PETALING JAYA: Subsidi input pertanian terutama baja dan racun terus kepada pesawah melalui MyKad seperti mekanisme Sumbangan Asas Rahmah (SARA) lebih berkesan dalam aspek tadbir urus agihan bantuan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Prof. Madya Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, kaedah itu juga dapat memastikan agihan secara terus sekali gus mengurangkan risiko ketirisan dana terutamanya kepada orang tengah yang berada dalam rantaian agihan.
Beliau berkata, agihan secara terus membolehkan bantuan yang diterima lebih cepat dan efektif berbanding melalui rantaian yang panjang.
“Pihak kerajaan dapat mempunyai akses kepada data real-time (masa nyata) mengenai pesawah dan tidak bergantung untuk memberikan subsidi secara pukal (blanket) yang tidak efektif.
“Manipulasi harga input pertanian juga dapat dikurangkan berikutan subsidi secara terus kepada pesawah yang membolehkan pesawah memilih pembekal yang menjual bekalan input pertanian yang lebih kompetitif dari sudut harga dan kualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas permintaan pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) agar kerajaan menyalurkan subsidi input pertanian terutama baja dan racun terus kepada mereka melalui MyKad seperti SARA.
Kaedah itu diyakini mampu mengatasi masalah kelewatan dan kualiti bekalan yang menghantui pesawah pada setiap musim, selain sudah terbukti berkesan daripada sebarang ketirisan.
Melalui MyKad, pesawah hanya boleh membeli barangan yang ditetapkan sahaja dan tidak boleh ditukar kepada tunai atau barang lain.
Muhammad Iqmal Hisham berkata, melalui mekanisme itu, kerajaan akan dapat mengurangkan campur tangan dalam harga barangan pasaran khususnya input pertanian dalam hal berkenaan dan memberi ruang kepada pasaran untuk berkembang berasaskan penawaran dan permintaan.










