuat tuduhan palsu dan fitnah waima berada dalam bilik paling gelap.

Ingatlah ancaman Nabi SAW: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya. (Riwayat al-Bukhari)

Demikian juga perbuatan main game, catur atau dam yang hukum asalnya harus tetapi jika melalaikan daripada solat, ia jatuh haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×