Beza politik, menang pun tak guna - Utusan Malaysia

Beza politik, menang pun tak guna

Perbezaan politik adalah normal tetapi musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk memanipulasikannya hingga merugikan umat Islam. – Utusan/FAUZAN AZIMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Musuh adalah perkara yang menghantui ketenteraman hidup kita. Kedamaian jua terganggu dengan kehadiran musuh. Paling tidak, musuh membuatkan kita tidak selesa dan rasa terancam. Jiwa tidak tenang, keluarga rasa tidak selamat dan masyarakat tidak harmoni.

Justeru, kita dididik oleh Nabi SAW agar jangan mencari musuh. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Wahai manusia, janganlah kalian bercita-cita untuk bertemu dengan musuh, namun sebaliknya mintalah kepada Allah kesejahteraan. Tatkala kamu bertemu jua dengan musuh, bersabarlah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga itu berada di bawah kilauan mata pedang.” (Riwayat Imam Al Bukhari dan Muslim)

Pedoman ini, tegasnya Rasulullah SAW melarang kita bercita-cita bertemu dengan musuh. Apatah lagi mencipta musuh dengan melakukan provokasi ataupun menabur fitnah. Ini kerana Islam adalah agama yang damai dan sejahtera. Menganut dan mempraktiskannya dalam kehidupan ini akan membawa kita kepada ketenangan dan ketenteraman jiwa.

Sementara itu, fitrah kehidupan manusia juga adalah bermasyarakat. Tentu sahaja kerukunan hidup bermasyarakat memerlukan kedamaian, keharmonian, keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan. Selayaknya semua pihak akan saling bekerjasama dan berusaha untuk memahami antara satu sama lain bagi mengelak tercetusnya permusuhan. Ekoran permusuhanlah yang akan meruntuhkan kerukunan hidup bermasyarakat.

Permusuhan sesama kita akan merugikan semua pihak kerana permusuhan akan menyemarakkan pertembungan, perkelahian, pertelagahan atau perbalahan. Kalaupun ada yang menang, hanya menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu.

SYAITAN

Perkara ini jelas dan boleh difahami oleh semua. Namun, permusuhan ini sering berlaku kerana angkara musuh Islam yang menjerut syaitan yang menghasut dan nafsu yang menurut. Benarlah firman AllahSWT yang bermaksud: “Nescaya engkau akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya terhadap orang yang beriman ialah orang Yahudi dan para musyrikin (orang mempersekutukan Allah SWT).”

Surah Al Maaidah:82, firman Allah SWT maksudnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah mahu mencetus permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji itu atau kamu masih berdegil)?”

Surah Al Maaidah:91, terdapat banyak faktor terdorongnya permusuhan dalam kalangan masyarakat kita, umat Islam khasnya. Ia menjadi peluang dan ruang yang lebar dan luas kepada musuh tradisi umat Islam iaitu syaitan untuk masuk berperanan memporakperandakan umat Islam. Sama ada syaitan jin atau syaitan manusia, bila sudah namanya syaitan, peranan utama mereka ialah membinasa dan mencelakakan umat Islam.

Antara faktor yang saya maksudkan di sini ialah perbezaan politik. Perbezaan asasnya adalah suatu yang normal dan positif. Namun, ia menjadi peluang kepada musuh umat Islam untuk manipulasi sebarang perbezaan itu untuk menjadi permusuhan yang akhirnya merugikan umat Islam.

PILIHAN RAYA

Sebagai contoh mudah, perbezaan politik akan menyaksikan perebutan kerusi dan kawasan pilihan raya untuk bertanding. Umumnya, ia adalah pilihan untuk para pemimpin berkhidmat kepada negara dan rakyat. Namun, kegagalan sebahagian sang politikus memiliki ilmu, akhlak dan kefahaman Islam yang baik, akhirnya mereka akan menjadi korban nafsu dan syaitan yang menguasai diri.

Tamak dan rakus akan membelit, ego dan keras kepala akan bertakhta, buruk sangka dan mencurigai antara satu sama lain akan mempengaruhi. Hilang nilai muafakat yang membawa berkat dan luntur semangat tolak ansur yang membawa rahmat. Permusuhan semakin tajam. Perasaan menjadi panas, emosi membara, lidah lancang bertitah, tangan menuding ke sana ke sini dan kaki menerjang tanpa mengenal arah.

Kala itu, permusuhan bukan lagi antara dua pihak, tetapi entah berapa pihak yang menyertai permusuhan ini. Tidak termasuk pihak yang mencelah di belahan permusuhan umat Islam untuk mengambil kesempatan. Mencedok dalam kekeruhan iklim politik. Tambah parah dan malang bagi umat Islam, apabila permusuhan itu mula menjadi barah dan kumannya merebak serta meragut otaknya sendiri. Maka permusuhan luar itu menular tanpa kenal arah dan sempadan, akhirnya tercetus pula permusuhan dalaman.

Situasi menjadi semakin kronik. Akhirnya, kita tidak kenal siapa kawan dan siapa musuh. Kawan boleh jadi dianggap musuh dengan pelbagai justifikasinya. Demikian musuh boleh dijadikan kawan, kononnya untuk menewaskan musuhnya yang lain pula.

Natijahnya, umat Islamlah yang paling parah menerima kecederaan daripada permusuhan ini. Pastinya permusuhan ini benih awalnya adalah lahir daripada musuh Islam itu sendiri demi menghancurkan umat Islam. Sama ada musuh itu berperanan dari luar iaitu Yahudi, Nasara, Musyrikin dan lainnya yang memerangi Islam atau pun musuh yang berperanan dalam pembuluh darah umat Islam itu sendiri, iaitu syaitan dan nafsu jahat bersarang.

Menarik kita lihat kembali suluhan petunjuk yang dibawa oleh Nabi SAW. Pesan Nabi SAW mempunyai tiga peringkat. Pertama, jangan kamu bercita-cita mencari musuh.

Kedua, mohon kesejahteraan daripada Allah SWT. Ketiga, jika bertemu jua dengan musuh, bersabarlah. Jangan gopoh bertindak. Keempat, syurga di bawah kilatan mata pedang.

Melestari gerakan dakwah.

PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×