Cari publisiti dengan tunggang agama - Utusan Malaysia

Cari publisiti dengan tunggang agama

RAMAI pengawal keselamatan sekolah tidak menikmati kenaikan gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HANGAT dibincangkan baru-baru ini, isu dua pekerja didera oleh majikan mereka kerana tidak diberi izin untuk berpuasa.

Maka melentinglah masyarakat dan para agamawan dengan pelbagai konotasi. Ada yang ekstrem, mengatakan isu itu mencabar maruah agama dan umat Islam sedang dipijak.

Mungkin kerana sentimen agama ini laris, senang membangkitkan emosi sekali gus menjadikan pembicaranya sebagai ‘hero’, ‘pejuang agama’, maka ia menjadi begitu laku untuk diambil kesempatan. Sekali gus ia menjadi senjata untuk memercikkan api permusuhan antara agama dan kaum.

Sifir untuk menjadi pejuang agama atau kaum ini mudah, ia tidak berubah sejak dahulu. Kita cuma perlu membuatkan orang rasa hak kaum kita sedang terabai atau diancam dan timbulkan ketakutan. Daripada ketakutan itu lahirlah sokongan.

Sedangkan bagi golongan sosialis, kita sering kali tunjukkan kelas kaya sentiasa menindas kelas miskin tanpa mengira agama, kaum, kewarganegaraan dan jenis pekerjaan.

Ia membosankan dan tidak akan dapat memancing sokongan mahupun undi kerana tidak dilihat jaguh pembela agama.

Sifir orang sosialis mudah sahaja dari dahulu, ada penindasan berlaku, bela yang tertindas, lawan yang menindas, lawan sampai menang dan perkasakan golongan yang ditindas.

Penindasan tidak hanya dalam bentuk fizikal, juga tidak hanya dalam menghalang beribadat semata-mata. Lambat bayar gaji, tipu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak buat pemotongan Skim Insurans Pekerjaan (SIP), bukankah ini juga penindasan?

Itu yang jelas. Bagaimana pula yang ditindas kerana kelicikan majikan mengeksploitasi undang-undang? Misalnya syarikat pengawal keselamatan di sekolah. Setiap beberapa tahun mereka tutup syarikat itu, buka syarikat baharu, ambil pekerja sama.

Selama 15 tahun bekerja, nama syarikat berubah banyak kali. Akibatnya, sampai ke tua tidak rasa kenaikan gaji, sentiasa dibayar ibarat pekerja baharu bekerja.

Ini sistem yang zalim. Mangsanya adalah pekerja yang berpuasa, pekerja yang tidak berpuasa, pekerja pelbagai kaum, negeri dan agama. Mengapa tidak heboh dan dibela?

Bagaimana pula pekerja kontrak pembersihan? Katakan satu sekolah ada 10 tukang cuci. Oleh kerana kerajaan lantik orang tengah (syarikat kontraktor) untuk uruskan, maka perbelanjaan lebih tinggi berbanding digajikan secara terus oleh kerajaan. Apabila nak berjimat, kerajaan kurangkan peruntukan, bukan hapuskan orang tengah sistem kontrak ini.

Akibatnya syarikat kontraktor kecilkan jumlah pekerja kepada lima orang. Kerja yang sepatutnya dibuat 10 orang, kini terpaksa ditanggung lima orang. Gaji sama, bebanan kerja bertambah. Tidakkah ini zalim? Jika ini dizalimi, ke mana suara ‘hero-hero’ ini pergi?

Kerana itu, jika diinsafi dengan teliti, tidak sukar untuk kita lihat siapakah yang bersungguh-sungguh berjuang demi nasib pekerja, dan siapakah yang mahu mencari publisiti dengan menunggang sentimen agama.

NIK AZIZ AFIQ ABDUL
Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya