JKM tak cari populariti - Utusan Malaysia

JKM tak cari populariti

FATIMAH Zuraidah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan yang cukup besar dalam menangani isu-isu membabitkan kesejahteraan rakyat. Tambahan pula dekad ini keperluan masyarakat yang semakin kompleks menjadikan jabatan sebagai sebuah agensi yang dekat dengan masyarakat.

Ditubuhkan pada April 1946, kepentingan jabatan tersebut semakin dirasai ketika zaman pemerintahan Jepun di Malaya. Pada ketika itu, pegawai JKM memberi bantuan kepada mangsa perang dan memastikan kesejahteraan masyarakat terpelihara.

Bermula dengan penglibatan dalam menangani pelbagai masalah sosial yang timbul akibat perang dunia kedua, JKM memperluaskan peranan dan fungsi jabatan sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan fokus kepada lapan kumpulan sasar iaitu kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya, orang papa, mangsa bencana, mangsa keganasan rumah tangga, mangsa pemerdagangan dan pesalah perintah khidmat masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), yang kini memangku tugas Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, FATIMAH ZURAIDAH SALLEH memberitahu peranan dan sumbangan jabatan itu merentasi zaman.

Malah, keberadaan hero jaket oren semasa negara berhadapan Covid-19 amat didambakan. Merekalah insan yang membawa bekalan, sokongan dan harapan rakyat terutamanya yang menerima impak besar ketika pandemik.

Ikuti temubual bersama Wartawan Utusan Malaysia, TEON EG dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta Jurufoto FAISOL MUSTAFA di pejabatnya di Putrajaya,
baru-baru ini.

 

UTUSAN MALAYSIA: Mungkin ramai tidak sedar JKM merupakan antara barisan hadapan sejak Covid-19 menular di negara ini. Mengapa agaknya jabatan ini tidak ditonjolkan seperti kementerian, jabatan mahupun agensi lain?

FATIMAH ZURAIDAH: JKM mempunyai peranan besar dan signifikan dalam melahirkan masyarakat yang sejahtera melalui penyampaian perkhidmatan pembangunan sosial di semua peringkat.

JKM salah sebuah jabatan yang dikategorikan sebagai penting.Oleh itu sepanjang pandemik ini, JKM terlibat dan diberikan amanah untuk menjaga pusat kuarantin, menyedia dan mengagihkan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas di seluruh negara.

Pengedaran bakul makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan juga di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) menjadi tanggungjawab baharu kepada warga kerja.

Bagi misi kemanusiaan semasa pandemik pula melibatkan sebanyak 1 juta bakul makanan diagihkan kepada golongan yang terkesan di seluruh negara dan ia telah memberi manfaat kepada 4 juta orang.

Semasa tempoh pandemik ini juga, JKM menyediakan perkhidmatan telekaunseling melalui Talian Kasih oleh Pegawai Psikologi JKM kepada masyarakat yang terkesan dan individu bawah pengawasan (PUS) atau pesakit bawah siasatan (PUI) yang berada di semua Pusat Kuarantin seluruh Malaysia.

Perkhidmatan ini merupakan salah satu platform untuk memberi bantuan awal sokongan emosi kepada klien.

Berapa ramai yang terkesan sejak Covid-19 menular?

Sebanyak 80,684 panggilan yang diterima oleh Talian Kasih bermula Januari tahun lalu sehingga Mac 2021 berkaitan permohonan bantuan kebajikan.

Difahamkan JKM juga memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas ketika tempoh pandemik. Boleh jelaskan?

Salah satu perkhidmatan agensi ini adalah pemberian bantuan kewangan kebajikan kepada kumpulan sasar yang memerlukan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan sempurna. Bantuan kewangan ini hanyalah dalam tempoh sementara waktu sehingga mereka mampu keluar daripada kemiskinan dan ke arah hidup berdikari.

Pada masa ini, JKM menerima 25,000 permohonan baharu dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.

Jumlah tersebut meningkat tiga kali ganda disebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan dan terkesan dari segi ekonomi. Sebelum ini jumlah permohonan sekitar 1,000 hingga 2,000 sebulan sahaja.

ANAK ANGKAT
Nama JKM ‘panas’seketika apabila isu adik Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek yang didera ibu kandung dan bapa tirinya sehingga menyebabkan kematian. Ada yang mempersoalkan peranan agensi apabila tidak memihak kepada ibu angkat, Norlida Abu Hassan. Komen?

Kami tertakluk kepada perundangan dalam bertindak atau memberi respons. Di bawah terma jabatan, pengangkatan itu perlu bersandarkan kepada undang-undang yang jelas. Dalam konteks Norlida, dia hanyalah ibu penjaga sahaja.

JKM sebenarnya tidak dimaklumkan tentang pengambilan anak itu di bawah jagaan Norlida, jika dimaklumkan sudah pasti JKM akan memantau dan memberi nasihat supaya mengambil Amir sebagai anak angkat. Menjadi kesalahan sekiranya mengambil anak jagaan tanpa memaklumkan kepada JKM.

Pengambilan anak pelihara secara sendiri walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta Kanak-Kanak 2001 tidak lewat dari satu minggu selepas pengambilan dan sekiranya gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan denda maksimun sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

Apa langkah jabatan untuk menguar-uarkan kepada orang ramai?

Program dan advokasi dalam memastikan masyarakat cakna berkaitan perkhidmatan jabatan khususnya hal ehwal kanak-kanak dilaksanakan melalui kempen-kempen kesedaran. Program advokasi ini juga turut dilakukan melalui media elektronik, media sosial seperti laman rasmi Twitter, Facebook, Instagram dan YouTube rasmi. Selain itu, jabatan turut mengunakan platform Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak, Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak dalam memastikan maklumat dan advokasi berkaitan perkhidmatan kanak-kanak dapat disebarkan kepada masyarakat. Namun begitu program advokasi ini perlu lebih kerap diaturkan agar masyarakat lebih jelas.

Adakah prosedur rumit menyebabkan orang ramai mengambil anak angkat tanpa pengetahuan JKM?

Setiap prosedur yang ditetapkan perlu difahami dengan jelas agar dapat dilaksanakan dan dipenuhi dengan lancar. Terdapat perbezaan antara anak angkat dan anak pelihara.

Anak pelihara adalah kanak-kanak yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk pemeliharaan, jagaan dan kawalan oleh ibu bapa peliharaan manakala anak angkat pula adalah kanak-kanak yang telah dibuat pengangkatan oleh penjaganya sama ada melalui Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 atau Akta Pengangkatan 1952 bagi bukan muslim.

Mengikut Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952, seseorang kanak-kanak itu telah berada dalam jagaan dan dipelihara serta dididik oleh seseorang atau pasangan sebagai anaknya yang berterusan atau anak mereka secara anak angkat de facto selama dua tahun sebelum tarikh permohonan manakala mengikut Akta Pengangkatan 1952 pula, kanak-kanak itu sudah berada dalam jagaan dan saraan berterusan selama tidak kurang tiga bulan sebelum permohonan pengangkatan boleh dibuat.

Untuk makluman, JKM hanya mengendalikan perkhidmatan anak pelihara manakala bagi pengangkatan anak, urusan ini adalah di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

PERANAN
Bagaimana pula dengan pusat jagaan, adakah mencukupi terutama ketika pandemik?

Sehingga Januari lalu, terdapat 1,783 buah pusat jagaan berdaftar. Bagaimanapun, kebanyakan pusat jagaan mempunyai penghuni tidak melebihi kapasiti yang telah ditetapkan di dalam Perakuan Pendaftaran.

Semasa pandemik ini, kebanyakan pusat jagaan berdaftar tidak menerima masuk penghuni baharu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pusat jagaan juga tidak menerima kehadiran pelawat dan sukarelawan bagi mengekang penularan Covid-19

Peranan JKM terhadap rumah-rumah kebajikan swasta?

Pusat jagaan yang ditubuhkan sama ada dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta atau persendirian memainkan peranan yang penting dalam menangani masalah sosial. Dengan adanya pusat jagaan, pelbagai perkhidmatan yang sesuai dapat disediakan seperti pelindungan, pengawasan, pemulihan dan latihan kepada kumpulan sasar.

JKM bertanggungjawab dalam menguatkuasakan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506). JKM berperanan dalam menguruskan pendaftaran dan pengeluaran Perakuan Pendaftaran Pusat Jagaan selain memantau pusat terbabit agar pengurusan dan pengoperasian mematuhi piawaian yang ditetapkan, Akta Pusat Jagaan 1993 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan diberi keutamaan.

Selain itu, JKM juga melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pusat jagaan yang beroperasi di negara ini adalah berdaftar di bawah Akta 506 dan pengoperasian mematuhi standard minimum yang ditetapkan.

Adakah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) masih berfungsi?

PKM merupakan satu hukuman alternatif kepada pemenjaraan, bertujuan memberi pemulihan, mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan jenayah dan sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat melalui tiga elemen pelaksanaan iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan.

PKM adalah perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah. Ia akan terus berfungsi dan dilaksanakan. Bermula pada 2008 sehingga 2020, seramai 7,430 pesalah telah dijatuhi hukuman melibatkan seramai 6,510 pesalah muda, kanak-kanak (846) dan dewasa (74).

Mengapa usaha JKM tidak mendapat liputan seperti beberapa aktivis selebriti popular di media sosial. Komen?

JKM kini ke arah profesionalisme pegawai sebagai pekerja sosial. Pegawai JKM terikat dengan peraturan dan etika pekerja sosial dalam mengalas tanggungjawab ketika memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Ia berbeza dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh aktivis atau orang perseorangan yang tidak terikat dengan peraturan-peraturan dan etika pekerja sosial tersebut.

Sebagai seorang pekerja sosial hak kerahsian klien perlu dilindungi agar keselamatan dan kesejahteraan penerima bantuan dapat dipelihara. Oleh itu setiap tindakan yang diambil oleh JKM dilihat tidak popular kerana kurangnya liputan publisiti.

‘Unsung hero’

JKM menjangkau usia 75 tahun. Peranannya amat didambakan sepanjang pandemik Covid-19. Apakah jangkaan atau pembaharuan yang akan dilakukan?

JKM ke arah penyampaian perkhidmatan kerja sosial yang mantap di negara ini. Ia selaras dengan situasi semasa dan norma baharu. Ini termasuklah memastikan JKM mampu mengadaptasi pelaksanaan dan penyampaian perkhidmatan selari dengan keadaan semasa berhadapan dengan pandemik.

Justeru itu, transformasi pengurusan bantuan kebajikan juga kini bergerak seiring dengan agenda pendigitalan Projek Rintis Bayaran Bantuan JKM Secara Tanpa Tunai dengan kerjasama strategik Bank Islam Malaysia Berhad yang akan dilaksanakan selama enam bulan. Projek ini telah bermula daripada 1 Februari lalu sehingga 31 Julai ini.

Projek rintis ini melibatkan tiga PKMD iaitu di Kubang Pasu, Kota Setar, Melaka Tengah dan Perlis.

JKM sinonim dengan gelaran pusat kebajikan. Pandangan anda?

Kami sentiasa komited untuk mengurus dan memastikan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan bagi membantu kumpulan sasar dalam meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang bergantung sepenuhnya pada bantuan kerajaan atau setidaknya mengurangkan beban yang perlu ditanggung oleh ketua isi rumah.

JKM juga akan memastikan peruntukan berkenaan dapat membantu golongan yang dikenalpasti untuk keluar dari garis kemiskinan dan boleh menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata. Harapan jabatan agar klien yang boleh menjana pendapatan sendiri ini dapat pula menyediakan ruang dan peluang kerjaya kepada kumpulan sasar yang lain.

Di bawah konsep ’Kebajikan Tanggungjawab Bersama’ ini, JKM melalui kaedah perkongsian bijak sentiasa berganding bahu dengan rakan strategik iaitu agensi kerajaan, sektor swasta, korporat, NGO, individu dan orang ramai dalam melaksanakan pelbagai program berasaskan komuniti yang dapat memberi manfaat kepada golongan sasar.

Di antara program berasaskan komuniti yang turut mendapat manfaat daripada Belanjawan 2021 adalah Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR), Pusat Aktivit Warga Emas (PAWE) dan Pemullihan dalam Komuniti (PDK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×