Jangan putus asa banteras rasuah - Utusan Malaysia

Jangan putus asa banteras rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBONGKARAN satu demi satu kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam pelbagai perkhidmatan kerajaan menunjukkan aktiviti tidak bermoral ini semakin serius dan cukup membimbangkan.

Antara kes terkini yang mengejutkan ialah pembongkaran kartel tender kerajaan serta sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Oleh kerana rasuah semakin menjadi amalan biasa dalam masyarakat, besarlah harapan agar semua pihak yang terlibat akan terus melipatgandakan usaha untuk membanteras perlakuan jenayah ini tanpa putus asa.

Ironinya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Unit Integriti (UI) di setiap agensi, badan bukan kerajaan (NGO) yang mendukung objektif untuk mengekang amalan rasuah tidak boleh sama sekali berputus asa. Begitu juga serta peranan masyarakat harus dipertingkatkan dalam membanteras rasuah. Walaupun kes semakin banyak, janganlah kita mengalah sebaliknya berusaha menangani bencana sosial yang sedang melanda anggota masyarakat. Pokok pangkalnya, kita tidak mahu melahirkan generasi masa hadapan yang tiada nilai integriti dan jati diri yang cekal dan kental.

SPRM misalnya, sebagai agensi yang paling signifikan peranannya dalam membanteras rasuah di negara kita, perlu terus bersemangat dan tidak berputus asa. Dalam konteks ini, secara jujurnya kita wajar memuji kecekapan SPRM yang selama ini dilihat berfungsi dengan penuh efisien dan efektif. Jelas sekali anggotanya bekerja bertungkus lumus untuk membanteras gejala rasuah yang menghantui masyarakat. Buktinya, ramai yang ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Walaupun SPRM berhadapan dengan pelbagai kekangan dan cabaran dalam memikul tanggungjawab membanteras rasuah di negara kita, termasuklah masih tidak ada kuasa untuk pendakwaan, namun kegigihan mereka membongkar semua salah laku cukup mengagumkan. Justeru, walaupun rasuah terus berlaku, kita berharap SPRM akan terus bersemangat memutuskan penularan rantaian rasuah dalam kalangan anggota masyarakat, khususnya penjawat awam. Dalam hal ini, kita berharap pihak kerajaan dan anggota masyarakat akan terus menyokong segala usaha yang dilakukan oleh agensi berkenaan.

Setiap agensi kerajaan juga mempunyai UI untuk mendidik warga kerja sekali gus membanteras segala bentuk rasuah dan salah laku. Namun, kita perlu akui masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam cukup membimbangkan dan semakin parah. Tangkapan demi tangkapan yang dilakukan membabitkan penjawat awam yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan terutamanya dalam kalangan agensi penguatkuasa mula merisaukan banyak pihak termasuk masyarakat.
Kegiatan tidak bermoral yang membabitkan sekelompok kecil penjawat awam ini, bukan saja merugikan rakyat dan negara, malah semakin menjejaskan imej dan reputasi agensi kerajaan serta keseluruhan penjawat awam.

Justeru, diharap unit ini dijenamanakan semula dengan diberikan kuasa dan tanggungjawab yang lebih signifikan agar dapat berfungsi dengan lebih bebas, cekap dan proaktif. Anggota unit ini juga perlu terus diberikan suntikan semangat dan motivasi agar tidak berputus asa dalam mendidik warga kerja untuk menjauhi diri dari gejala rasuah.

Di samping memberi fokus kepada aspek pencegahan, unit ini juga perlu terus berani membongkar segala salah laku secara segera dan tuntas. Hal ini penting kerana, sebagai unit yang bertanggungjawab dalam soal memartabatkan nilai-nilai murni dan integriti di setiap jabatan, kita percaya mereka mampu menghidu perbuatan salah laku warga kerja sendiri. Justeru, jika dapat bertindak dengan segera, sudah pasti dapat memperbaiki keadaan sebelum ianya menjadi lebih parah.

Pada masa yang sama, NGO yang ditubuhkan dengan matlamat untuk membantu mendidik masyarakat dalam soal integriti serta membanteras rasuah juga perlu terus melipatgandakan usaha secara berterusan. Mereka perlu bekerjasama rapat dengan SPRM supaya dapat menjalankan fungsi dengan lebih efisien. Antara inisiatif yang boleh dilakukan ialah sentiasa mendekatkan diri dengan anggota masyarakat melalui penganjuran pelbagai aktiviti pencegahan dan kesedaran tentang rasuah dan salah laku, terutamanya mendidik masyarakat untuk tidak memberikan rasuah serta berani tampil ke hadapan untuk melaporkan rasuah.

Hal ini ini penting kerana SPRM tidak menang tangan untuk mendekatkan diri dengan segenap lapisan anggota masyarakat, maka inilah masanya NGO turut sama membantu meringankan beban SPRM. Justeru kita berharap NGO seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) akan terus bersemangat melazimi aktiviti pendidikan kesedaran, di samping menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam membanteras rasuah.

Di samping itu, anggota masyarakat yang masih kuat pegangan dan nilai integriti juga perlu berani tampil ke hadapan untuk membantu membanteras rasuah. Janganlah sesekali berputus asa mahupun kecewa dengan kes rasuah yang terus meningkat, sebaliknya marilah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin dan mahu membebaskan rakyat dan negara dari gejala tidak sihat itu.

Percayalah, usaha dan inisiatif berterusan pasti akan membuahkan hasil pada suatu hari nanti. Justeru, genggam bara api biar sampai menjadi arang. Semoga kita dapat mencapai impian sifar rasuah pada suatu hari kelak.

Penulis ialah penganalisis isu semasa merangkap Timbalan Ketua Panrel Pemikir MCW

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×