KEBELAKANGAN ini masyarakat didedahkan dengan pelbagai berita dakwaan salah laku yang dimaklumkan oleh pihak berkuasa. Antaranya isu kartel daging halal, permit palsu, scammer dan penggubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit.
Lebih membimbangkan kes-kes ini dikatakan didalangi sebahagiannya oleh pihak berkuasa. Ibarat peribahasa Melayu, `Harapkan pagar, pagar makan padi’ yang telah meruntuhkan tembok integriti dengan melakukan kesalahan pecah amanah sedangkan mereka perlu bertanggungjawab melaksanakan amanah, memberi perkhidmatan berkualiti dan melindungi kebajikan masyarakat.
Pendedahan ini walaubagaimanapun mampu membuka mata dan hati bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Benarlah peringatan Rasulullah SAW dalam sabdanya, “akan tiba pada manusia itu satu zaman di mana seseorang itu tidak mempedulikan apa yang diambil daripada hartanya samada (sumber) yang halal atau haram”. (Riwayat al-Bukhari)
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah al-Anfal: 27)
Dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, ia sewajarnya menginsafkan dan mendidik nafsu dari sifat tamak, rakus serta keinginan dunia yang melampau dan melulu yang boleh menyebabkan seseorang lupa diri, rambang mata, terpedaya selain tidak memikirkan kesan tindakan dari sudut halal dan keberkatan rezeki.
Allah SWT telah memberi peringatan terhadap lima sifat dunia yang boleh memperdaya dan melalaikan dalam Surah al-Hadid: 20 bermaksud, “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir, 14/353 menjelaskan kelima-lima sifat dunia tersebut.
Justeru, berwaspadalah pada sifat dunia tersebut, iaitu dunia sebagai permainan, perhiasan, kelalaian, kemegahan dan kebanggaan harta yang boleh memperdayakan sehingga melakukan perkara yang dilarang. Rasulullah SAW mendoakan kehancuran untuk kelompok ini dengan sabdanya, “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham, celakalah hamba pakaian.” (Riwayat Al-Bukhari)
Islam menuntut kita memastikan rezeki yang dicari adalah daripada sumber dan cara yang halal. Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah maha baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firmannya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu’. Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.” (Riwayat Muslim).
Hadis ini adalah pengukuh kepada perintah Allah SWT untuk hanya makan daripada sumber yang halal. Justeru, mencari yang halal itu satu kefardhuan dan ia menjamin doa yang makbul dan keberkatan. Sebagai penjawat awam, frasa `saya yang menjalankan amanah’ yang menggantikan frasa `saya yang menurut perintah’ pada September 2018 sebaiknya benar-benar difahami dan dihayati. Malah, perlu diperingatkan dari masa ke semasa melalui pelbagai program yang dijalankan seperti penerapan nilai-nilai Islam dan integriti.
Perkataan amanah yang diulang dalam pelbagai bentuknya dalam al-Quran adalah satu tanggungjawab yang akan dipertanggungjawabkan kepada setiap insan di hari pembalasan kelak. Tanggungjawab beramanah amat dituntut sehingga ia dikaitkan sebagai penyebab kepada kesempurnaan iman dan agama. Sabda Rasulullah SAW, “Tidak sempurna iman barangsiapa yang tidak amanah dan tidak sempurna agama barangsiapa yang tidak menunaikan janji”. (Riwayat Ahmad)
Sifat amanah ditekankan dalam Islam sehingga dikaitkan dengan iman dan kesempurnaan agama kerana dengannya manusia akan sejahtera di dunia dan di akhirat dari pelbagai bentuk kejahatan dan khianat seperti mengambil harta dan milik orang lain. Jolokan sifat al-Amin yang diberikan kepada Rasulullah SAW oleh kawan dan lawan baginda adalah sifat terpuji yang mesti dicontohi.
Benar, sifat amanah ia adalah tanggungjawab yang berat tetapi ganjarannya hebat. Mereka yang jujur dan beramanah akan di tempatkan dalam syurga Firdaus dan akan bersama dengan para nabi, pembenar agama, mujahid dan para solihin.
FirmanNya lagi dalam Surah al-Mu’minun: Ayat 8-11 bermaksud, “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya”.
Justeru, dalam bulan Ramadan, selain berpuasa dan marilah hidupkan bulan mulia ini dengan amal soleh, mengawal nafsu dengan belajar berlapar, bersimpati kepada yang susah, bersedekah, membayar zakat fitrah, bekerja walaupun berpuasa, menjaga solat, memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan bertaubat. Jika dihayati, ia sebenarnya dapat mengawal nafsu manusia yang cintakan dunia dan sering melupakan akhirat.
Penulis merupakan Ketua Penyelidik Kluster (Sosio Budaya & Kekeluargaan) dan Pelan Pembangunan Dakwah Negara (PPDN), YADIM.










