Kerajaan Pas Kelantan agah? - Utusan Malaysia

Kerajaan Pas Kelantan agah?

Tidak mustahil tembok tebal Pas di Kelantan robek jika UMNO menyambut keterbukaan Pakatan Harapan untuk bersama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. – Utusan/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM Kamus Dewan Edisi Keempat, lilah atau disebut juga liklah-liklah merupakan perkataan dialek Kelantan yang bermaksud sentiasa berjalan atau bergerak-gerak, iaitu tidak reti duduk diam.

Contoh penggunaan perkataan itu adalah seperti berikut: “Di Kelantan, ketika hubungan UMNO, Bersatu dan Pas keruh berpanjangan, Pakatan Harapan (PH) pula liklah-liklah siang malam mengukuhkan pengaruh dan kedudukan.”

Perkara di atas bagaimanapun bukanlah imaginasi saya semata-mata, sebaliknya perkembangan terkini di negeri kubu kuat Pas ini yang kurang ditonjolkan media, namun menarik untuk diperhati dan diteliti.

Rentetan liklah-liklah PH bermula dengan Pengerusi negerinya, Muhammad Hussain atau Ustaz Mat mengumumkan pembentukan jawatan kuasa khas bagi mengemudi hala tuju mereka dalam pilihan raya umum (PRU), bulan lepas.

Beliau juga mengumumkan bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah atau Cikgu Rahim sekali lagi dilantik untuk memimpin bala jentera PH Kelantan ‘berperang’ dalam PRU kelak.

Kepada UMNO yang baru selesai berhimpun dan nekad putus hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, Ustaz Mat menawarkan keterbukaan PH Kelantan untuk bekerjasama mewujudkan satu lagi jajaran politik baharu di negeri ini.

“Kita sedia berunding, berbincang dan seterusnya bekerjasama dengan siapa sahaja dengan syarat memenuhi aspirasi kita termasuklah good governance dan menolak rasuah,” kata Ustaz Mat.

Dalam pada itu, kemunculan semula Datuk Husam Musa yang berbulan-bulan menyepikan diri selepas meletak jawatan Naib Presiden Amanah tahun lalu turut merancakkan lagi liklah-liklah PH di negeri ini.

ABANG MAT

Terbaharu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau Abang Mat pula singgah berceramah di Pasir Mas, minggu lepas. Bayangkan, Dewan D’Hiway penuh sesak dengan khalayak yang mahu mendengar kupasan Abang Mat tentang isu semasa politik tanah air.

“Alhamdulillah, penuh malam ni. Semua setuju kerajaan Pas Kelate kerajaan yang agah (sombong),” tulis Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan di akaun Facebook bagi menggambarkan kemeriahan ceramah tersebut.

Imbau semula keputusan PRU-14 di negeri ini, Pas menang sembilan kerusi Parlimen dan 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala UMNO lima kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN sebelum ‘hilang’ dua kerusi Parlimen dan satu DUN kepada Bersatu.

Rekod PH pula buruk apabila gagal menang sebarang kerusi DUN apatah lagi Parlimen. Kecuali Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian dan Ketereh, kesemua calon PH di Kelantan berstatus hilang deposit.

Bagaimanapun, Pas Kelantan tidak boleh angkuh manakala UMNO pula jangan lupa. Di beberapa kawasan negeri ini, prestasi Amanah agak cemerlang kerana hampir-hampir menyaingi kehebatan Pas.

Misalnya, di Parlimen Kota Bharu yang dimenangi Pas, calon PH meraih undi kedua tertinggi, jauh meninggalkan calon UMNO-BN di tempat ketiga.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meraih 28,291 undi ketika itu dicabar hebat oleh Husam yang memperoleh 22,422 undi manakala Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi mewakili UMNO-BN pula jauh ketinggalan dengan 16,256 undi.

WANG DEPOSIT

Tiga DUN dalam Parlimen tersebut juga dimenangi Pas, namun calon PH sekali lagi cemerlang apabila meraih undi kedua tertinggi bagi DUN Tanjong Mas dan Kota Lama, selain hampir menyamai undi calon UMNO-BN di DUN Bunut Payong.

Pada PRU-15, mampukah Pas mempertahankan Kelantan dengan hanya berpaut pada Perikatan Nasional (PN)? Ini kerana dalam PRU-14, pencapaian calon Bersatu amat buruk. Di Parlimen Ketereh misalnya, wakil Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin hampir hilang wang deposit.

Huru-hara Muafakat Nasional (MN) dan PN hari ini dilihat sebagai rahmat buat PH kerana membuka ruang untuk mereka khususnya Amanah menawan hati rakyat Kelantan yang 95 peratus adalah Melayu.

Jika PN-MN terurai dan UMNO tetap memilih bergerak solo, geopolitik Kelantan dijangka berubah. Malah, tidak mustahil tembok tebal Pas di negeri ini robek jika UMNO menyambut keterbukaan PH untuk bersama dalam PRU-15.

Kepada seorang pemimpin ditanyakan kenapa PH Kelantan diam sahaja ketika Ahli Parlimen Gua Musang menggelar Pas pelacur politik? Malah mereka juga seperti kurang teruja ketika UMNO secara gedebe memutuskan hubungan dengan Bersatu dan mencabar Pas dalam Perhimpunan Agungnya.

“Buat apa jadi ‘nasi tambah’? Baik senyum, diam, tunggu dan lihat,” kata pemimpin itu, langsung mengingatkan saya kepada lagu kolaborasi Malique dan Najwa sekitar 2010 yang cukup catchy di bahagian korusnya – Senyum.. Tidak perlu kata apa-apa.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×